Senaman Perlu Berterusan

Walaupun setiap hari dihidangkan dengan kesibukan kerjaya dan urusan rumah tangga, tetapi ia tidak menghalang sekumpulan wanita daripada Kelab Senam Tari Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) menganjurkan aktiviti senamrobik.

Diadakan selepas waktu bekerja dua kali seminggu pada setiap Selasa dan Khamis, aktiviti senamrobik berkenaan dijalankan dengan jayanya hasil bantuan jurulatih jemputan khas.

Masa yang diperuntukkan untuk setiap sesi hanyalah satu jam dan ia adalah waktu terbaik bagi mengaktifkan fizikal badan ke arah lebih sihat.

Sejak ditubuhkan pada 2010 lalu kelab berkenaan berkembang daripada lima ahli yang aktif kepada 20 ahli yang sentiasa menyokong setiap aktiviti dijalankan.

Tidak dinafikan kebanyakan ahli yang menyertai kelab berkenaan adalah kakitangan PPUKM, tetapi ia tidak bermakna ia tidak terbuka kepada individu luar.

Malah, makin ramai individu luar yang ingin menyertai senamrobik berkenaan bagi memeriahkan lagi aktiviti senaman yang dilakukan.

Menurut pengasasnya, Noraziana Ahmad Tarmizi, 27, pada mulanya kelab terbabit ditubuhkan sekadar untuk bersuka-suka selepas waktu kerja.

Namun, lama-kelamaan ia menjadi makin ‘popular’ terutama kepada wanita yang ingin memastikan badan berada dalam keadaan sihat tanpa perlu mengeluarkan belanja mahal.

“Walaupun hanya dianjurkan dua kali seminggu tetapi ia menjadi satu cara untuk mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara kakitangan.

“Sungguhpun bekerja di bawah satu bumbung tetapi masing-masing sibuk dengan pengkhususan kerja tersendiri dan belum tentu akan bersua muka. Namun dengan aktiviti ini semua boleh bersama untuk jangka masa yang singkat,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Bayangkanlah segala tekanan kerja seharian boleh diluahkan melalui tarian senamrobik berkenaan. Tidak perlu bermasam muka hanya disebabkan berasa tidak puas hati dengan tugasan dilakukan sebaliknya keluarkan ketidakpuasan itu melalui peluh.

“Saya amat berpuas hati dengan perkembangan kelab ini kerana tidak menyangka ia mampu bertahan hingga kini dengan pertambahan jumlah ahli yang memberangsangkan.

“Ia terbuka kepada semua kakitangan dengan bayaran minimum yang amat berpatutan dan pastinya memberikan keseronokan secara sihat,” katanya.

Selain itu, kelab berkenaan turut aktif mengikuti pertandingan senamrobik yang dijalankan sekitar Lembah Klang.

Pada 3 Mac lalu kelab berkenaan mendapat tempat kelapan daripada 20 penyertaan melalui pertandingan senam tari peringkat wilayah 2013.

Terkini pada 23 Mac lalu juga melalui pertandingan senam tari anjuran Astro di dataran Tesco Ampang yang mana kelab berkenaan memperoleh tempat kedua daripada keseluruhan peserta bertanding.

Di samping itu, dalam setiap aktiviti senamrobik dijalankan pastinya perkara menarik yang menjadi perhatian ialah pemilihan lagu dan muzik yang digunakan bagi mengiringi gerak langkah senaman.

Malah, bagi mereka yang ingin mengikutinya tidak perlu memiliki kemahiran tertentu tetapi cukup dengan hanya mengetahui asas gerakan senamrobik.

Menurut jurulatih senamrobik, Herniwati Abdul Hadi, 47, walaupun nampak sukar tetapi dengan latihan secara berterusan setiap gerakan yang digunakan itu mampu dipelajari dengan mudah.

“Disebabkan itulah kombinasi muzik dan gerakan perlu sepadan bagi memudahkan peserta mengingati apakah langkah seterusnya yang perlu dilakukan.

“Kesesuaian inilah membentuk gaya harmoni senamrobik dan membolehkan mereka yang mengikutinya melakukan gerakan yang sama dengan cara bersahaja,” katanya.

Dia yang bertugas di Unit Latihan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengakui bukan mudah untuk membentuk koreografi berterusan dalam senamrobik.

Namun, kesesuaian lagu yang digunakan memainkan peranan dalam menentukan gerakan yang dicipta bagi memastikan ia mampu ‘di tarikan’ dengan sempurna.

Kebiasaannya antara pilihan lagu yang sentiasa mengiringi aktiviti senamrobik lebih bersifat rancak. Gabungan poco-poco, rumba, joget, bangra, latin, cha cha, mambo, dangdut serta Bollywood menjadikan senam tari berkenaan lebih meriah.

“Saya banyak menumpukan fokus titik senaman pada bahagian otot peha, lengan dan perut. Tidak dinafikan wanita memiliki banyak masalah di bahagian berkenaan.

“Oleh itu, setiap gerakan akan memberikan lebih tekanan pada bahagian terbabit. Walaupun dilakukan secara santai tetapi ia mampu memberi kesan diingini dengan mudah,” katanya.

Sementara itu menurut peserta yang sentiasa mengikuti senamrobik dijalankan, Rosnah Abdul Manan, 54, dia mula menyertai kelab ini sejak di awal penubuhannya lagi.

Bukan saja ia mampu membuatkan tubuh berasa lebih sihat tetapi turut mengeratkan hubungan silaturahim antara peserta.

“Suami amat memberikan sokongan hinggakan dia sanggup menunggu saya pada setiap hari aktiviti senamrobik dijalankan. Malah, di rumah juga saya akan pastikan aktiviti senaman ini tidak disia-siakan. Ia perlu dilakukan secara berterusan bagi memastikan badan sentiasa sihat,” katanya.

Selain itu, bagi Shamsiah Arifin, 47, aktiviti senamrobik yang dijalankan ini bukan saja menyeronokkan malah, membolehkannya memperoleh ramai rakan baru.

Katanya, aktiviti yang dijalankan juga tidak membebankan serta tidak mengganggu kerja kerana ia diadakan selepas waktu kerja.

“Sepanjang menyertainya saya tidak pernah berdepan dengan sebarang masalah malah, berasa diri lebih ringan dan sihat. Segala tekanan kerja juga seolah-olah hilang begitu saja.

“Ia boleh dijadikan sebagai motivasi positif untuk diri kerana ia bukan saja membantu menurunkan berat badan secara semula jadi malah, turut menceriakan diri dengan cara tersendiri,” katanya.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

696 views