Sihat Cergas: Senaman Ubah Gaya Hidup

Setiap hari kita diingatkan mengenai kesihatan yang meliputi pemakanan sihat dan seimbang. Pelbagai persoalan juga dibangkitkan perihal perkara ini apabila ramai yang tertanya-tanya sama ada wujud pemakanan sihat atau sebaliknya.

Sebenarnya, tidak wujud istilah makanan tidak menyihatkan kerana setiap sumber makanan mempunyai nilai nutrisi masing-masing yang memberikan kelebihan kepada tubuh badan.

Ia sering dinamakan makanan tidak sihat apabila anda mengambil sesuatu jenis makanan dalam kuantiti terlalu banyak lalu menyebabkan masalah lain seperti kegemukan atau obesiti.

Ini bermakna, anda tidak seimbangkan pengambilan setiap jenis makanan yang terkandung di dalam piramid makanan dengan betul, tetapi terus makan mengikut hawa nafsu.

Ingin saya ingatkan, untuk memiliki kesihatan berkualiti dalam tempoh berpanjangan tanpa perlu risau masalah penyakit berjangkit dan seumpamanya, kita perlu memilih dan menentukan makanan seimbang dan mengamalkan senaman.

Anda perlu mengubah secara perlahan-lahan gaya hidup dengan menjadi lebih aktif dan memasukkan senaman ke dalam aktiviti harian.

Faktor penentu adalah diri anda sendiri. Usah lagi memberi alasan tiada masa untuk bersenam kerana semua orang diberi Tuhan masa yang mencukupi iaitu 24 jam sehari.

Memang bersenam akan membuatkan kita berasa letih, tetapi jika difikirkan faedah kemudian hari yang akan diperoleh, pasti perasaan itu bertukar menjadi gembira.

Sekiranya tidak mampu untuk melakukan senaman dengan kerap atau jenis senaman yang berat, pilih senaman yang ringkas dan memudahkan diri anda sama ada boleh dilakukan di rumah, tempat kerja atau gimnasium.

Tidak kira berapa pun berat atau sebesar mana saiz badan kita, senaman yang dilakukan secara teratur memberi banyak manfaat kepada kita. Dalam usaha menjaga kesihatan, tiada istilah terlewat.

Contohnya sebagai permulaan, buat aktiviti ringan dengan berjalan pada waktu pagi sebelum pergi kerja. Berjalan di kawasan perumahan selama 10 hingga 15 minit setiap pagi sudah memadai dan apabila stamina bertambah, lanjutkan tempoh senaman kepada 20 hingga 30 minit sehari.

Namun perlu diingat, buat aktiviti memanaskan badan sebelum bersenam untuk mengelak mendapat kecederaan atau ketegangan otot.

Selain itu, dengan mengamalkan pemakanan serta senaman kita boleh mengurangkan risiko menghidap penyakit kronik yang boleh mengancam nyawa seperti penyakit jantung.

Misalnya, senaman kardiovaskular yang kerap dilakukan boleh meningkatkan kesihatan jantung manakala pemilihan makanan yang rendah kandungan garam pula boleh mengurangkan risiko tekanan darah tinggi.

Anda juga harus peka terhadap keadaan kesihatan diri sendiri. Jangan amalkan diet mendadak jika anda tahu bagaimana mahu mengira jumlah kalori bagi setiap pengambilan makanan seharian.

Jangan juga mengamalkan diet itu sesuka hati kerana ditakuti akan mendatangkan kemudaratan. Lakukan kalori defisit agar dapat mengurangkan berat badan berlebihan.

Bagi kebanyakan orang yang dapat menurunkan berat badan atau mengamalkan pemakanan seimbang dan senaman, rata-rata mereka mengakui ia ternyata dapat meningkatkan keyakinan diri dan mengurangkan tekanan.

Siapa yang tidak mahu tampil menarik dengan menggayakan pakaian kegemaran yang cantik-cantik belaka bukan? Tidak kiralah wanita mahupun lelaki, masing-masing tentu saja berperasaan begitu.

Hidup yang sihat dan aktif dapat mengurangkan tekanan serta membantu menangani sebarang masalah dengan lebih baik. Tekanan boleh disebabkan oleh banyak faktor antaranya pekerjaan, makanan, keluarga, rakan, masalah kewangan, tidak cukup tidur, anak serta konflik dalam keluarga.

Justeru, mulakan gaya hidup sihat dari sekarang dan jangan berlengah. Cuba rujuk bahan bacaan bercetak atau maklumat terdapat di Internet.

Tidak lupa, bertanya pada pakar kesihatan atau jurulatih bertauliah untuk permulaan serta tunjuk ajar. Jangan malu untuk bertanya kerana ditakuti anda akan sesat jalan di kemudian hari.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

635 views