Si Comel Tampil Berbeza

Rekaan pakaian berwarna-warni dan comel selalunya lebih dikhususkan untuk pakaian kanak-kanak perempuan, namun berbeza dengan Roszehan Hasan, 34, yang mahu tampil dengan koleksi berbeza bagi memeriahkan industri fesyen kanak-kanak lelaki di Malaysia.

Sebagai ibu kepada dua cahaya mata lelaki yang sedang membesar, Zayn Zaihazri, 5, dan Zayd Zaihazri, 4, Roszehan merasakan fesyen pakaian kanak-kanak yang diingini untuk kedua-dua anaknya itu tiada di pasaran.

Lantas timbul idea untuk menghasilkan rekaan koleksi comel buat kanak-kanak lelaki, apatah lagi ia mampu mengisi masa lapangnya di rumah selepas meninggalkan kerjaya sebagai akauntan sejak hampir setahun lalu.

Wanita berperwatakan tenang itu mengakui dia sememangnya memiliki jiwa artistik sejak di bangku sekolah lalu menggunakan kelebihan itu untuk melakar rekaan unik serta eksklusif buat kanak-kanak lelaki berusia antara dua hingga enam tahun di bawah jenama Zayn Zayd, sempena nama dua cahaya matanya.

Dia yang bertindak sebagai Pengarah Urusan Zayn Zayd Co berkata, idea tercetus kerana keinginannya yang gemar kepada sesuatu yang berbeza dan selalunya barangan yang dikehendaki tidak ada di pasaran, hinggakan dia perlu menghasilkannya sendiri.

Pada mulanya, dia lebih berminat pada bidang masakan, namun memandangkan ia kurang fleksibel untuk dirinya yang juga ibu kepada dua anak kecil, dia beralih kepada penghasilan pakaian.

“Saya mula aktif dalam bidang perniagaan ini sejak meninggalkan kerjaya hampir setahun lalu kerana mahu menjaga sendiri dua anak saya. Semuanya bermula selepas saya berfikir untuk menjadi ibu sepenuh masa kerana sudah bertukar beberapa pembantu rumah, malah pernah menghantar anak ke taska, tetapi tidak berpuas hati dengan perkhidmatannya.

“Apabila hendak hantar ke taska yang bagus pula, terpaksa menunggu giliran kerana sudah penuh, lalu saya ambil jalan berhenti kerja saja. Suami pula menjadi pendorong kuat supaya saya melakukan apa yang disukai dan bermula dari situ, dia mengeluarkan modal untuk saya memulakan perniagaan ini,” katanya yang turut ditemani suami, Zaihazri Zaini, 35, ketika ditemui, baru-baru
ini.

Rekaan jubah, baju Melayu serta pakaian kasual yang dihasilkan berdasarkan keinginannya untuk melihat sesuatu yang berbeza daripada apa yang ada di pasaran ketika ini dengan menolak elemen kartun, sebaliknya lebih melambangkan gaya maskulin bagi si cilik.

Roszehan akui turut mengikuti perkembangan terkini fesyen lelaki dan menyuntik elemen berkenaan dalam rekaannya supaya kanak-kanak lelaki tampil bergaya dan berbeza.

“Saya juga menggunakan butang misai sebagai satu daripada lambang untuk jenama ini supaya nampak menarik dan melambangkan kelelakian biarpun ia sebenarnya pakaian untuk kanak-kanak.

“Kain yang dipilih juga daripada jenis selesa, sejuk dan berkualiti seperti kapas dengan corak serta warna unik. Kami mengeluarkan rekaan terhad yang sangat eksklusif dan hanya dibuat beberapa pasang yang dijual secara siapa cepat, dia dapat,” katanya.

Baju Melayu yang ditampilkan Zayn Zayd banyak bermain dengan blok warna, jalur, gabungan padanan dan warna yang tidak banyak di pasaran. Rekaan yang dihasilkannya klasik, tetapi ia banyak bermain dengan warna dan corak.

Setiap rekaan tampil dengan 90 helai pakaian dan ia selalunya habis dijual dalam tempoh singkat terutama menjelang sambutan Aidilfitri lalu. Jenama itu sudah tampil dengan tiga koleksi, namun baru memperkenalkan rangkaian pakaian kasual yang juga mendapat sambutan menggalakkan.

“Saya banyak memberi perhatian kepada perincian seperti seluar pendek bercorak dan pilihan corak unik supaya kanak-kanak tampil eksklusif. Kami menawarkan saiz iaitu daripada S hingga XL dengan harga antara RM69 hingga RM135,” katanya yang turut memaparkan koleksi pakaian berkenaan menerusi Instagram dan Facebook zaynzayd.

Seperti kebanyakan perniagaan lain, pada awalnya, Roszehan menghadapi cabaran tersendiri apabila sukar mencari tukang jahit berkebolehan namun semuanya berjaya diatasi dalam usahanya memajukan syarikat.

Memandangkan menerima banyak permintaan daripada pelanggan, wanita berkenaan merancang untuk mengembangkan perniagaannya dengan turut menawarkan saiz lebih besar bagi pakaian kanak-kanak lelaki yang berusia enam tahun ke atas.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

1,530 views