Serlah Aura Feminin
Warna pastel yang redup dan lembut sememangnya sesuai dengan wanita apalagi mereka yang mahukan penampilan sederhana dalam pemilihan warna pakaian tetapi pada masa sama tetap nampak manis dan bergaya.
Memenuhi pelbagai cita rasa masa kini, pakaian daripada warna pastel memberi satu lagi alternatif kepada wanita Muslimah untuk bergaya kerana ia tidak begitu menonjol atau menarik perhatian ramai.
Menyedari keperluan kaum wanita yang gemar kelihatan cantik, jenama THEA By LMJ tampil dengan rekaan yang meng-gunakan warna pastel dengan potongan labuh, longgar dan sesuai untuk semua peringkat umur.
Sesuai dipakai ke acara formal ataupun sekadar ke pejabat, warna pastel yang digunakan juga mampu membangkitkan aura feminin selain membuatkan wanita nampak manis dan berkeyakinan.
Gabungan yang banyak bermain dengan warna lembut itu menyasarkan golongan remaja hingga wanita lingkungan usia 40-an yang suka bergaya tanpa mengeluarkan banyak belanja.
Pemilik butik dalam talian Little Ms Jasmine, Fazli Iqma Mohd Faudzi, mengakui kolek-si terbaru itu nampak ceria dengan warna terang dan sesuai untuk mereka yang aktif, tetapi pada masa sama, masih mementingkan gaya menawan.
Katanya, dia amat mementingkan jenis kain supaya ia selesa dan sejuk untuk digayakan setiap hari sama ada ke pejabat setiap hari atau menziarahi saudara serta rakan taulan, apalagi dalam keadaan cuaca yang panas dan lembap seperti di Malaysia.
“Kami menggunakan kain berkualiti tinggi, selesa, cantik dipakai dan nampak bergaya seperti sifon, kain kapas dan jersi bagi koleksi ini. Ini kerana kain jenis ini bukan saja mampu bertahan lama dan nampak eksklusif, ia juga selesa pada kulit,” katanya yang turut memaparkan koleksinya di laman Facebook Little Ms Jasmine.
Demi memberi peluang kepada semua wanita tidak kira yang bekerja atau suri rumah untuk menggayakan koleksi berkenaan, semua koleksi itu dijual pada harga mampu milik iaitu antara RM100 hingga RM150 bagi seluar, skirt dan gaun.
Pada masa sama, Little Ms Jasmine turut memaparkan koleksi Nadarivany yang menampilkan ciri lebih glamour dan beralun yang diperbuat daripada kain kapas, kain kapas berkilauan, sifon dan material yang boleh meregang, membuatkan pemakai rasa selesa.
Masih menggunakan kain kapas sebagai material utama untuk keselesaan pemakai, koleksi itu menggunakan gabungan warna lebih terang dan sesuai untuk mereka yang berani dan ingin lebih menonjol dalam berfesyen.