Sentuhan Kreatif
Zurinah Hassan penyair yang dikenali ramai. Penyair yang menghasilkan antologi sajak antaranya bertajuk Sesayup Jalan, Di Sini Tiada Perhentian, Keberangkatan dan Pujangga Tidak Bernama.
Insan bergelar penyair ini memang istimewa. Istimewa kerana mereka memerhati, merenung dan mendalami. Dari situ segala rasa dicerna dan dizahirkan dengan kata-kata indah menjadi puisi.
Penyair ada gaya penyampaian yang membezakan mereka daripada penyair yang lain. Gaya itu juga yang membuatkan keistimewaan puisi mereka terserlah dan melekat di hati apabila membacanya.
Penulis dan Zurinah belum pernah berkenalan. Walaupun mungkin kami pernah berselisih di majlis karyawan seni, takdir menentukan baru kini kami dapat berbicara.
Petang itu penulis menuju ke Shah Alam, daerah kediamannya sejak 1974 lagi.
Tentu saja dalam pertemuan pertama, kejanggalan mudah terasa bagi pihak Zurinah berbanding penulis. Apa tidaknya, penulis yang banyak menyoal dan dia perlu menjawab.
Lantas penulis menerangkan, pada pertemuan itu mahu mengenalinya dengan lebih mendalam. Dari situ barulah menyingkap dunia seninya pula dan seterusnya berbicara mengenai Anugerah Sunthorn Phu yang bakal diterimanya pada 26 Jun.
Tidak lama kejanggalan itu berlangsung kerana selepas beberapa ketika, Zurinah tampak selesa dan kami mula bersembang mengenai banyak perkara.
Wanita kelahiran negeri Jelapang Padi ini mempunyai enam cucu yang dipanggil Tok Nah oleh cucunya. Pengalaman hidupnya tentu berwarna-warni dan memberi inspirasi.
Perbualan kami menyingkap pengalaman kerjayanya ketika di Kementerian Penerangan. Selama 16 tahun dia di situ, akhirnya berhenti kerana jemu dengan rutin hariannya ketika itu.
Dengan kesesakan lalu lintas yang perlu diharungi saban hari dan pada masa sama menghadapi kesukaran mencari masa untuk menulis.
Setelah itu rutinnya menjadi lebih bebas. Namun, dua tahun kebelakangan ini, Zurinah kembali ke dunia kerjaya sebagai Karyawan Tamu, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya. Segalanya demi menyuntik pembaharuan dalam perjalanan hidupnya sebagai insan seni.
“Dulu ketika anak masih kecil bukan mudah mencari masa untuk menulis. Menjadi ibu dan menjaga anak bukan boleh dibuat jadual. Banyak yang tidak dijangka.
Apabila mereka sakit atau cedera, perkara itu membuatkan segala perancangan tergendala,” cerita Zurinah, 64, menyingkap tugas hakikinya sebagai isteri dan ibu.
Memang benar, dunia penulisan bagi wanita bergelar isteri dan ibu tidak semudah lelaki. Lelaki boleh saja memperuntukkan waktu untuk menulis tanpa diganggu cerita rumah tangga. Lelaki tidak akan dipersalahkan dan tampak manis saja kerana mereka lelaki. Wanita pula sebaliknya. Wanita perlu menjadi ‘superwoman’.
“Pada zaman kerjaya dulu saya menggunakan waktu di dalam kenderaan awam ketika pergi dan balik bekerja sebagai kesempatan untuk berfikir dan mencatat sesebuah penghasilan karya,” katanya.
Sebenarnya memang ramai penulis hebat seperti Zurinah yang membina idea penulisan mereka di dalam kenderaan awam.
Sekarang mungkin semuanya mudah bagi menyenangkan lagi tugas sebagai penulis dengan adanya begitu banyak teknologi yang membantu.
“Tahun 60-an dulu bukan ada komputer. Mesin taip pun susah hendak cari. Semuanya perlu ditulis tangan,” kongsi Zurinah mengenai zaman sukarnya pada awal dia memulakan langkah.
Kenangan zaman lalu di Kedah pasti masih ada di hati Zurinah, tetapi lazimnya bagi manusia biasa, apabila kita sudah bermastautin lama di sesuatu tempat, berkeluarga dan melalui kenangan baru yang tersendiri, Shah Alam sudah umpama kampung Zurinah kini. Ibu bapanya pun sudah tiada.
Sama seperti penulis lain, Zurinah bersetuju, karyanya adalah sesuatu yang dekat dengan dirinya.
“Karya ditulis atau diluahkan apabila ada sesuatu mengganggu perasaan. Walaupun waktu itu saya menulis mengenai Hang Tuah misalnya, kaitannya masih kena mengena dengan diri saya sendiri,” katanya.
Insan seni biasanya nampak sesuatu dari sudut yang lain, sekali gus menjadikan tulisan mereka istimewa. Mereka mungkin membangkit sesuatu isu, tetapi ia disentuh dari sudut yang kreatif.
“Bagaimana bermula mendapat sentuhan untuk menulis itu? Mungkin sedang menonton televisyen, mungkin juga sedang melihat alam. Dari situ kita terfikir sesuatu lantas menulisnya. Jadi ia memang ada kaitan mengenai diri,” katanya.
Anak-anak Zurinah semuanya dekat dengan seni sama ada penulisan atau muzik terutama anak sulung, Raihani yang sangat mengikut jejaknya.
“Saya ada membaca tulisannya seperti cerpen dan saya dapati hasilnya sangat bagus,” kata Zurinah mengenai anak sulungnya, Siti Raihani Mohamed Saaid.
Bangga seorang ibu terhadap anaknya sangat bermakna. Ia pengiktirafan yang sangat menyentuh hati.
Raihani, lulusan ijazah sarjana muda sastera turut menulis puisi, skrip drama dan novel remaja. Puteri kedua Zurinah, Ainul Huda pula menjawat jawatan sebagai pegawai berita di Bernama, seterusnya Muhammad Taufiq sebagai pegawai di Lembaga Zakat Selangor yang turut boleh bermain gitar dan percussion.
Anak keempat, Muhammad Faiz yang kini melanjutkan pelajaran di peringkat doktor falsafah, boleh bermain gitar, harmonika, keyboard dan biola. Anak bongsu pula, Aina Mastura, yang boleh bermain gitar kini masih menuntut di Universiti Teknologi Mara.
Tahun ini, kehebatan Zurinah semakin menjadi sebutan apabila dia menerima Anugerah Sunthorn Phu yang diumumkan oleh Menteri Kebudayaan Thailand, Sonthaya Kunplome. Turut menerima anugerah sama ialah penerima dari Brunei Darussalam, Kemboja, Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina, Singapura, Vietnam dan Thailand sendiri.
Setiap negara Asean memilih penyair masing-masing bagi anugerah itu dan Malaysia memilih Zurinah Hassan. Jawatankuasa Pemilihan Malaysia untuk anugerah berkenaan diketuai Rektor Aswara, Prof Dr Hatta Azad Khan.
Anugerah ini diwujudkan oleh Kementerian Kebudayaan Thailand yang mengabadikan nama penyair istana terkenal, Phra Sunthorn Vohara dalam era Rattanakosin yang dilahirkan pada 1786 dan meninggal dunia pada 1855.
“Ini anugerah baru yang dicipta khas untuk penyair. Sebuah anugerah daripada pihak luar Malaysia. Saya antara penerima pertama anugerah ini mewakili Malaysia dan ia sememangnya satu sejarah. Sejarah bagi Malaysia dan sejarah bagi anugerah itu sendiri. Tentu saja rasa teruja sangat mendalam di hati saya,” katanya.
Sejarah yang manis bukan hanya buat Zurinah, tetapi wajarnya menjadi manis buat kita semua. Zurinah sangat menghargai anugerah ini kerana melihat pengiktirafan dari pihak luar terhadap penyair.
“Pihak luar memperlihatkan kesungguhan mereka untuk menghargai insan seni dan mengambil berat mengenai sastera. Saya teruja dan gembira kerana usaha menghargai sasterawan ini,” katanya.
Masa sembang kami mungkin tidak begitu lama kerana kami baru pertama kali berkenalan. Namun, sembang bersama Zurinah bertambah relaks dan santai selepas kami sama-sama mencicah mangga dan sengkuang dengan kuah rojak yang dihidangkan sebagai menjamu kedatangan kami.
“Acara puisi di negara lain sangat berlainan seperti yang biasa dilakukan di negara kita. Di luar negara, biasanya ia membabitkan keseluruhan penyair dan sekiranya ada tambahan hiburan pun sedikit saja. Di negara kita, tiga perempat acara puisi didominasi hiburan,” katanya.
Kita ada begitu ramai penyair hebat yang sudah cukup bagi meramai dan memeriahkan majlis. Majlis penyair sepatutnya memperkenalkan penyair yang mendeklamasikan puisi masing-masing, bukannya menjadikan mereka sebagai tempelan.
Sebelum berpisah, Zurinah memberitahu sedang berusaha menyiapkan buku antologi puisi terbarunya dan dia sudah mula mengumpul puisi baru. Semoga Zurinah berjaya mencapai misinya.
Tahniah Zurinah Hassan.
PROFIL:
Nama: Dr Zurinah Hassan
Tarikh dan tempat lahir: 13 Jun 1949, Alor Setar Kedah
Latar belakang akademik:
Ijazah Sarjana Muda Sastera (Universiti Sains Malaysia)
Ijazah Sarjana Sastera Universiti Putra Malaysia
Ijazah Doktor Falsafah, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya.
Bentuk penulisan: Sajak, cerpen, novel dan rencana
Antara anugerah:
Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write Award) 2004
Hadiah kategori buku:
Pujangga Tidak Bernama, Hadiah Sastera Perdana(1994/1995)
Memoir Zurinah Hassan Menjejak Puisi, Hadiah Buku Perpustakaan Negara (2002/2004)
Memoir Zurinah Hassan Menjejak Puisi , Hadiah Sastera Perdana 2002/2003.
Hadiah karya puisi, cerpen (eceran)
Hadiah Sastera Perdana.
Hadiah pertama Pertandingan Menulis Cerpen berunsur Islam Jabatan Perdana Menteri 1984.
Hadiah Utama Anugerah Puisi Putera, 1984
Antara karya:
Sesayup Jalan, Biro Penerbitan USM, 1974 (antologi sajak)
Di Sini Tiada Perhentian, Pen Pewarna, Kuala Lumpur, 1977 (antologi sajak)
Keberangkatan, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1985 (antologi sajak)
Kuala Lumpur and Other Places, Pen. Al-Huda, 1988 (antologi sajak versi Bahasa Inggeris)
Meneruskan Perjalanan, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1989
(antologi cerpen)
Hatimu Aishah, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1991 (novel)
Pujangga Tidak Bernama, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1994
(antologi sajak)
Sembilan Cabaran Wawasan 2020, Pen Pewarna, Shah Alam (kajian am)
Sasterawan Negara Usman Awang, Dewan Bahasa dan Pustaka 1986 (Kajian Sastera)
Nota Waktu (antologi puisi Bersama Lim Swee Tin), Citra Publishing Sdn Bhd 2000.
Memoir Zurinah Hassan Menjejak Puisi, Penerbit UKM, 2003(autobiografi)
Menjelang Pemilihan, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 2004 (antologi cerpen)
Pesanan dari Gunung Ledang, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 2004 (antologi sajak dengan terjemahan bahasa Inggeris)
Salasilah, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 2005 (antologi sajak)
Unsur Alam Dalam Puisi Melayu Moden, (kajian sastera), Penerbit UKM 2010
Menghadap Ke Pelabuhan/Facing The Harbour (antologi puisi dengan terjemahan bahasa Inggeris), Institut Terjemahan Negara Malaysia, 2010
Puisi Melayu Tradisional (kajian puisi tradisional), Pekan Ilmu Publication , 2012
Menghadap Ke Pelabuhan/Frente Al Puerto (antologi puisi dengan terjemahan bahasa Sepanyol) ITBM, 2012
Catatan Perjalanan Seni Zurinah Hassan, ITBM, 2013
Menghadap Ke Pelabuhan (terjemahan bahasa Russia) ITBM 2013