Sokongan Kuat Nenek Buat Rakan
“JANGAN sesekali jadikan usia sebagai penghalang. Apa yang penting, percaya serta bangga pada kemampuan diri,” kata Fatimah Ahmad De Polo, salah seorang peserta Jelajah Srikandi 7 Perhentian Negeri Sembilan, Sabtu lalu.
Pada usia mencecah 52 tahun dan berstatus nenek, Fatimah nyata berpegang teguh kepada kata-katanya itu dan tidak kekok menyertai konvoi dengan menunggang motosikal Yamah FJR1300.
“Saya sebenarnya jarang sertai konvoi dan lebih gemar bergerak sendirian atau dalam kumpulan kecil. Tapi demi beri sokongan kepada rakan-rakan serta adik-adik yang baru menunggang motosikal, saya seronok melakukannya walaupun cuma sempat menyertainya sehingga ke perhentian keempat.
“Bagi saya, tidak salah wanita menunggang motosikal dan menyertai aktiviti seperti ini. Ia bukan saja dapat menanam sifat positif dalam diri tapi turut memberi kesedaran mengenai tanggungjawab sebagai salah seorang pengguna jalan raya,” katanya.
Tambah Fatimah, makin ramai wanita muda berminat terbabit dalam aktiviti bermotosikal kerana terdedah lebih awal berbanding ketika zamannya.
“Ibu bapa kini lebih terbuka dan menyokong aktiviti anak-anak. Keluarga saya menghalang aktif bermotosikal, jadi terpaksa sembunyikan daripada mereka.
“Saya hanya berpeluang membeli motosikal selepas berkahwin dan motosikal pertama saya ketika itu ialah Suzuki 535. Saya terus menunggang motosikal ketika sarat mengandung, dek terlalu minat dalam aktiviti bermotosikal.
“Suami amat memahami dan menyokong saya, malah kami sering habiskan masa santai bersama dengan menunggang motosikal,” ujarnya yang turut memiliki Suzuki Intruder 800 serta pernah menunggang Yamaha VMAX.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/05