Senam Tari Inspirasi DNA

BERSAMA alunan muzik segar, sekumpulan anak muda menari mengikut langkah jurulatih tari di hadapan. Adakala perlahan, lama-kelamaan semakin rancak mengikut irama. Pelbagai jenis muzik ditampilkan termasuk hip hop, salsa dan jazz. Setiap langkah berbeza namun mampu diikuti peserta.

Pada wajah mereka tergambar keseronokan kerana mempamerkan aksi menarik. Walaupun ia hanya tarian, terdapat banyak manfaat diperoleh menerusi setiap liuk-lintuk pergerakan tubuh antaranya mengembalikan kelangsingan badan dan meningkatkan stamina.

Kini senaman tarian bukanlah sesuatu yang asing di Malaysia. Celebrity Fitness yang mempunyai lebih 100,000 ahli di 30 cawangan di Indonesia, India termasuk Malaysia memperkenalkan cara baru mendapatkan bentuk tubuh menggiurkan.

Program dikenali sebagai Dance N’ Attitude (DNA) adalah konsep senaman tarian yang membawa satu pengalaman berbeza dan menyeronokkan kepada peserta.

Menurut Pengarah Urusan Celebrity Fitness, Choi Kwang Ho, inspirasi DNA datang daripada pemerhatian kehidupan seharian dan gaya hidup yang bukan menjurus kepada senaman semata-mata tetapi gabungan unsur lain sesuai dengan kehidupan moden masyarakat kota.

“Konsep senaman DNA menawarkan empat jenis tarian berbeza iaitu Seduce, Raw, Insanity dan Flavor. Keempat-empat ini membabitkan gerakan tarian rancak dan perlahan seperti salsa, tango, flamenco, jazz dan hip hop,” katanya pada majlis pelancaran DNA di Pusat Gimnasium Celebrity Fitness di kompleks beli-belah 1 Utama.

Ujarnya lagi, senaman tari ini boleh diikuti sesiapa saja terutama bagi mereka yang baru mula bersenam. Ini kerana dalam setiap sesi terdapat jurulatih berbeza yang akan menerangkan mengenai kebaikan setiap tarian.

Bagi jurulatih tari, Gillian Lee, tarian Seduce adalah pergerakan tarian yang diambil daripada penari latar penyanyi popular seperti J Lo, Beyonce, Lady Gaga dan Shakira. Sebab itu gerakannya lebih mengghairahkan kerana menonjolkan kesan seksi dan gerak menggoda.

“Kebanyakan peserta tampil malu-malu pada mulanya namun selepas dua atau tiga sesi barulah mereka menerima dan seronok dengan setiap goyangan badan serta senaman yang mampu mengembalikan bentuk tubuh.

“Kelebihan Seduce ialah pada goyangan perut kerana tarian ini bermula pada bahagian ini,” katanya yang mendapat idea menghasilkan gerak tari menerusi Internet dan menggabungkannya dengan pengalaman sendiri.

Gerakan tari hip hop yang biasa dimainkan oleh pencinta sukan papan luncur ini pula diaplikasikan dalam kategori Raw termasuk RB, House remix dan funk.

Menurut jurulatih tari, Sunny Cheong, pengalaman menetap di Melbourne, Australia memberi kelebihan kepadanya untuk mempelbagaikan pergerakan mengikut acuan semasa. Dia tidak hanya meniru seratus peratus tetapi menciptanya supaya menjadi lebih praktikal dan mudah diikuti.

“Bukan semua orang mampu menari dengan baik. Jadi apabila menghasilkan pergerakan mengikut alunan muzik saya akan pastikan ia mudah diikuti, paling penting setiap peserta seronok dan ingin datang lagi ke sini,” jelasnya.

Cheung menambah, tarian rancak dan cepat ini mempunyai banyak kelebihan antaranya mampu membakar kalori serta menghilangkan tekanan selepas penat bekerja. Dalam masa 30 hingga 40 minit menari, peserta akan bereksperimen untuk mendapatkan mood sebelum melangkah ke peringkat seterusnya.

Kelincahan serta kemolekan gerakan salsa sehingga gerakan tarian latin seperti mambo, meringue, flamenco, tango dan cha cha pula mewakili kategori Flavor. Gerak tari yang ringkas, mudah dan menyeronokkan ini menjadi pilihan pelbagai peringkat usia untuk mencuba.

Insanity pula adalah gerakan rancak inspirasi daripada pergerakan pesta atau kelab malam. Tarian ini menggabungkan muzik pop moden dan kontemporari untuk rentak gaya bebas. Ia lebih ekspresif dan relaks.

Meskipun gerakan dalam setiap kategori sangat menghiburkan namun, ia tetap membakar sehingga 1,000 kalori pada satu-satu masa. Ini bererti jika dilakukan secara konsisten setiap kali berdansa DNA mampu membakar lemak hingga satu kilogram.

Kelas DNA boleh diikuti di semua cawangan Celebrity Fitness bergantung kepada jadual. Bagi mereka yang mendaftar sebagai ahli mendapat keistimewaan dengan menyertai kelas DNA secara percuma mengikut jadual yang sudah ditetapkan.

Usah bimbang sekiranya anda bukan seorang penari profesional kerana jurulatih bertauliah dan mesra akan melatih mengikut setiap tarian. Kepada yang berminat, boleh melayari www.celebrityfitness.com atau di www.facebook.com/CelebrityFitnessMalaysia untuk maklumat lanjut.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

2,230 views