Simpan Kekasih Gelap

BAGI kebanyakan penduduk Islam di Bangladesh, ada sesuatu yang mengejutkan tersimpan kemas dalam lipatan sejarah negara itu iaitu zaman di mana golongan bangsawan secara terang-terangan menayangkan kepada masyarakat mereka mempunyai kekasih yang terdiri daripada penyanyi remaja lelaki.

Walaupun sehingga kini homoseks diharamkan di Bangladesh, amalan di kalangan golongan kaya di kawasan luar bandar yang tinggal bersama kekasih mereka (Ghetu) khususnya pada musim hujan diterima oleh masyarakat 150 tahun lalu.

Kini, satu filem berjudul Ghetuputra Komola (Pleasure-boy Komola) diterbitkan.
Ia mengutarakan isu perubahan keremajaan di negara di mana purata umur berkahwin bagi remaja perempuan ialah 13 tahun dan 20 tahun bagi lelaki.

Filem itu turut memberitahu kisah kehidupan seorang remaja lelaki yang menyanyikan lagu berunsur seks dan menjadi impian lelaki, menyebabkan isteri lelaki berkenaan berasa cemburu.

Berlatarbelakangkan daerah Habiganj yang terletak di timur laut, filem itu mengupas apa yang dipanggil hari ini sebagai budaya pedofilia (gangguan psikiatri pada golongan muda iaitu 16 tahun ke atas yang ada keinginan seksual terhadap kanak-kanak belum baligh). Budaya ini wujud dalam masyarakat terpencil yang terpisah daripada dunia luar selama empat bulan akibat musim hujan tahunan (monsun).

Bagi kebanyakan lelaki Muslim kaya, ketika inilah mereka berpeluang mendengar nyanyian Ghetu dan mengajak mereka tiggal bersama sebagai kekasih. Bagaimanapun budaya ini terhenti apabila orang Islam mula belajar untuk menghargai orang lain serta nilai murni manakala tempat tinggal mereka tidak lagi terasing seperti sebelumnya.

Produser filem berkenaan, Faridur Reza Sagar, berkata subjek dalam filem ini adalah sesuatu yang ada nilai untuk diceritakan walaupun ia menyentuh isu sensitif seperti gay dan seks bawah umur.

Malah dia amat berhati-hati dengan pandangan ‘romantik’ dalam budaya Ghetu itu.

“Apabila pembikin filem (Humayun Ahmed) menyuarakan ideanya untuk menghasilkan filem ini, saya agak skeptikal. Ini adalah isu yang boleh menimbulkan kontroversi. Namun bak kata Humayun, tiada apa yang hendak dibimbangkan dan kami bernasib baik kerana budaya ini sudah lama pupus,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/28

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

1,865 views