Solekan Perlu Ikut Era Baru

Seiring perkembangan teknologi terkini dalam pembuatan kamera dan televisyen definisi tinggi (HD) untuk menampilkan gambar yang lebih terperinci, solekan pada wajah juga harus diperbaharui.

Bukan saja untuk mendapatkan penampilan wajah mulus dan bebas cela, malah solekan berkonsepkan HD juga sangat penting bagi mereka yang banyak bekerja di hadapan kamera dan bidang penyiaran.

Namun, itu tidak bermakna wanita di luar bidang berkenaan tidak boleh mencuba teknik solekan berkenaan malah ia sebenarnya sesuai digayakan oleh sesiapa saja yang mahukan wajah tampak lebih licin dan rata tanpa perlu bersolek tebal.

Menurut jurusolek terkenal dan pengasas KAI Image Academy, Kenz Ooi, solekan HD adalah lebih nipis berbanding cara lama yang banyak menggunakan alat solek jenis krim bagi menutup cela pada wajah.

“Cara lama yang biasa digunakan akan menampilkan solekan tebal pada wajah dan kelihatan seperti mengenakan topeng. Disebabkan itu, wajah tampak tidak sempurna jika gambar diambil menggunakan kamera atau video kamera yang dipertingkatkan dengan penggunaan HD.

“Ini kerana apa saja barangan berteknologi yang dihasilkan dengan HD, ia akan memperlihatkan secara terperinci pada kulit wajah sehingga menampakkan kesan cela atau liang roma lebih jelas.

“Justeru, setiap wanita harus belajar bersolek mengikut perubahan era baru pada masa kini untuk mendapatkan wajah yang mulus dan lebih licin,” katanya.

Tambahnya, solekan HD juga sesuai digayakan ketika ingin menghadiri majlis istimewa atau makan malam kerana ia juga dapat membantu mengurangkan kesan wajah letih atau lingkaran gelap bawah mata.

Teknik sapuan adalah sama tetapi alat mekap yang digunakan seperti bedak asas dan bedak padat jenis krim membantu menampilkan wajah lebih muda dan tekstur kulit tampak licin.

Bedak asas dan bedak padat yang biasa digunakan Kenz daripada jenama Mehron mementingkan keselamatan kulit pengguna.

“Walaupun ia jenis krim namun bedak asas atau bedak padat yang ditampilkan bebas minyak, tidak berkilat selain bebas bahan kimia dan wangian.

“Kelebihannya ia mengandungi aloe vera dan vitamin E untuk membantu menjadikan kulit sihat selain lebih ringan untuk disapu pada wajah.

“Terdapat lebih 20 warna, ia mesra pengguna kerana mudah disapu dan lebih rata walaupun tanpa menggunakan penutup cela pada wajah,” jelasnya.

Tambahnya, gunakan span atau berus sesuai berbanding jari ketika menyapu bedak asas pada wajah bagi mengelakkan sapuan menjadi berbelak selepas memilih warna yang betul.

Jika mahu mencuba, gunakan bedak asas dengan tiga warna berbeza iaitu lebih cerah, gelap dan rona sama dengan kulit bagi mendapatkan kesan solekan lebih sempurna.

“Gunakan bedak asas rona lebih cerah di kawasan mata bagi membantu menutup lingkaran gelap atau mengurangkan kesan keletihan.

“Bedak asas yang lebih gelap daripada warna wajah pula digunakan untuk mendapatkan kesan mancung pada hidung atau mengecilkan bentuk muka yang besar.

“Akhir sekali, gunakan bedak asas rona sama dengan kulit wajah di seluruh bahagian muka untuk menutup cela dan menampilkan kesan mulus,” katanya.

Kenz menegaskan, wajah harus dibersihkan terlebih dulu dan disapu dengan pelembap sebelum mengenakan mekap bagi mengelakkan sebarang iritasi pada kulit.

Tambahnya, untuk menggunakan pemerah pipi jenis krim, ia sebaiknya disapu sebelum mengenakan bedak padat bagi mendapatkan kesan yang lebih baik.

Selain itu, wanita yang mempunyai masalah kulit kering atau matang boleh meninggalkan sapuan bedak HD mineral jenis krim dan bedak tabur bagi mengelakkan wajah kelihatan tua.

Kenz turut mengadakan kelas mempelajari teknik solekan terkini secara separuh masa atau sepenuh masa kepada pelajar tempatan dan Timur Tengah, lepasan sekolah atau suri rumah yang mahu menambah pengetahuan mereka mengenai mekap.

Malah, dia juga banyak mengadakan bengkel hujung minggu untuk wanita bekerja bagi meningkatkan kemahiran dan penampilan diri menerusi solekan sesuai.

Menariknya, Kenz akan muncul pada pameran Cosmobeaute Asia kali ke-9 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bermula 15 hingga 18 Julai ini dengan menampilkan koleksi mekap terbaru untuk tahun ini.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

1,901 views