Sertai Maraton Setiap Bulan

“Dulu saya gemuk dan tubuh sering rasa tidak selesa,” ringkas saja kata-katanya yang membuatkan penulis terpaku seketika melihatkan susuk tubuhnya ketika ini.

Dengan tubuh kurus dan tinggi bak peragawati, bagaikan tidak percaya dengan apa yang terpacul dari bibirnya itu.

Karen Loh mengakui detik di mana tubuhnya yang dulu sederhana berubah mendadak selepas melahirkan anak kedua beberapa tahun lalu.

Meskipun aktif dan menjadi atlet olahraga di sekolah, hampir 20 tahun Karen tidak bersenam atas alasan tiada masa dan menumpukan perhatian kepada keluarga.

“Saya tidak suka ke gimnasium dan saya rasa tidak perlu kerana rasa sihat. Tapi berat badan yang naik tiba-tiba selepas mempunyai anak kedua membuatkan saya tergerak untuk kembali bersenam,” katanya.

Melihatkan jiran yang gemar berlari di sekeliling kawasan kediaman mereka juga membuatkan wanita berusia 43 tahun ini makin bersemangat untuk kembali bersukan.

“Langkah pertama memang amat sukar untuk dilakukan. Dulu saya sentiasa katakan pada diri tidak mampu untuk kembali berlari kerana tiada stamina.

“Tapi saya nekad untuk mencuba, ditambah dorongan suami dan jiran yang menemani saya berlari sekeliling taman perumahan kami.

“Langkah pertama itu akhirnya memberi perubahan besar dalam hidup saya. Daripada sifar, kini saya berjaya mengharungi larian sejauh 100 kilometer (km) di Hong Kong, baru-baru ini.

“Saya percaya, wanita lain juga mampu melakukannya seperti saya,” ujarnya.

Langkah pertama itu jugalah yang memberi laluan untuk Karen terus mengembangkan minatnya dalam larian maraton.

Tahun lalu, Karen beraksi di dua maraton berbeza dalam sehari. Di sebelah pagi, dia berada di Singapura untuk acara 50km dan sebelah malam pula menyertai acara di Putrajaya dengan melakukan larian sejauh 42km.

“Kedua-dua larian itu untuk aktiviti amal dan saya langsung tidak rasa letih selepas itu, malah lebih bertenaga! Ia juga membuktikan bahawa wanita sebenarnya mempunyai semangat juang dan ketahanan yang tinggi.

“Dari segi kekuatan fizikal, saya tidak berasakan wanita ketinggalan jauh daripada lelaki. Contohnya, rekod dunia maraton wanita ialah 2 jam 15 minit manakala lelaki mencatat 2 jam 3 minit.

“Hanya 12 minit di belakang, jadi ia bukanlah jurang yang jauh untuk dikejar. Untuk larian jarak jauh yang melebihi 42km, saya percaya wanita lebih berupaya bertahan lama.

“Saya sendiri bangga kerana dapat mengalahkan lelaki bagi larian kategori itu,” jelasnya.

Sememangnya apabila bersemuka dengan Karen, pasti terselit rasa kagum dengan pencapaian wanita ini. Apa yang diceritakan dan dilakukannya nyata mencetuskan inspirasi dalam kalangan pelari maraton muda.

“Sebenarnya mudah saja. Apabila mula merancang untuk melakukannya, sarungkan kasut dengan segera dan mula berlari. Apabila kita menetapkan minda untuk merealisasikan hasrat itu, lakukan sebaiknya dan ia akan membawa kita lebih jauh tanpa kita sedari.

“Ramai dalam kalangan wanita mengatakan tidak mampu berlari maraton kerana jarak yang jauh, sukar, berat badan, malah baju tidak sesuai.

“Tapi, itu semua hanya alasan semata-mata kerana kita sendiri yang mengehadkan diri untuk melakukannya.

“Dulu saya juga begitu. Saya tidak pernah jangka dapat berlari seperti ini tapi saya beranikan diri untuk mengambil langkah pertama.

“Selain itu, saya dapati diri akan lebih yakin dan berani selepas itu kerana berjaya melakukan sesuatu yang sebelum ini dirasakan mustahil.

“Apa yang penting, tetapkan minda kemudian berusaha ke arah itu. Kelak ia pasti mengubah hidup anda kepada perkara positif,” katanya.

Di sebalik kesibukannya menguruskan keluarga dan menyertai acara maraton hampir setiap bulan, Karen masih mempunyai masa untuk mengembangkan lagi aktiviti larian maraton dalam kalangan wanita di negara ini.

Acara Maraton Wanita Malaysia Nestle Fitnesse 2013 (MWM) menjadi titik permulaan Karen kepada gerakan hidup sihat untuk diamalkan wanita Malaysia.

Objektif MWM bukan hanya mengumpulkan pelari wanita yang aktif bermaraton, tapi menarik lebih ramai penyertaan kali pertama agar budaya hidup sihat menjadi amalan dalam masyarakat negara ini.

Menariknya, ia tidak hanya bertumpu kepada aktiviti larian semata-mata, tapi merangkumi minat wanita antaranya kesihatan, kecantikan dan fesyen.

“Kami mahu wanita tahu bahawa aktif dalam maraton atau apa jua sukan tidak mengehadkan diri untuk tampil feminin. Ramai pelari maraton dunia yang berjaya mencipta rekod dunia, tapi pada masa sama masih mengekalkan ciri kewanitaannya serta gemar berfesyen.

“Jadi untuk meraikan aspek kewanitaan itu, peserta MWM tidak menerima kemeja-T seperti lazimnya, tapi digantikan dengan kain pareo pelbagai guna,” tambahnya.

MWM juga tidak menyediakan pingat yang berat dan besar untuk pemenang, tapi rantai dan tag perak yang boleh diukir di belakangnya. Ia seperti aksesori yang boleh disuai padan dengan busana pilihan dan dipakai pada bila-bila masa.

Perlumbaan yang berjaya menarik 1,900 penyertaan bagi kategori maraton penuh, separuh dan 8km itu juga menyaksikan kemunculan pelari maraton legenda, Kathrine Switzer melakukan upacara pelepasan peserta.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

671 views