Serlah Keyakinan
KERIANGAN dan keyakinan menjadi ilham untuk menghasilkan rekaan inovatif yang ditampilkan Bernard Chandran bagi koleksi musim bunga dan panas 2013.
Kisah percintaan yang setia memberi inspirasi kepada perekanya menghasilkan rekaan kreatif yang menekankan potongan garisan.
Walaupun cinta kadangkala dikaitkan dengan kesedihan hati, perasaan tidak menentu dan kesakitan, rekaan yang ditampilkan lebih bersifat konvensional untuk menonjolkan keyakinan serta kekuatan wanita.
Koleksi berunsurkan positif dan bertenaga ini mengetengahkan rekaan keseluruhan yang berani namun masih mengekalkan unsur feminin.
Berani membuat perubahan melalui tafsiran emosi, ia dilakukan bagi menonjolkan keyakinan wanita dalam penampilan mereka di samping mengekalkan gaya glamor.
Potongannya pula unik dan membolehkan dua reka bentuk kontras di bahagian depan dan belakang. Ciri kesederhanaan dalam satu sisi dan lebih terperinci di bahagian lain seolah-olah mewujudkan situasi tenang.
Menampilkan potongan klasik pada koleksi gaun dan skirt yang berbentuk segi tiga untuk menonjolkan penampilan menawan, rekaan lurus seluar pula mempengaruhi ilusi jaket yang digayakan.
Seni cetakan dipamerkan dalam rekaan yang puitis pada padanan fabrik dan hiasan. Material yang lazim digunakan seperti sutera, organza, kain kapas dan kulit masih dikekalkan pada koleksinya kali ini.
Rekaan yang lebih ringan dihasilkan dalam pelbagai warna pilihan seperti kuning, merah jambu, kelabu terang dan hitam.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/15