Seronok Memasak, Bukan Bebanan

Seawal jam 5 pagi, ibu kepada dua cahaya mata ini bangun menyiapkan bekalan untuk anak-anaknya. Di meja terhidang spageti berhias cantik bersama udang mentega yang diletakkan dalam kotak bekal.

Semangkuk kecil nasi putih pula tersedia mata dan mulut daripada ikan bersama lobak merah dan epal berbentuk bunga yang dimasukkan dalam bekas berlainan.

Mengambil inspirasi daripada set bento di Jepun, kedua-dua bekalan yang nampak cantik dan comel ini sudah tentu menarik perhatian sesiapa saja terutama kanak-kanak. Inilah cara Mastura Mohd Isa, 29, menarik perhatian dua anaknya, Nur Darleena Humairah, 6, dan Nur Marissa Hannah, 4, menikmati sayur-sayuran serta merasai semua jenis masakan tanpa ada unsur penolakan.

Bagi Mastura, beginilah rutin harian setiap pagi menyediakan set bento untuk anak-anaknya. Walaupun terpaksa bangun awal mencari idea menghasilkan hiasan kreatif untuk bekalan puterinya ini, dia tidak pernah merasakan ia sebagai bebanan sebaliknya seronok, apatah lagi melihat anak-anak gembira menikmati makanan.

Apa yang paling penting mereka mendapat gizi seimbang dalam setiap hidangan.

Mula melatih anak makan bermula usia enam bulan dengan menyediakan makanan pejal, sejak itu Mastura memasak sendiri hidangan untuk dibawa ke sekolah dan rumah pengasuh walaupun ketika itu penjaga anaknya turut menyediakan makanan di sana.

Dia mulai sedar pentingnya menyediakan bekalan untuk anak-anak apabila kebanyakan rakan mengadu anak tidak mahu makan, memilih makanan serta menolak sayur-sayuran dan buah-buahan.

“Keadaan ini turut berlaku pada kedua-dua anak saya. Jadi saya terfikir membuat bentuk pada lobak merah, brokoli, labu dan kentang supaya mereka berminat untuk menikmatinya. Memang benar bento cara terbaik membuka selera kanak-kanak yang terlalu memilih makanan kerana sesuai sifat semula jadi kanak-kanak yang gemarkan perkara comel.

“Selain itu, set bento membantu memperkenalkan sayuran berkhasiat seperti jagung, tomato, brokoli dan kentang yang biasanya dielakkan,” katanya yang mula melihat perubahan positif mereka terhadap makanan.

Nur Darleena dan Nur Marissa lebih terbuka dan mulai menikmati apa saja makanan yang disediakan ibunya.

Bagi menjadikan set bento berubah setiap hari, dia mula meneroka pelbagai laman sosial seperti Facebook dan blog untuk mendapatkan idea mengenai hiasan selain pelbagai peralatan dan set acuan bento di pasaran.

Malah dia cukup teruja dengan bentuk comelnya, sekali gus membuka minda menjadi lebih kreatif membuat rekaan terutama membabitkan sayur-sayuran.

“Untuk setiap bento, saya menyediakan dua hingga tiga hidangan ringkas seperti nasi, lauk, sayur-sayuran kukus dan buah-buahan. Biasanya lauk tidak berkuah bagi memudahkan mereka menikmatinya. Sering juga saya menukar menu kepada pasta, spageti, roti sardin dan sandwic supaya mereka tidak bosan makan hidangan yang sama.

“Selain enak, perhatian harus diberikan kepada gaya persembahan kerana ini akan membuatkan kanak-kanak lebih tertarik menjamahnya,” katanya.

Bento eratkan hubungan

Selain memastikan kebersihan dalam setiap hidangan, tanpa disedari membawa bekalan ke sekolah mendedahkan anak-anak kepada nilai positif terutama sifat berdikari. Membuka dan menutup kotak bekal, memegang sudu serta menyuap sendiri bermanfaat melatih stimulasi motor halus.

Mereka juga belajar makan dengan baik dan rapi serta membuang sisa makanan ke tempat sampah menjadikan si kecil lebih bertanggungjawab terhadap barang kepunyaan mereka tanpa ada yang hilang atau rosak.

Ramai ibu tidak tahu menyiapkan bento untuk anak-anak yang menjadi salah satu cara mengeratkan hubungan dengan si kecil. Ini kerana banyak impian serta kata-kata ‘cinta’ yang diucapkan ketika menyiapkan bekalan. Begitu juga dengan tenaga dan idea yang dicurahkan ketika merancang menu sihat dan mengaturnya di dalam kotak bekal.

“Daripada memilih resipi, bahan, warna, ukuran dan rekaan, semuanya dipilih sesuai dengan kesukaan anak-anak supaya mereka makan dengan enak dan bersemangat. Saya juga sentiasa mendapatkan pandangan mereka sama ada menggemari set bento disediakan atau perlu ditukar kepada menu lain. Ini secara tidak langsung melatih mereka memberikan pendapat serta yakin pada diri sendiri,” katanya.

Hubungan secara tidak langsung ini akan mewujudkan sifat ingin tahu dan sering bertanya mengenai hidangan.

Nur Darleena misalnya sangat gemar mengikut ayahnya ke pasar kerana ingin memilih ikan dan sayur-sayuran pada hari itu. Malah dia menentukan jenis masakan yang ingin dimasak sama ada sambal (kering) atau berkuah seperti kari, masak lemak atau asam pedas.

“Dengan cara ini, saya tahu yang mereka menyukai hidangan yang saya sediakan. Setiap bekalan juga akan habis setiap hari,” ujarnya yang turut membawa bekal ke tempat kerja sejak sembilan tahun lalu. Sejak itu, dia tidak pernah membeli makanan atau makan di kedai.

Dibesarkan bapa sejak berusia tiga tahun selepas ibu meninggal dunia, ujar Mastura, cara didikan ayah yang gemar memasak banyak mempengaruhi kehidupannya sekarang. Dia masih ingat bapa menyediakan semua hidangan dari pagi sehingga malam. Malah sejak sekolah dia sentiasa disediakan bekalan walaupun hanya jemput-jemput pisang.

Bijak atur masa

Ramai bertanya bagaimana dia mampu menyediakan set bento setiap hari untuk anak-anaknya. Jelas Mastura, apa yang penting seni pengurusan masa.

Setiap malam sebelum tidur dia sudah merancang menu keesokan hari dan mula menyediakan bahan basah seperti ikan atau ayam serta sayur-sayuran.

Ini bagi mengelak kesuntukan masa dan dia hanya meneruskan kerja memasak. Malah untuk setiap hidangan, Mastura menyediakan dalam jumlah yang banyak membabitkan bekalan anak-anak, diri sendiri serta hidangan makan malam. Ini bagi mengelak keletihan selepas pulang daripada kerja kerana perlu menyediakan menu makan malam pula.

“Jika ada bertanya bagaimana saya boleh memasak setiap pagi, jujurnya saya akui memang penat kerana terpaksa bangun awal. Namun apa yang saya lakukan adalah untuk insan tersayang. Letih itu hanya seketika dan akan hilang apabila melihat wajah anak-anak yang sentiasa inginkan bekalan setiap hari,” katanya yang turut mengamalkan pengambilan makanan tambahan untuk kekal sihat dan cergas.

Disebabkan sudah terbiasa dengan rutin harian membawa bekal, anaknya tidak akan makan makanan di sekolah atau di rumah pengasuh melainkan bekalan dibawa saja. Malah anak sulung, Nur Darleena turut mempengaruhi rakan sekelas membawa bekal kerana mereka cukup teruja melihat hidangan bento yang comel dan begitu menyelerakan.

Walaupun set bento Mastura masih belum sempurna jika dibandingkan bento sebenar di Jepun, setiap kali mendengar kata-kata, “Mama makanan sudah habis atau mama esok sediakan bekalan lagi”, ia sudah cukup memberi kelegaan serta semangat menghasilkan bento lebih menarik dan enak.

Sebagai ibu, Mastura tahu dia tidak hanya mempersiapkan bekalan untuk anak-anak ke sekolah tetapi juga ‘sekotak’ kasih sayang dan cinta yang turut dibawa ke mana saja.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

1,562 views