Serlah Gaya Pengembara Moden

Rekaannya selama ini dikaitkan dengan aspek kelelakian terutama apabila kerap menampilkan gaya lasak yang sesuai untuk aktiviti luar.

Namun ada juga kalangan wanita yang gemar menyarungkan helaian jenama maskulin ini atas faktor utiliti dan selesa kala melakukan aktiviti kembara.

Seiring dengan musim percutian hujung tahun ini, Jeep Spirit kembali dengan koleksi jalanan yang direka khusus untuk si pengembara.

Dengan bertemakan Rugged Nomad yang menyerlahkan gaya pengembara moden, koleksi ini lebih bercirikan urban dan fleksibel tanpa mengenepikan fungsinya.

Himpunan untuk wanita dipertingkatkan dengan penggunaan fabrik berbeza pada seluar kargo skinny sementara celana jean direka mengikut potongan feminin.

Kemeja-T kolar bulat dan kemeja polo pula ditonjolkan dalam cetakan corak serta rona yang lebih segar. Helaian kemeja dan gaun korduroi dihiasi corak bunga dalam rona alam semula jadi antaranya biru, merah, kuning dan kuning air.

Kemeja chambray tidak ketinggalan diketengahkan dengan fabrik serta potongan santai manakala helaian asas seperti jegging boleh didapati dalam rona biasa seperti biru, perang dan hitam yang ringkas dipadankan bersama kemeja-T labuh.

Untuk rangkaian pakaian lelaki, rekaan serta potongan sama dikekalkan tapi disuntik rona paduan blok warna seperti jingga, biru kelasi, perang dan
kelabu.

Rangkaian kemeja-T dihasilkan dalam warna putih, coklat dan kelabu arang manakala polo-T klasik direka dengan warna asas yang menonjol selain diberi sentuhan vintaj dalam jaluran minimum.

Koleksi Rugged Nomad ini turut memperkenalkan kemeja chambray sementara rekaan jaket ala tentera pula diberi nafas baru dengan fabrik lebih ringan untuk keselesaan maksimum kala mengembara dalam cuaca panas.

Menariknya, koleksi ini tidak mengetepikan keperluan kembara si kecil. Jeep Kids mempersembahkan rekaan penuh warna-warni, sporty dan santai untuk lelaki dan perempuan.

Kemeja-T sememangnya menjadi asas dalam rekaan Jeep untuk si dewasa lalu diterjemahkan ke versi mini bagi kanak-kanak.

Fabriknya lebih ringan tapi masih bercirikan rekaan tahan lasak dan fleksibel. Idea padu-padan bersama seluar pendek kargo dan jean nyata melengkapkan lagi penampilan keseluruhan si cilik.

Gaun korduroi tampak manis digayakan si gadis bersama but sementara denim ringan menyerlahkan sisi kasual si lelaki.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

615 views