Sesuai Bagi Wanita Bersalin

Jika dulu terdapat kecenderungan dalam kalangan individu menggunakan batu dari lahar gunung berapi dijadikan loket, jam, termos dan gelang sebagai rawatan alternatif untuk kesihatan, kini ia diperluaskan ke bidang kecantikan apabila mula diperkenalkan di kebanyakan pusat kecantikan dan spa sebagai satu kaedah urutan kecantikan badan dan wajah.

Dikenali sebagai urutan batu panas ia cukup popular dalam kalangan masyarakat Cina yang percaya lahar dan batu gunung berapi ini mempunyai mineral tertentu yang bermanfaat untuk kesihatan. Peranannya sama seperti magnet yang dipercayai dapat membantu melancarkan pengaliran darah kerana mempunyai sumber mineral seperti besi, magnesium dan kaya silika. Malah sejak dulu, batu sudah digunakan secara meluas dalam bidang perubatan.

Ketika mengunjungi Spa Tajrii yang terletak di Taman Melawati Kuala Lumpur, penulis berpeluang melihat bagaimana teknik urutan menggunakan batu panas ini dilakukan sama ada pada badan atau muka. Tanpa menggunakan sebarang mesin ia bergantung sepenuhnya kepada kekuatan tangan yang dipindahkan menerusi batu panas ini.

Tiga juru terapi berpakaian seragam hijau dengan salah seorang membawa bekas berisi 20 batu yang sudah dipanaskan sedia menunggu. Batu yang diimport dari Korea ini mempunyai pelbagai ukuran daripada sekecil biji guli sehingga sebesar piring cawan.

“Bilangan batu bergantung pada keperluan dan saiz badan pelanggan. Setakat ini kami menggunakan 20 batu hitam dan sekiranya saiz badan pelanggan itu besar maka jumlah batu akan ditambah mengikut keperluan,” kata Pengarah Urusan Tajrii Wellness Sdn Bhd, Fatin Fatanah.

Bagi memberikan kesan maksimum, batu ini dikukus supaya panas kemudian dibiarkan lima hingga 10 minit untuk mengurangkan tahap kepanasannya.

“Kebiasaannya juru terapi akan menguji kepanasan batu pada kulit tangan pelanggan terlebih dulu. Jika mereka dapat menahan tahap panas maka rawatan akan dimulakan, tetapi jika sebaliknya terapi akan ditangguhkan seketika,” katanya.

Kemudian batu disusun pada bahagian tertentu badan sebelum urutan dilakukan. Sebelum itu, minyak aromaterapi dilumur pada keseluruhan kaki dan badan supaya ia menyerap lebih baik ke dalam kulit.

“Selepas dibiarkan lima minit, urutan dilakukan dengan menekan batu berkenaan pada tubuh bagi memastikan kedudukan batu itu tenggelam dan proses menyental perlu bermula daripada bahagian bawah badan barulah berpindah ke atas,” katanya.

Begitu juga sekiranya ingin melakukannya pada muka, hanya letakkan batu pada bahagian tertentu seperti dahi, pipi dan dagu selama seminit. Kemudian urut menggunakan batu dengan menolak bahagian bawah ke atas bagi menjadikan kulit lebih tegang serta mengelak dagu berlapis.

“Ramai pelanggan menyukai urutan batu panas pada wajah kerana selain melancarkan peredaran darah, kulit menjadi tegang, mengelak dagu berlapis serta nampak awet muda,” katanya.

Ujar Fatin, terdapat banyak kebaikan menggunakan batu sebagai kaedah refleksologi. Ini kerana ia bertindak sebagai terapi unik dan berkesan meningkatkan aliran darah, menenangkan otot yang tegang, meningkatkan metabolisme serta menyegarkan minda dan tubuh. Malah ia sesuai untuk wanita selepas bersalin yang kerap mengalami masalah angin dan tegang urat.

Malah jika dilakukan secara konsisten, ia dapat mengurangkan sakit sendi, memanaskan badan, membetulkan urat tersimpul, memecah angin dalam tubuh, memberi kesegaran dan menjadikan tubuh terasa ringan malah ia memberikan kesan lebih lama berbanding urutan biasa.

“Keadaan ini berbeza dengan urutan tangan yang hanya memberikan kepanasan sementara, tetapi batu yang panas akan menghasilkan haba dan dapat bertahan lebih lama. Malah ia mampu meresap hingga ke tulang dan inilah yang tidak diperoleh sekiranya melakukan urutan biasa atau menggunakan mesin,” katanya.

Dia yang terbabit dalam industri kecantikan dan spa sejak 10 tahun lalu mengakui kebanyakan pelanggan lebih menggemari kaedah urutan tradisional tanpa menggunakan mesin. Ini kerana jari mempunyai aura tersendiri dan akan menghasilkan tenaga apabila disentuh pada kulit.

Urutan ini juga berkesan melalui teknik tertentu, sekali gus berfungsi memecahkan lemak sehingga 40 peratus. Keupayaan batu menghasilkan haba terbukti memberikan kesan berpanjangan kepada pelanggan.

“Batu panas yang sudah digunakan tidak perlu dibasuh kerana ia bersih, bebas bakteria dan selamat untuk pelanggan lain. Pelanggan juga tidak perlu bimbang tahap kebersihannya terutama apabila diletakkan pada wajah,” ujarnya.

Selain urutan, Spa Tajrii turut menyediakan pakej raja sehari untuk bakal pengantin seperti mandi susu, mandi aura seri dan rawatan wajah. Mandi aura bersama bunga pelbagai warna dicampur minyak aura Shakila bagi menaikkan seri pengantin. Ia dilakukan sebaik-baiknya enam bulan sebelum melangsungkan perkahwinan.

Tajrii yang bermaksud air mengalir dalam bahasa Arab dibuka setiap hari kecuali Isnin dari jam 10 pagi hingga 7 malam. Rawatan disediakan khas untuk wanita berkonsepkan Spa Muslimah Moden. Untuk maklumat lanjut boleh melayari laman sosial Facebook Tajrii Spa.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

649 views