Serlah Keayuan Wajah Pengantin

Serlahan keanggunan mempelai Muslimah bukan saja kelihatan pada padanan busana mahupun tudung, lebih penting teknik solekan yang membuatkan penampilan tampak berseri dan hebat walau apa saja konsep digayakan.

Untuk pengantin bertudung, walaupun solekan menjadi lebih mudah disebabkan jurusolek tidak perlu membuat dandanan rambut, ia tetap perlu diberi perhatian kerana warna tudung atau selendang turut mempengaruhi rona alat solek digunakan.

Untuk lebih mudah, pilihan tudung daripada rona pastel seperti putih, krim, kelabu atau perak menjadi warna selamat yang tidak akan mempengaruhi solekan.

Menurut Nurin Adlina Basir daripada Nurin Makeover Kuala Lumpur, bagi menyesuaikan teknik solekan pengantin Muslimah, tema majlis perlu diberi perhatian sama ada untuk pertunangan, pernikahan atau persandingan.

Walaupun cara solekan untuk majlis itu tidak banyak beza, mengambil kira konsep dan tema mampu menjadikan mempelai bertambah anggun dan menawan bersesuaian dengan pakaian digayakan mereka.

“Jurusolek juga dapat memilih warna alat solek terutama pembayang mata kerana setiap acara memerlukan teknik solekan berbeza. Misalnya untuk pernikahan, solekan semula jadi dengan rona pastel mampu menambah seri manakala untuk persandingan, warna sedikit terang digunakan bagi mewujudkan kesegaran serta lain daripada yang lain,” katanya.

Walau apa juga teknik digunakan tujuannya tetap sama iaitu ingin menyerlahkan keayuan, kelembutan dan keserasian wajah pengantin supaya tumpuan mata tetamu pastinya pada kejelitaan mempelai terutama ketika bersanding di atas pelamin.

“Pemilihan warna yang tidak sesuai dengan konsep perkahwinan juga warna kulit akan menyebabkan pengantin kurang menyerlah, tampak lesu dan kurang bermaya. Sebaliknya padanan warna sesuai akan membangkitkan keindahan wajah sesuai dengan gelaran raja sehari,” jelasnya.

Pada masa kini pengantin lebih menggemari solekan moden menerusi warna pastel yang menarik. Penggunaan rona gelap seperti coklat, kelabu dengan gabungan perak dan warna ceria ungu, biru atau merah jambu untuk pembayang mata akan menjadikan mata lebih bercahaya. Ini sesuai digayakan dengan busana daripada percikan rona malap seperti kelabu, coklat, perak atau keemasan bagi menyerlahkan kemewahan.

“Namun begitu gabungan rona pastel dan ceria pada mata sesuai untuk mereka yang memiliki kulit cerah dan sawo matang manakala bagi wanita berkulit hitam manis, penggunaan gaya smokey akan memberi lebih keindahan pada lirikan mata mempelai,” ujarnya.

Selain pembayang mata, lakaran celak pada bahagian atas hujung kelopak mata amat penting bagi menampilkan sisi berbeza. Jika acara kasual hanya satu lapisan, untuk persandingan sebaiknya tampil sedikit gelap bagi menonjolkan mata lebih galak.

Solekan pada bahagian mata akan lebih menyerlah dengan pemakaian bulu mata palsu yang dianggap penting dalam solekan pengantin. Walaupun ada mempelai memiliki bulu mata yang panjang, lebat dan lentik, dengan penambahan bulu mata palsu wajah kelihatan jauh berbeza, seri lebih menyerlah malah akan membuatkan anda kelihatan lebih menonjol sebagai ratu sehari.

Selain mata, pilihan warna gincu bersama pengilat bibir menjadikan pakej solekan anda lengkap dan sempurna. Sebaiknya pilih rona selamat merah jambu cair atau kelihatan sedikit coklat kemudian lapiskan dengan pengilat bibir bagi menyerlahkan bibir yang seksi.

Nasihat Nurin, tidak semua mempelai sesuai mengenakan rona gincu terang seperti merah cili atau merah bata kerana ia akan membuatkan penampilan bertambah garang.

“Untuk persandingan, jika tujuan asal adalah untuk memperlihatkan keanggunan mempelai sebaiknya pilihan gincu merah jambu sesuai untuk semua tema dan jenis kulit,” ujarnya.

Panduan memilih gincu:

Cari warna gincu yang hampir sama atau semula jadi dengan bibir.

Bagi pemilik kulit cerah, pilih warna coklat muda dengan sedikit merah jambu. Gincu coklat jernih (madu) untuk nampak lebih semula jadi manakala coklat tua bagi menonjolkan karakter anda.

Bagi pemilik kulit sawo matang, pilih gincu warna coklat tua sekiranya anda ingin menonjolkan warna kulit, coklat kopi untuk kesan eksotik manakala coklat karamel untuk kesan semula jadi.

Bagi pemilik kulit putih kuning, pilih gincu coklat kemerahan untuk kesan lebih segar, merah hati untuk menampakkan anda lebih matang manakala coklat kemerahan untuk kesan menggoda.

Untuk siang hari, gunakan warna lebih muda, manakala malam pilih warna sedikit gelap.

Gincu padat atau berkrim sesuai digunakan pada siang hari manakala yang berkilat atau bersinar sesuai dipakai waktu malam untuk sebarang acara.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

572 views