Senggugut Teruk Hingga Tidak Boleh Bangun

MASALAH saya berkaitan dengan senggugut.  Saya berusia 34 tahun, masih bujang dan tinggal bersama keluarga. Saya baru saja mengalami masalah senggugut dalam tempoh dua hingga tiga tahun kebelakangan ini.

Pada mulanya senggugut itu tidak begitu ketara dan saya boleh menahan sakit tanpa menelan sebarang ubat tetapi lama kelamaan ia semakin teruk. Sakit ini datang selama tiga hari berturut-turut iaitu sehari sebelum haid, hari pertama dan hari kedua semasa haid.

Apabila mengalami kesakitan itu, saya tidak boleh bekerja langsung malah hendak bangun pun sukar. Ia terlalu sakit terutama di bahagian bawah ari-ari dan pinggang berserta muntah. Untuk menahan sakit, saya mengambil enam hingga lapan biji ubat penahan sakit.


Selain sakit semasa haid, sakit ini juga datang kembali seminggu selepas haid berakhir. Ia berlaku sejak setahun lalu.
Harap doktor dapat memberi pandangan kerana saya sangat risaukan masalah ini.

FAZILA,
Lanchang, Pahang.

DOKTOR tidak dapat menilik penyakit anda, kecuali setelah mengambil tahu cerita atau sejarah dan menjalankan pemeriksaan. Kadangkala, ia memerlukan bantuan ujian tertentu, semudah imbasan ultrabunyi.

Masalah senggugut boleh berpunca daripada penyakit endometriosis tetapi penyakit ini sukar untuk disahkan secara pemeriksaan saja kecuali jika ia menyebabkan cyst endometrioma pada ovari. Anda harus menjalani pemeriksaan doktor untuk mengesan keabnormalan terbabit.

Secara prinsipnya, penyakit endometriosis memerlukan penilaian langsung iaitu secara pembedahan untuk mengesahkan dan mengetahui tahapnya. Sekiranya pemeriksaan menunjukkan keabnormalan pada ovari dan rahim, anda mungkin akan bersetuju untuk menjalani pembedahan.

Jika tidak, pilihan untuk menjalani pembedahan secara teropong (laparoskopi) ini terletak pada anda yang menanggung kesakitan itu. Harus diingat, apabila melakukan pembedahan, doktor lazimnya tidak menjanjikan seseorang hilang kesakitannya, tetapi membuang atau merawat penyakit yang dikesan.

Jika kesakitan berkenaan disebabkan penyakit itu, berkemungkinan besar ia akan hilang. Buat sementara waktu, anda boleh mencuba rawatan mudah misalnya minyak evening primrose atau pil berhormon contohnya pil perancang dan seumpamanya.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

53,941 views