Senaman Parti Kolam

Melihat penampilan lima wanita yang lengkap berpakaian renang tentu sekali kita menyangka yang mereka ingin menjalani latihan berenang. Namun saat muzik rancak dimainkan, mereka mula mengambil tempat di kolam yang mempunyai kedalaman 1.2 meter.

Melihat pergerakan dengan iringan jurulatih, ternyata ia sama seperti senaman Zumba. Apa yang membezakannya, Aqua Zumba dilakukan di kolam renang dengan mempamerkan gabungan tarian dan senaman akuatik.

Dikenali sebagai senaman parti kolam, Aqua Zumba mula diperkenalkan di Sepanyol dan mulai popular di Amerika Syarikat sebagai salah satu kaedah mengekalkan kelangsingan tubuh. Malah pendekatan diterapkan menerusi tarian di dalam air ini selamat, mudah dan menceriakan.

Apa yang penting, siri tarian yang mempesonakan mengikut alunan muzik rancak seperti latin, reggaeton, salsa, samba, tango dan pop mampu memberi semangat dan motivasi kepada individu yang tidak gemar beraksi di gimnasium atau berlari di padang bagi mendapatkan tubuh ideal.

Oleh itu, mereka yang sukar melakukan aktiviti fizikal yang memerlukan banyak tenaga, tarian Aqua Zumba jawapan terbaik.

Ketika berkunjung ke pusat renang Seri Bangi, baru-baru ini, penulis dapat merasai keseronokan lima wanita yang cukup teruja melakukan Aqua Zumba berbanding aerobik atau aktiviti di gimnasium kerana selain merasai kelainan, ia juga memberikan kelebihan berganda kepada tubuh.

Ini diakui jurulatih Aqua Zumba, Adasandha Anuar, 29, yang juga tenaga pengajar senamrobik bertauliah yang mengatakan ketiadaan graviti di air membuatkan tubuh mudah terapung, sekali gus menjadikan otot perlu bekerja keras melawan gelombang.

Disebabkan itu, Aqua Zumba sesuai untuk mereka yang mempunyai masalah berat badan, diabetes, sakit sendi dan pinggang. Malah ibu mengandung juga digalakkan menyertainya kerana apa saja pergerakan menjadikannya tidak berbahaya. Lebih istimewa apabila senaman ini boleh dilakukan sesiapa saja termasuk mereka yang tidak pandai berenang atau takut air.

“Senaman ini memberi harapan baru kepada individu yang mempunyai masalah berat badan atau obesiti, diabetes, sakit lutut dan pinggang kerana golongan ini sememangnya tidak digalakkan melakukan aerobik atau bersenam berat di gimnasium. Bagi pesakit diabetes pula, mereka harus memakai kasut renang khas bagi mengelak kaki tercedera.

“Pergerakan Aqua Zumba membolehkan golongan ini melakukan beberapa siri pergerakan tanpa sebarang masalah. Sekiranya dibuat secara konsisten, ia mampu mengurangkan masalah sakit lutut, sendi dan pinggang seterusnya menurunkan berat badan,” katanya.

Diterajui jurulatih yang berada di atas (darat) manakala peserta di dalam air, senaman ini tidak memerlukan peserta menghafal langkah senaman, sebaliknya hanya perlu mengikut gerakan secara dinamik bersama rentak muzik dimainkan.

Sama seperti Zumba, tarian ini juga mengikut kreativiti jurulatih tetapi dilakukan secara perlahan disebabkan tekanan air yang memberi impak kepada pergerakan. Namun halangan inilah yang memberi kebaikan kepada tubuh, selain membantu meningkatkan stamina dan kekuatan otot. Ini kerana di dalam air, jumlah pembakaran kalori meningkat tiga kali ganda berbanding senaman di gimnasium atau senamrobik.

“Aqua Zumba boleh diibaratkan gimnasium dalam air yang tidak menggunakan sebarang peralatan, sebaliknya otot sebagai bebanan. Ia bagus untuk kecerdasan otot teras kerana membabitkan pergerakan kaki dan tangan. Hayunan tangan dan setiap langkah memberi kesan kepada kekuatan otot kerana secara asasnya, jika Aqua Zumba dilakukan dengan betul dan bersungguh-sungguh, ia mampu membakar kalori sehingga 900 berbanding senaman biasa iaitu 300 kalori saja,” katanya.

Mempunyai ramai peserta dalam kalangan wanita berusia 40-an ke atas, Adasandha mengakui golongan ini sememangnya memerlukan stamina untuk menguruskan keluarga dan pada masa sama, bekerja di pejabat. Daripada maklum balas peserta, mereka mengakui selepas mengikuti Aqua Zumba, tubuh lebih bertenaga dan segar. Ini bermakna mereka dapat menguruskan kerja di pejabat dan urusan keluarga dengan mudah.

Bagi yang mengalami masalah sukar tidur, ia antara terapi paling berkesan kerana selepas otot bekerja keras melakukan pergerakan, waktu malam masa sesuai untuk berehat.

Mengikut kajian Pengarah Pusat Tidur Universiti Glaslow, Prof Colin Espie, tidur nyenyak dan berkualiti pada waktu malam amat penting untuk kecergasan fizikal dan mental serta cara semula jadi membekalkan rehat, pemulihan dan tenaga kepada manusia, sekali gus membantu pembakaran lemak. Individu yang kurang tidur akan terdedah kepada penyakit jantung dan angin ahmar.

“Lebih menggembirakan apabila ada wanita yang mengalami sakit lutut kini sudah mampu berdiri dan solat tanpa bantuan kerusi. Inilah yang saya harapkan agar senaman yang saya jalankan ini bukan saja meningkatkan tahap kesihatan juga membolehkan wanita solat dengan sempurna.

“Lebih membuatkan saya teruja apabila wanita yang sudah menopaus kembali ceria saat melakukan Aqua Zumba. Kata mereka, sudah lama tidak menikmati aktiviti yang bukan saja menyeronokkan tetapi membuatkan mereka berasa kembali seksi,” katanya.

Perlu patuhi peraturan

Sama seperti berenang, sesiapa saja yang ingin melakukan Aqua Zumba perlu berpakaian renang lengkap bertopi (bagi yang bertudung). Mereka juga perlu patuh dengan beberapa arahan misalnya perlu membasahkan badan bagi menyamakan suhu badan ketika masuk ke dalam air.

Mereka juga dilarang melakukan aksi berbahaya seperti terjun atau melompat terlalu tinggi yang boleh mencederakan diri.

“Pernah terjadi disebabkan terlalu teruja, seorang peserta membuat aksi terjunan sehingga bibirnya luka. Oleh itu, saya sering menasihatkan peserta supaya menjaga diri dan mengikut arahan diberikan. Dengan kedalaman kolam 1.2 meter, ia sebenarnya tidak berbahaya walaupun ramai antara mereka tidak tahu berenang. Sebagai langkah keselamatan, saya sentiasa ada di hadapan untuk memberikan arahan. Saya sendiri mampu berenang sekiranya ada perkara yang tidak diingini berlaku,” katanya.

Peserta juga digalakkan minum air terlebih dulu sebelum masuk ke kolam bagi mengelak kekejangan otot. Namun sekiranya masih berlaku, mereka perlu bertenang dan tidak panik. Biarkan kaki berada dalam keadaan selesa di dalam air sehingga pulih sepenuhnya. Sekiranya bergerak atau cuba melakukan urutan, ia hanya akan memburukkan keadaan dan menambah kesakitan.

Berpengalaman sebagai jurulatih senaman kecergasan pada usia 20 tahun, pemegang Ijazah Sains Sukan dan Rekreasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam ini mendalami Aqua Zumba disebabkan ingin mempelbagaikan kemahiran, selain berkongsi dengan wanita terutama mereka yang mempunyai masalah kesihatan.

“Walaupun mahir dalam aerobik dan senamrobik, saya memberi tumpuan kepada Aqua Aerobik dan Aqua Zumba kerana di Malaysia, senaman ini masih baru dan belum ramai jurulatih berkelayakan dalam bidang ini.

“Saya menerima jemputan sebagai tenaga pengajar Aqua Zumba terutama untuk agensi korporat seperti UiTM, Universiti Malaya juga berkumpulan yang inginkan perkhidmatan kejurulatihan seperti di Seri Bangi dan Semenyih dengan bayaran yang sangat berpatutan,” katanya yang turut berperanan sebagai perunding gimnasium atau studio serta turut menyediakan perkhidmatan jurulatih senaman.

Kurangkan berat badan

Mengalami masalah berat badan sehingga mencecah 68 kilogram membuatkan Raja Zarina Othman, 42, teruja untuk menyertai Aqua Zumba selepas diperkenalkan jurulatih aerobik, Adasandha sekitar Oktober tahun lalu.

Mulanya dia tidak pernah terfikir adanya senaman dalam air yang bukan saja memberikan banyak kebaikan pada tubuh dan pada masa sama, begitu menyeronokkan. Ini kerana dia sendiri tidak pernah terlepas peluang turun ke kolam renang setiap kali bercuti bersama keluarga.

“Jadi selepas diperkenalkan saya terus bersetuju mencubanya. Ibarat cinta pandang pertama, saya merasakan inilah senaman yang sesuai dengan jiwa saya. Selepas seminggu saya mulai rasakan perbezaannya, tubuh lebih ringan, bertenaga dan segar terutama apabila saya perlu melakukan tugas menguruskan keluarga.

“Berat badan pula mulai berkurangan sedikit demi sedikit sehingga turun kepada 57 kilogram. Memang saya cukup gembira dengan perkembangan ini,” katanya yang berasal dari Semenyih, Selangor.

Menurut Raja Zarina, kali pertama melakukannya ia tidaklah sesukar seperti disangka. Cuma pergerakan sedikit perlahan dan terkawal disebabkan perlu melawan gelombang air. Namun ciri ini menjadikan otot lebih kuat dan ketat.

Memiliki tiga anak, suri rumah ini melakukan Aqua Zumba dua kali sebulan manakala hari lain dipenuhi dengan aerobik. Sejak mengamalkan rutin senaman, dia juga begitu menjaga pemakanan dengan hanya mengambil nasi sebelum jam 10 malam serta mengelak minum air manis.

“Selepas menyertai senaman ini, saya semakin tegas soal pemakanan kerana saya merasakan senaman saja tidak mencukupi tanpa makanan seimbang. Inilah keseronokannya selain menjaga kesihatan, saya juga mendapat ilmu mengenai diet seimbang dan pemakanan yang dikongsi bersama peserta lain,” ujarnya yang kini menggunakan kolam renang untuk melakukan pergerakan Aqua Zumba terutama ketika bermalam di hotel.

Tubuh jadi langsing

Fadhlina Zakri, 34, kali pertama menyertai senaman ini sekitar Januari tahun lalu. Ibarat cinta pandang pertama, dia terus mengikutinya sehingga sekarang. Walaupun di hadapan ada jurulatih bertauliah dan dia hanya perlu mengikut setiap langkah, senaman dalam air lebih sukar berbanding di darat.

“Ketiadaan graviti menyebabkan pergerakan menjadi sukar. Namun jika dilakukan secara betul dan konsisten, ia berupaya menjadikan tubuh lebih cantik dan langsing. Ini kerana dalam air pembakaran kalori bertukar tiga kali ganda berbanding di gimnasium atau rumah,” katanya.

Bagi mengelak rasa panas atau bahang ketika melakukan pergerakan, peserta digalakkan minum air sama ada sebelum atau selepas bersenam.
Bersenam juga menjadikan diri Fadhlina lebih menguasai amalan pemakanan sihat. Ibu kepada empat anak ini percaya pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan setiap hari adalah sumber antioksidan paling berkesan.

“Sebab itu saya menjaga pemakanan dengan mengambil makanan seimbang mengikut piramid makanan. Saya turut menerapkan amalan pemakanan sihat kepada anak-anak di rumah. Malah mereka tidak digalakkan mengambil air manis dan memperbanyakkan air kosong kerana bagus untuk pengaliran darah,” katanya.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

1,895 views