Siti Alwani Tak Mudah Mengalah

Jatuh bangun dalam dunia perniagaan sudah menjadi perkara biasa, namun paling penting untuk sentiasa bangkit daripada kejatuhan.

Jangan sesekali mengalah kerana perniagaan sememangnya bidang yang dipenuhi dengan pelbagai risiko. Sekiranya ingin berjaya, tunjukkan kesungguhan dan berusaha hingga memperoleh keputusan memberangsangkan.

Begitulah yang menjadi pegangan pemilik butik Keluargaku Sayang, Siti Alwani Idros, 45, yang memulakan bisnesnya dengan hanya bermodalkan RM300.

Malah, lokasi gerai hanya di halaman rumah sendiri dengan berniaga peralatan menulis menggunakan jenama popular Barbie.

Lokasi rumahnya yang berdekatan dengan sekolah dan tadika serta berhadapan dengan pangsapuri memudahkan perniagaannya terus berkembang.

“Pada mulanya saya berniaga sekadar suka-suka dan mensasarkan kanak-kanak memandangkan produk yang dijual lebih kepada kelengkapan persekolahan seperti bekas pensel, buku nota, pen dan aksesori.

“Harga ditawarkan juga berpatutan bersesuaian dengan kemampuan kanak-kanak,” katanya ditemui di kedainya di Ampang Park, baru-baru ini.

Untuk memperluaskan perniagaannya, dia turut mengikuti karnival yang diadakan di sekolah dan sambutan diberikan amat menggalakkan.

Anaknya turut membantu membuat promosi kepada rakan di sekolah dan ia sedikit sebanyak menjadikannya perniagaannya popular.

“Minat berniaga dalam diri tidak pernah padam dan saya tidak kisah bermula dari bawah kerana ia memberi pelbagai pengalaman bermakna.

“Ketika itu, saya hanya menjalankan bisnes ini secara sambilan kerana ada kerjaya tetap, justeru ia harus dilakukan mengikut kelapangan,” katanya.

Kemudian, dia mula mengorak langkah lebih luas dengan menyertai karnival di kilang, tetapi masih menjual produk yang sama iaitu barangan berasaskan jenama Barbie.

Hasil diperoleh amat memberangsangkan, bayangkan dalam masa dua hari berada di sana setiap produk yang dipamerkan laris bagai pisang goreng panas.

Hinggakan beg pameran yang dibawa turut dijadikan barangan jualan kerana permintaannya juga tinggi.

“Sebagai peniaga kita tidak boleh membezakan barangan yang dijual. Sama ada berjenama ataupun tidak ia masih mendapat permintaan daripada pengguna sekiranya proses pemasaran yang dilakukan berkesan.

“Saya tidak pernah beranggapan barangan yang dijual selama ini tidak memiliki kualiti kerana ia perlu disesuaikan dengan sasaran pelanggan. Kebanyakannya golongan sederhana dan ia pasti memberikan mereka lebih banyak pilihan berbanding barangan berjenama lain,” katanya.

Ibu kepada lima cahaya mata ini mengakui, tidak mudah untuk berjaya dan terus bertahan terutama dengan pelbagai cabaran dan persaingan kini.

Menariknya, dia tidak pernah membuat sebarang pinjaman perniagaan dan hanya bergantung kepada duit pusingan modal bagi menambah barangan jualan.

Selama enam tahun menjadikan jualan secara langsung sebegitu sebagai proses pemasaran utama, kini dia memiliki kedai bagi memberikan sedikit kelainan.

“Mungkin disebabkan kudrat sedia ada tidak lagi segagah dulu yang boleh mengangkut barangan jualan, saya mula memilih bentuk jualan yang lebih santai.

“Ia tidak banyak menggunakan tenaga dan hanya perlu memastikan kedai tersusun. Tetapi saya dapati ia tidak memberikan kepuasan berniaga kepada saya, malah situasi berniaga kurang rancak,” katanya.

Cabaran dihadapi apabila mengendalikan butik amat berbeza kerana jika sebelum ini dia sendiri bertindak mencari pelanggan, tetapi apabila memulakan operasi butik sistem jualannya berbeza.

Dia yang pernah membuka dua butik di tempat berlainan sebelum ini mengakui tidak mudah untuk mengendalikan butik kerana ia bergantung kepada kunjungan pengunjung.

“Saya pernah berhadapan dengan barangan jualan tidak mendapat sambutan. Walaupun sedih, saya teruskan juga berniaga seperti biasa bagi mengurangkan kerugian.

“Bagi pemilik butik, jualan bergantung kepada kunjungan dan belian pengunjung yang saya rasakan tidak bersesuaian dengan diri. Tetapi saya masih mahu mencubanya supaya minat berniaga tidak berhenti separuh jalan saja,” katanya.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

537 views