Senangnya Buat Kek

Bukan senang untuk menghasilkan kek yang sedap di samping dekorasi menarik, namun hasil pembelajaran daripada ramai guru dan mempraktikkan kemahiran itu di rumah memberi peluang kepada sesiapa saja untuk menjadikan seni pembuatan kek sebagai pendapatan sampingan.

Penghasilan kek perlu cantik sekiranya mahu menarik ramai pelanggan terutama untuk majlis perkahwinan, ulang tahun kelahiran dan pelbagai majlis lain.

Ini diakui pemilik Cha Chocolate dan Cupcakes, Zariza Sadar yang berkata, selain keenakan rasa, dekorasi juga perlu menarik dan mengikut perkembangan semasa.

Katanya, dekorasi yang menarik akan menambah seri kek di samping rasa yang enak dengan pelbagai perisa di bahagian dalamnya.

“Bukan senang untuk menghasilkan kek yang enak, namun dengan pembelajaran daripada pelbagai guru secara berterusan dan mempraktikkan di rumah akan menjadikan kek yang dibuat cantik serta sedap.

“Walaupun kek yang dibuat itu hanya untuk dibuat makan bersama keluarga, apa salahnya kita membuatnya dengan lebih cantik dan perasaan kasih sayang,” katanya naluri itu akan menambahkan lagi keenakan kek dibuat.

Selain membuat kek untuk memenuhi masa lapang dan mengambil tempahan, Zariza turut menganjurkan kelas hampir setiap hari untuk mereka berminat.

Katanya, setiap hari dia akan mengajar membuat kek sekurang-kurangnya sebiji kek kepada pelajar persendirian dan secara berkumpulan pada hari minggu.

“Kelas persendirian, saya akan mengajar mereka daripada awal hinggalah membuat dekorasi kek yang indah dan cantik.

“Untuk kumpulan, saya akan menunjukkan cara membuat kek kepada mereka sebanyak tiga biji sehari dengan perisa berlainan seperti yang dimahukan mereka.

“Kesemua kelas ini akan memastikan pelajarnya pandai membuat kek sendiri daripada awal hinggalah siap sebiji kek yang boleh dijual,” katanya menghadiri kelas itu membolehkan pelajarnya membuka perniagaan membuat kek secara online.

Ini diakui apabila beberapa bekas pelajarnya sudah membuka perniagaan sendiri dan mereka melahirkan rasa gembira kerana berjaya mendapat tempahan setiap hari.

Katanya, belajar membuat kek perlu fokus dan mempraktikkan di rumah bagi mengasah bakat, sekiranya tidak diasah seni membuat kek akan hilang.

Menurutnya, antara kek popular yang diajarnya ialah pelangi, coklat indulgence, mentega, buah-buahan, kek keju, kek cawan dan sebagainya.

“Hampir kesemua kek mempunyai perkara asas yang sama iaitu tepung, telur dan mentega tetapi mereka perlu pandai membuat adunan supaya kek yang dibuat lembut.

“Selain adunan yang betul, suhu sesuai juga perlu untuk membakar kek bagi mengelakkan ia hangit atau tidak masak di bahagian dalam,” katanya yang memberi sedikit tip.

Zariza berkata, melihat pelajarnya pandai membuat pelbagai jenis kek dalam masa singkat adalah satu perkara yang sangat indah kerana hasil ilmu yang dicurahkan amat berguna kepada mereka.

Menurutnya, dia mempelajari teknik membuat kek dengan beberapa guru hampir 10 tahun lalu dan mengambil tempahan daripada rakan-rakan.

Katanya, melihat sambutan menggalakkan daripada mereka mendorongnya untuk mengambil tempahan daripada orang luar sebelum mengambil keputusan menganjurkan kelas sejak tiga tahun lalu.

Kelasnya mendapat sambutan baik kerana hampir setiap hari ada beberapa pelajar yang datang secara peribadi untuk membuat kek.

Bagi peserta, Siti Hazwani Ismail, 24, walaupun mempunyai kelulusan Ijazah Sarjana Muda jurusan Biokimia dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), namun bukan tiketnya mendapat pekerjaan yang bagus.

Katanya, walaupun sudah setahun menghabiskan pengajian, namun dia masih belum mendapat tempat sebagai pekerja walaupun sudah banyak menghantar permohonan.

“Bukan rezeki saya lagi untuk mendapat pekerjaan yang baik, tetapi saya tidak mudah putus asa dan akan terus mencuba melakukan perkara lain.

“Melihat peluang di depan mata yang terbuka luas dan pasaran menjual kek pada masa ini menguntungkan, saya tertarik menghadiri kelas membuat kek.

“Saya mempelajari teknik membuat kek ini untuk menjadikan ia sebagai pendapatan sampingan kerana mahu memiliki wang sendiri walaupun tanpa kerja yang baik,” katanya.

Menurutnya, menghadiri kelas membuat kek yang dianjur oleh Sariza amat bagus kerana ia mudah memahami apa yang diajar.

Katanya, sebelum ini dia hanya pandai membuat kek biasa dan hiasan biasa sahaja, namun selepas mengikuti kelas itu dia sudah pandai membuat dekorasi yang lebih menarik.

Walaupun hanya menghadiri kelas seharian, tetapi ia sudah cukup untuknya mempelajari seni pembuatan daripada awal hingga kepada hiasan di atas kek.

Dengan menghadiri kelas itu akan mengasah lagi bakat yang terpendam yang dimilikinya itu.

Sebelum ini, dia hanya mengambil tempahan daripada rakan-rakan dan berharap selepas ini boleh mengembangkan lagi perniagaan yang baru dibinanya itu.

“Membuat kek bukan sahaja memberi kepuasan kepada diri, malah menggembirakan hati apabila pelanggan memuji rasa kek yang dibuat dan dekorasi yang dibuat.

“Bukan senang untuk mencantikkan kek sekiranya kita tidak belajar kerana dengan menuntut ilmu daripada pelbagai guru akan membuatkan ilmu kita lebih bersinar,” katanya yang akan mempraktikkan kemahiran itu di rumah.

Menurutnya, sebelum mengambil tempahan kek perkahwinan atau hari lahir, dia akan mencuba membuat beberapa jenis kek dengan dekorasi berlainan.

Sementara itu, Edwien Hafizan Adiwijaya, 34, berkata walaupun dia sudah mempunyai kemahiran membuat kek dan mengambil tempahan pelanggan sejak setahun yang lalu, namun ia tidak cukup kerana perlu belajar dengan lebih mendalam.

Katanya, setiap hari dia akan mendapat tempahan sekurang-kurangnya sebiji kek.

“Saya hanya pandai membuat dekorasi yang biasa sahaja di atas kek, oleh itu saya sentiasa mencari peluang untuk mempelajari teknik membuat pelbagai jenis kek.

“Dekorasi kek ini seperti fesyen apabila mereka turut berlari dengan pantas dan laju mengejar masa.

“Oleh itu, sebagai pembuat kek, saya perlu mempelajari teknik terkini untuk menghasilkan pelbagai jenis kek dengan dekorasi moden,” katanya.

Menurutnya, walaupun hanya dapat mempelajari dua jenis kek pada hari itu, namun sudah memadai apabila mendapat ilmu dan pengalaman baru untuk disajikan kepada pelanggannya.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

666 views