Sepatu Ringan Berprestasi Tinggi
Melakukan aktiviti lasak dan santai memang mengujakan. Namun, sebelum melakukan aktiviti lasak seperti berkayak, belayar, berakit mahupun sekadar bersantai di tepi pantai, pemilihan pakaian dan kasut sesuaiperlu diutamakan untuk keselesaan.
Pilihan gaya santai Timberland bagi himpunan musim bunga dan panas kali ini memberi idea menarik untuk digayakan, sekali gus mencipta gaya diinginkan.
Rekaan asli serta buatan tangan pada sepatu wanita masih menjadi tumpuan utama, justeru himpunan kali ini tidak terkecuali dibantu teknologi terkini supaya setiap produknya tahan lebih lama.
Dicipta menggunakan satu daripada kulit paling lembut di dunia, koleksi kasut baji The Earthkeepers Maeslin diperkemaskan dengan teknologi SensorFlex.
Teknologi ini menampilkan sepatu ringan berprestasi tinggi dan membantu memberikan keselesaan. SensorFlex terdiri daripada tiga lapisan luaran unik termasuk lapisan atas yang pejal bagi menyokong serta menstabilkan kaki.
Ia turut memudahkan lenturan yang bertindak segera di permukaan kaki.
Pada masa sama, Timberland cuba hadir dalam pakej lengkap menerusi himpunan pakaian khususnya kemeja dan baju-T.
Rekaannya masih menonjolkan potongan klasik, namun disuntik sedikit siluet moden untuk gaya lebih segar. Warna yang dipersembahkan juga mencetuskan aura keriangan dan sama seperti yang lain, kemeja ringan ini dihasilkan secara mesra alam menggunakan 100 peratus kapas organik.