Serampang Dua Mata
PROJEK tanaman salak jenis Sabah yang dicetuskan Jabatan Pertanian Pahang lapan tahun lalu sebagai usaha menambah pendapatan penduduk Kuala Medang, Lipis kini terbukti berjaya mencapai matlamatnya.
Buktinya, apabila hanya dengan 100 pokok yang ditanam, kini Jemeah Kesah, 54, mampu memperoleh hasil sepanjang tahun yang dijual pada harga antara RM6 hingga RM10 sekilogram bergantung kepada kualiti dan saiz buah.
Beliau berkata, mengusahakan kebun salak berbeza berbanding dengan tanaman seperti kelapa dan pokok buah-buahan lain kerana pokok berkenaan memerlukan proses pendebungaan secara bantuan.
Menurutnya, individu yang mengusahakan tanaman salak perlu memiliki kemahiran membuat pendebungaan dengan cara mengambil bunga jantan dan dipukul secara pelahan-lahan pada bunga betina.
“Tanpa aktiviti berkenaan pokok salak betina tidak akan berbunga seterusnya menghasilkan buah walaupun memiliki saiz dan tahap kesuburan yang baik.
“Bagi mendapatkan bunga jantan, kita perlu turut sama menanam pokok jantan dalam kawasan kebun bagi memastikan peluang mendapatkan hasil lebih cerah,” katanya.
Menurutnya, kemuncak pengeluaran buah salak berlaku pada Mei hingga September, pada bulan berkenaan hasilnya bertambah sehingga tiga kali ganda berbanding biasa.
Jemeah berkata, dia mampu memperoleh hasil antara 300 hingga 800 kilogram pada kemuncak pengeluaran dan di luar musim mampu meraih 50 hingga 100 kilogram.
Tempoh matang buah salak ialah enam bulan bermula pengeluaran bunga hingga buah masak dan boleh dituai untuk dipasarkan.
Katanya, setiap pokok mampu mengeluarkan antara tiga hingga 15 tandan buah pelbagai saiz, untuk mendapatkan buah yang besar penjarangan perlu dilakukan secara berjadual.
Untuk menghasilkan buah yang lebih berkualiti dari segi saiz dan rasanya, penjagaan perlu dilakukan mengikut jadual seperti yang dicadangkan oleh Jabatan Pertanian.
Beliau berkata, selain aktiviti membersih pangkal pokok dan membuang pelepah matang, pembajaan termasuk meracun juga perlu dilakukan dalam tempoh tiga hingga empat bulan sekali.
Penggunaan baja organik lebih sesuai dalam usaha menghasilkan buah lebih besar dan rasanya yang lebih manis termasuk warna kulit yang kehitaman.
Jemeah yang mendapat bantuan suami, Yusof Mat Piah, 53, berkata, pokok salak subur di kawasan redup dan lembap termasuk di bawah naungan pokok buah-buahan seperti rambutan.
“Jabatan Pertanian banyak membantu dari segi khidmat nasihat dan menyediakan bekalan anak pokok pada peringkat awal projek berkenaan dilancarkan tujuh tahun lalu.
“Walaupun terpaksa membeli benih pada harga RM1 sepokok namun itu tidak terlalu membebankan petani di kawasan Kuala Medang ini,” katanya yang turut memiliki kebun rambutan, durian dan manggis.
Menurutnya, buah salak jenis Sabah sesuai di makan terus dengan rasanya yang manis termasuk boleh dijadikan jus, halwa dan jem.
Bagi Yusof, hasil jualan buah salak dapat menambah pendapatan keluarganya terutama pada kemuncak pengeluaran setiap tahun.
Selain salak jenis Sabah terdapat beberapa spesies lain seperti kermoi, madu dan Indonesia yang berbeza dari segi rasa, saiz buah dan tempat penanaman.
“Pokok salak sesuai di tanam di kawasan rumah dan tidak memerlukan terlalu banyak cahaya matahari yang akan menyebabkan tumbuhan berkenaan tidak subur seterusnya terbantut.
“Disebabkan pokok berkenaan mempunyai duri pada bahagian pelepah setiap aktiviti membersih di bawah pokok perlu dilakukan secara berhati-hati bagi mengelak kecederaan berlaku,” katanya.
Beliau berkata, pada musim buah kali ini dia memperoleh lebih 400 kilogram yang dijual kepada pemborong termasuk individu yang datang terus ke kebunnya.
Katanya, Kuala Medang yang terkenal dengan inap desa membuka peluang kepadanya memperkenalkan buah salak kepada pelancong tempatan dan asing.
Yusof berkata, setiap kali pelancong datang ke Kuala Medang pihak pengurusan inap desa yang membawa mereka melawat kebun salak seterusnya merasa keenakan buah salak.
“Kebanyakan pelancong yang sekali merasa salak saya mendakwa rasanya lebih sedap dan rangup berbanding salak dari tempat lain termasuk Indonesia,” katanya.