Sentuhan Gaya Glam Diva
Siapa yang tidak mahu tampil cantik menawan di semua majlis terutama makan malam dan kenduri perkahwinan.
Sekalipun tidak pandai bergaya, teknik mekap yang betul mampu membuatkan wajah begitu menawan, sekali gus meningkatkan keyakinan diri.
Untuk kelihatan lain daripada biasa, mekap di bahagian mata perlu dititikberatkan supaya ia kelihatan lebih besar dan bundar, seakan-akan mata wanita Arab.
Pemilik La Diva Touch, Nur Afira Batrisya Mohd Afifie atau lebih dikenali sebagai Shanu berkata, tema mekap glam diva sentuhannya membuatkan si gadis lebih menyerlah daripada biasa.
Mekap ini bukan saja menonjolkan bahagian mata, malah memperlihatkan rahang pipi bak pauh dilayang.
“Penggunaan warna hitam di bahagian mata membuatkan mata kelihatan lebih galak. Bahagian mata memang penting untuk menonjolkan pesona wajah,” katanya.
Lazimnya, mekap berkenaan sesuai untuk majlis makan malam, malah mekap lebih menyerlah selepas setengah jam apabila muka kelihatan lebih bersinar.
“Mekap ini juga sesuai untuk sesi penggambaran kerana akan lebih menyerlahkan penampilan,” katanya.