Sesuai Buat Wanita Sibuk

Memberi penekanan kepada warna terang dan lembut dalam setiap rekaan pakaian Muslimah, ia menjadi nadi kepada perniagaan Butik Aisy sejak mula beroperasi tahun lalu.

Terletak di Seksyen 7, Shah Alam, pemilik butik, Hartini Ahmad, 35, cenderung melahirkan rekaan yang menjurus kepada paduan warna lembut serta terang menggunakan fabrik lycra dan kain kapas, yang bukan saja kelihatan mewah, malah selesa disarungkan.

Menurut ibu kepada tiga anak ini, 80 peratus pakaian serta tudung yang ada di butiknya menggunakan kain lycra dan selebihnya diserikan dengan kain kapas yang sejuk, sesuai dengan cuaca negara ini yang panas dan lembap.

Pemilihan kain juga berdasarkan pemerhatiannya selain seleranya sendiri sebagai wanita berkerjaya yang tidak mahu menghabiskan terlalu banyak masa untuk bersiap apabila keluar rumah.

Kain lycra yang tidak perlu digosok sudah pasti menjimatkan banyak masa terutama wanita sibuk yang menggalas banyak peranan untuk menguruskan keluarga serta karier masing-masing.

“Bagi corak pada kain pula, saya banyak menghasilkan rekaan yang menampilkan kain kosong tanpa corak atau sedikit tampalan renda dan sulaman di sesetengah bahagian baju. Bagi saya, ia nampak lebih cantik dan mudah disuai padan dengan tudung buat mereka yang gemar tudung bercorak.

“Teknik tampalan renda bercorak pada baju dilakukan bagi menampakkan kemewahan tetapi pada sama tidak sarat dan masih tampil anggun.

“Idea menghasilkan setiap helaian pakaian dan tudung dikongsi bersama suami dan kemudian ia diterjemahkan melalui lakaran untuk dijahit oleh tukang jahit. Untuk tampalan sulaman itu, saya lakukan sendiri bagi mendapat kepuasan,” katanya.

Selain pakaian daripada kain kosong, Hartini turut menghasilkan rekaan pakaian daripada kain bercorak flora dengan kombinasi warna, khusus untuk pelanggan yang lebih menggemari baju bercorak, biarpun kedudukan kain bercorak itu agak unik iaitu di lengan saja.

Hartini memastikan setiap pakaian yang dihasilkannya tidak jarang dan kain tidak melekat pada badan atau mengikut bentuk tubuh biar apapun saiznya. Apa yang ingin ditampilkan wanita berkenaan supaya setiap Muslimah masih mampu bergaya cantik dan pada masa sama tidak perlu mendedahkan aurat.

“Saya banyak melakukan kajian sendiri kerana paling penting bagi saya adalah untuk menghasilkan pakaian yang sopan dan tidak ketat dengan warna yang mudah dipadankan.

“Ini kerana biarpun ada banyak pakaian Muslimah di pasaran, terdapat juga jubah yang mengikut bentuk tubuh dan ia tidak sesuai dengan imej Muslimah,” katanya.

Biarpun setiap produk yang dihasilkan adalah ideanya sendiri, Hartini tetap mengikuti dan memberi penekanan kepada gaya semasa supaya tidak ketinggalan dalam dunia fesyen yang bergerak pantas.

Malah, setiap bulan, dia pasti tampil dengan idea dan rekaan baru supaya koleksi sentiasa segar dan mampu menarik pelanggan, apatah lagi sejak beroperasi hampir dua tahun, butiknya sudah mempunyai pelanggan tetap yang pasti berkunjung untuk mendapatkan rekaan terkini.

“Bagi mendapatkan idea segar, saya dan suami bergilir-gilir ke luar negara untuk mencari inspirasi dan kain yang berkualiti antaranya di Indonesia, Vietnam dan China kerana di sana kita boleh tahu perkembangan fesyennya yang bergerak terlalu pantas.

“Kain untuk menghasilkan setiap koleksi juga tidak dibeli dalam kuantiti banyak kerana mahu memberikan nilai eksklusif kepada pelanggan. Malah untuk mendapatkan satu warna yang sama juga bagi setiap koleksi bukan mudah, seterusnya menambah tarikan pakaian itu,” katanya.

Rekaannya sangat terhad dan tidak akan dijual lagi sekiranya sudah habis dibeli. Apabila satu-satu koleksi habis dijual, dia hanya akan menjual rekaan terbaru dengan gaya yang lain pula.

Setiap gaya terkini yang menjadi kegilaan wanita misalnya potongan peplum turut diselitkan pada pakaiannya tetapi ia disesuaikan dengan imej Muslimah supaya tampil sopan.

Ini kerana menurut Hartini, gaya peplum bagi pakaian moden selalunya berada di bahagian pinggang, seterusnya menjadikan baju potongan pendek tidak sesuai, oleh itu gaya peplum yang ditampilkan butiknya direka di bahagian lebih labuh.

Selain itu, Hartini turut menghasilkan rekaan tudung dan selendang iaitu rangkaian Izz by Aisy yang mempunyai corak dan warna yang mudah dipadankan, bukan saja dengan pakaian daripada butiknya sendiri tetapi pakaian lain.

Lebih menarik, sengkuap tudung yang dihasilkan hanya daripada jenis lembut kerana ia lebih mudah dibentuk, terletak elok dan tidak rosak seperti jenis keras yang agak cerewet untuk dijaga.

Disebabkan gaya rekaan yang pelbagai, ramai pelanggannya sanggup datang jauh misalnya dari Singapura dan Brunei semata-mata untuk melihat sendiri pakaian dan jenis kain yang digunakan.

“Kami harus ikut rentak terkini kerana pelanggan pun sudah ramai yang arif mengenai fesyen. Mereka mengikut gaya semasa, kadangkala lebih hebat daripada penjual. Jadi kami tidak boleh leka seterusnya kehilangan pelanggan.

“Saya turut mendapat pesanan dari luar negara yang gemar membeli dalam kuantiti yang banyak terutama Muslimah di Brunei. Setakat ini, rekaan fesyen yang ditampilkan menepati cita rasa pelanggan,” katanya.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

640 views