Solekan Seiring Rona Pakaian

“Cantik atau tidak?” Tanya rakan penulis selepas dia melayangkan pembayang mata berkilat keemasan tatkala menghadiri majlis makan malam bertemakan gaya Timur Tengah.

Melihat sekilas, wajahnya benar-benar berubah walaupun hanya dengan sapuan pembayang mata serta celak hitam di atas garis lingkaran kelopak mata.

Memang benar pemakaian celak dan pembayang mampu merubah penampilan seseorang sama ada menjadi lebih cantik atau biasa-biasa saja. Buktinya ada wanita nampak lebih anggun selepas bersolek namun ramai juga yang tidak menampakkan kesegaran walaupun sudah lengkap memakai semua perkara penting dalam solekan.

Apakah yang menyebabkan berlaku perbezaan sedangkan wanita ini mengenakan jenama alat solek yang sama?

Menurut jurusolek profesional, Noor Fazleen Mohd Fazel, terdapat beberapa perkara yang perlu diberi perhatian bagi mendapatkan gaya solekan diinginkan. Ia bukan saja bergantung kepada jenama alat solek, peralatan seperti berus dan span tetapi juga teknik ketika mengadun warna serta sapuan menjadikan seseorang tampil berbeza.

“Untuk mendapatkan penampilan berbeza bukan saja bergantung kepada keberanian ketika bersolek tetapi pemilihan warna serta teknik digunakan. Dalam hal ini, panduan menggabungkan warna asas dengan warna panas atau sejuk menjadikan sapuan lebih menawan. Apatah lagi sekiranya jurusolek itu bijak memadankan dengan warna kulit seseorang,” katanya yang sering menerima undangan menyolek pengantin.

Selain pemilihan rona pembayang mata, apa yang perlu diketahui solekan harus menepati tema majlis dan ia sebaiknya mengikut rona pakaian juga sama ada untuk acara siang atau malam. Untuk solekan malam wanita harus bijak menggabungkan antara warna pastel dengan cerah serta menggunakan teknik solekan smokey untuk mata.

Sambil menunjukkan teknik solekan ketika menghadiri majlis berkonsepkan gaya Timur Tengah, kata Fazleen, apa yang perlu ditekankan adalah pemilihan baju bersesuaian konsep. Ini bagi memudahkan wanita memadankan warna pembayang mata serta gincu yang akan dipakai.

“Untuk majlis berkonsepkan gaya Timur Tengah, wanita sebaiknya memilih padanan sedikit glamor sama ada pada rekaan atau potongan busana. Mungkin memakai kaftan dengan perincian manik pada bahagian tertentu serta lilitan tudung ala serban mampu mengikut tema ditetapkan.

“Selepas menetapkan pakaian, ini memudahkan mengadunkan solekan mengikut warna pakaian. Namun ini bukan peraturan yang harus diikuti. Ia terpulang kepada wanita sama ada mahu memakai pembayang mata sewarna atau sebaliknya,” katanya.

Untuk solekan mata, Fazleen memilih pembayang mata rona keemasan dengan sedikit sapuan coklat bagi memberikan imej segar tatkala digayakan pada waktu malam. Paling penting, pemakaian celak cecair pada bahagian atas kelopak mata memberikan ilusi berbeza dan membuatkan wajah lebih anggun dan menawan.

“Kini wanita lebih arif apa yang mereka mahukan. Ramai semakin berpengetahuan mengenai jenis celak dan teknik sapuan sama ada tebal, nipis atau mempunyai ekor. Percayalah setiap satu akan mempengaruhi penampilan.

“Untuk gaya Timur Tengah, anda boleh memakai celak sehingga memenuhi garis atas kelopak mata. Kemudian oleskan dengan maskara warna senada. Sebaiknya pastikan anda memakai berulang kali pada bulu mata bagi menjadikan lebih lebat, panjang dan hitam,” jelasnya.

Selain mata, warna gincu juga perlu diberi perhatian. Jika inginkan wajah lebih garang mungkin pilihan merah terang yang terbaik tetapi pastikan anda selesa memakainya.

“Pemilihan gincu juga memainkan peranan penting. Apa yang menjadi keutamaan adalah keselesaan dan yakin tatkala menggayakannya ketika menghadiri majlis. Jangan kerana semata-mata memilih warna berdasarkan trend semasa sehingga anda kelihatan janggal dan kurang yakin berhadapan orang ramai. Jadilah diri sendiri dan bergaya mengikut kemampuan sendiri,” nasihat Fazleen.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

701 views