Semudah Empat Langkah

Biarpun hanya mengenakan solekan tipis, jika kena dengan teknik solekan yang betul, ia mampu membangkitkan seri wajah.

Justeru, antara aspek paling penting diutamakan golongan wanita adalah pemilihan produk mekap yang boleh menyerlahkan warna bersesuaian dengan kulit seterusnya membuatkan wanita tampil anggun dan menawan dalam apa jua acara dihadiri.

Benar kata orang, wajah kusam boleh diserikan hanya dalam sekelip mata dengan kuasa yang ada pada produk solekan. Ini kerana, walau apa juga teknik solekan digunakan, ia pasti akan memberi hasil yang cantik sekiranya digabungkan bersama sapuan warna menerusi olesan gincu, pengilat bibir dan pembayang mata menarik.

Pengarah Bahagian Inovasi Produk Baru Avon, Lisa Lamberty berkata, pemilihan alat solek yang berkualiti penting kerana kebanyakan wanita sering mengeluh apabila mengalami kesukaran menyapu produk solekan menyebabkan hasilnya menjadi tidak rata.

Menerusi koleksi terbaru mekap Avon terdiri daripada gincu Ultra Color Lipstick, pelembap bibir Ultra Glazewear Lip Gloss dan pembayang mata True Color Eyeshadow Quad, ia membolehkan wanita menyempurnakan solekan mereka dengan mudah, cepat dan ringkas, tetapi tetap kelihatan mengagumkan.

“Ketiga-tiga koleksi ini mempunyai formula terbaru dikenali sebagai teknologi True Color yang memulihkan pigmen kulit selain menjadikan kulit lebih lembap.

“Selepas tiga tahun menjalani kajian intensif, teknologi True Color ini ternyata memberi fokus kepada kepadatan warna yang membolehkan penghasilan rona lebih terang, mudah disapu pada kulit, tahan lama dan menarik perhatian,” katanya ketika ditemui di majlis perasmian produk berkenaan yang diadakan di Manila, Filipina, baru-baru ini.

Pelancaran produk itu turut bersempena dengan pelaksanaan kempen You Make It Beautiful yang bertujuan membantu wanita mencari dan menunjukkan pesona diri sebenar sekali gus menghargai nilai kecantikan semula jadi dianugerahkan Tuhan.

Majlis berkenaan bertambah istimewa apabila Avon turut memperkenalkan Lauren Andersen sebagai jurusolek selebriti Global Avon yang bertindak menjadi jurucakap untuk jenama Avon Color dan akan berkongsi pelbagai tip solekan di dalam risalah Avon serta menghasilkan video kecantikan menerusi saluran rasmi YouTube Avon.

“Membesar dengan melihat ibu yang juga seorang wakil jualan Avon, saya sudah terbiasa dengan pelbagai barangan produk jenama ini termasuk alat solek berwarna-warni di rumah.

“Masih segar dalam ingatan, saya duduk berjam lamanya di dalam bilik air dan menghadap cermin sambil bersolek menggunakan produk mekap Avon kepunyaan ibu. Pengalaman itu cukup menyeronokkan dan dari situ, bermulalah minat saya terhadap dunia solekan.

“Kini, dengan inovasi dan formula terbaru dibangunkan oleh Avon untuk koleksi mekapnya saya mendapati tekstur dan warna yang dihasilkan lebih lembut, mudah diratakan serta pengguna akan mendapat warna sama seperti yang ada di palet dan bukannya pudar seperti beberapa jenama lain di pasaran.

“Malah, bagi memudahkan wanita yang mahu cuba bersolek terutama mengindahkan bahagian mata, menerusi True Color Eyeshadow Quad ia hanya semudah empat langkah lebih-lebih lagi turut disertakan nombor di permukaan atas pembayang mata bagi menandakan langkah pemilihan bermula daripada warna asas hinggalah yang utama,” katanya yang sering menyolekkan selebriti terkenal Hollywood seperti Jessica Alba, Nicole Ritchie dan Ginnifer Goodwin.

Begitu juga dengan gincu dan pelembap bibirnya, olesan yang diperlukan tidak melebihi dua kali untuk menyerlahkan warna sebenar yang cantik berkilau.

Berkongsi rutin mekapnya setiap hari, Lauren sukakan solekan semula jadi yang ringkas. Rutinnya hanya mengambil masa kira-kira 15 minit saja di mana dia akan melentikkan bulu mata, sapu sedikit pemerah pipi dan mengoles gincu untuk kelihatan lebih manis.

Terkenal dalam kalangan rakan sebagai pencinta gincu, Lauren suka mencuba pelbagai warna sama ada pastel mahupun terang kerana baginya, selain bahagian mata, bibir turut menjadi fokus utama pandangan khalayak.

“Saya mengesyorkan sekiranya anda sudah memberi lebih tumpuan pada bahagian mata, warna gincu atau pemerah pipi yang dipilih seharusnya lebih semula jadi dan begitu juga sebaliknya.

“Jangan mencampuradukkan terlalu banyak warna kerana wajah yang ‘sarat’ boleh mencacatkan keseluruhan penampilan. Saya percaya gaya minimum yang ringkas dan bersahaja lebih menyerlahkan personaliti anda,” jelasnya.

True Color Eyeshadow Quad sesuai untuk semua ton dan jenis kulit manakala Ultra Color Lipstick dan Ultra Glazewear Lip Gloss diperkaya dengan mentega shea, minyak omega, beri arctic dan vitamin E untuk memberi kelembapan berpanjangan pada bibir.

Ia boleh didapati di butik Avon dan wakil jualannya di seluruh negara mulai bulan ini.

Tip solekan Lauren Andersen

Renjiskan sedikit air pada berus solekan sebelum menggunakannya supaya warna mudah melekat.

Solekan boleh dimulakan dengan bedak asas yang disapu bermula dari bahagian atas wajah menggunakan berus supaya ia lebih rata dan kemas.

Kemudian, sapukan pembayang mata bermula dengan warna lembut terlebih dulu sebagai asas kemudian warna lebih gelap di penjuru mata, sekurang-kurangnya dua atau tiga warna bersesuaian untuk mendapat kesan lebih segar sebelum melukis garisan mata.

Ini diikuti dengan penggunaan pelentik bulu mata dan maskara supaya kesan mata lebih galak.

Sapukan pemerah pipi berwarna merah jambu muda, keperangan atau sedikit jingga agar wajah lebih segar dan kelihatan semula jadi.

Bagi mereka yang berkulit cerah, cukup sekadar mengenakan pengilat bibir berwarna.

Bagi teknik solekan malam, warna yang dipilih perlu lebih terang atau gelap seperti teknik smokey, bersesuaian dengan suasana di waktu malam.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

2,154 views