Sesuai Untuk Pelbagai Jenis Kulit

MENJELANG 2012, walaupun penggunaan rona pastel masih melatari tema majlis perkahwinan, warna terang masih menjadi pilihan kebanyakan mempelai kerana dikatakan menjadi penyeri sesebuah majlis di samping sifat warna itu sendiri yang berdiri kukuh sehingga dipilih dalam apa juga tema perayaan.

Selain itu, kebanyakan pasangan raja sehari masih mengekalkan tema moden kontemporari dengan mengekalkan imej sederhana sama ada pada potongan mahupun perincian manik digunakan.

Menurut perunding majlis perkahwinan Zaifie Zainal Creation, Zaifinidza Zainal Abidin, pemilihan warna pada tahun hadapan masih mengekalkan rona pilihan seperti krim, kelabu, keemasan, hitam dan putih kerana sifat pada warna itu sendiri yang mudah digabungkan dengan pelbagai rona sepadan selain nampak unik dan ada kelas tersendiri.

“Namun begitu jangan dilupa pada kehadiran warna terang dalam ton berbeza yang bakal menjadi pilihan mempelai seperti kuning nuri, merah jambu, hijau zamrud, biru firus dan biru kelasi yang nyata memberi impak lebih menyerlah selain jarang digunakan.

“Warna unik ini nyata bakal mencetuskan fenomena baru pada musim perkahwinan pada tahun depan,” katanya.

Selain sesuai dipadankan untuk pelbagai jenis kulit sama ada cerah, sawo matang atau hitam manis, ton warna ini juga sesuai digayakan untuk pelbagai potongan sama ada moden atau tradisional. Misalnya hijau zamrud selain nampak gah dan glamor apabila digayakan dengan sepersalinan gaun labuh, cukup menarik apabila diberikan penggayaan tradisional pada kebaya berpotongan klasik.

“Begitu juga rona biru firus yang menjadi pilihan pada masa sekarang sesuai untuk tema di taman dan juga majlis tradisional. Mempelai juga akan nampak moden dan anggun dalam apa juga potongan gaun,” jelasnya.

Zaifinidza yang menjadi perunding majlis perkahwinan sejak 2001 lalu mengakui, selain mengikut tema warna semasa dia juga berbincang dengan bakal pengantin
mengenai tema majlis perkahwinan mereka. Kebiasaannya perunding akan mengikut kemahuan mempelai sekiranya rona yang dicadangkan bersesuaian dengan jenis kulit mereka selain faktor kesesuaian apabila digabungkan dengan warna lain.

“Ini kerana warna memainkan peranan penting bukan saja pada pakaian, namun pelamin, gubahan hantaran serta keseluruhan majlis. Pemilihan jenis ton yang betul akan membuatkan majlis perkahwinan anda tampak gah, meriah dan menyerlah,” katanya.

Daripada segi potongan, dia yang berpengalaman dalam menzahirkan rekaan pakaian raja sehari memberitahu terdapat beberapa keadaan mempelai tidak digalakkan memakai pakaian berpotongan pendek seperti kebaya terutama bagi wanita yang memiliki tubuh gempal dan berisi. Sebaliknya pilih baju berpotongan labuh menutupi pinggul serta jenis fabrik lembut seperti sifon yang boleh menyembunyikan kekurangan tubuh.

“Elakkan kain jenis berkilat kerana ini akan menonjolkan bahagian yang tidak sepatutnya. Fabrik sifon dengan tidak terlalu banyak perhiasan manik serta nampak sederhana sesuai dipakai mempelai.

“Sebaiknya berbincang dengan perunding majlis perkahwinan bagi mendapatkan hasil yang diinginkan,” ujarnya yang mengakui gaun pengantin berpotongan empayar dan A masih menjadi trend terkini raja sehari.

Zaifinidza yang hanya memulakan perniagaan dengan menerima tempahan gubahan hantaran, kini menambah perkhidmatan dengan menawarkan pelbagai pakej lengkap di bawah satu bumbung. Antaranya sewa serta tempahan baju pengantin, mekap dan andaman, pelamin, hiasan bilik, fotografi dan rekaan kad perkahwinan.

Untuk pakej lengkap perkahwinan termasuk pakaian, solekan dan pelamin harga bermula daripada RM3,500 ke atas untuk majlis di rumah manakala dewan bermula daripada RM6,000 ke atas manakala untuk baju pengantin yang disewa berharga RM800 ke atas.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

1,229 views