Solekan Santai Tetap Menyerlah

Gaya solekan yang sesuai mampu menaikkan seri wajah dan membuatkannya kelihatan menarik setiap masa. Solekan boleh dikenakan biarpun ketika waktu santai, tetapi dengan syarat ia perlu disapu nipis dan padan dengan warna kulit.

Menurut jurusolek, Siti Arina Ariffin, 28, solekan juga perlu disesuaikan dengan bentuk wajah supaya wajah tampak manis. Misalnya, penggunaan sapuan pembayang di pipi dan bawah dagu mampu membuatkan wajah kelihatan lebih runcing.

Ia juga menonjolkan tulang pipi, membuatkan seseorang kelihatan lebih anggun dengan wajah lebih tajam. Pembayang pada wajah juga boleh disapu pada bahagian tepi tulang hidung bagi membuatkannya kelihatan lebih mancung.

“Solekan mampu membuatkan seseorang nampak berbeza kerana wajah yang bulat boleh ditukar menjadi runcing, tetapi teknik dan asas solekan yang betul perlu diketahui.

“Jika tidak, solekan tidak menjadi dan membuatkan wajah kurang cantik. Antara panduan, bagi mereka yang berwajah bulat, kalau boleh elakkan solekan yang berkilat atau kurangkan terutama di bahagian pipi supaya wajah tidak kelihatan bertambah bulat,” katanya.

Penggunaan mekap yang berkilat pula sesuai untuk mereka yang berwajah runcing kerana ia membuatkan wajah kelihatan lebih segar.

Selain itu, menurut gadis kecil molek ini, sapuan solekan ketika malam perlu lebih terang kerana apabila terkena cahaya, solekan lebih menyerlah.

“Pada waktu siang pula, solekan seharusnya lebih lembut kerana keadaan yang terang. Bagi solekan yang santai, ia harus disapu nipis saja dan sesuai ketika keluar bersiar-siar pada hari minggu dan ke pejabat kerana warna yang digunakan tidak garang.

“Pembayang berwarna coklat juga boleh dipilih untuk membentuk wajah atau disapu di kelopak mata kerana ia sesuai dengan semua warna kulit,” katanya.

Bagi mendapatkan solekan yang santai, tetapi tetap nampak menyerlah, Siti Arina menunjukkan langkah demi langkah panduan solekan sesuai untuk mereka yang gemar tampil menawan ketika keluar bersiar-siar.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

1,797 views