Songket, Batik Untuk Remaja

Kebanyakan koleksi yang ditampilkannya menggunakan fabrik kain kapas dan poliester, sesuai digayakan wanita di negara ini tanpa rasa panas atau menyukarkan untuk bergaya menarik.

Justeru, pemilihan fabrik dengan corak menarik perlu diberi perhatian misalnya, fesyen diketengahkan Noor Hamizah Jamaludin, 23, ini.

Dia memilih fabrik berasaskan cetakan songket dan batik bagi mencipta kelainan dalam bergaya khususnya buat remaja. Prinsipnya mudah iaitu mahu mencipta trend sendiri di samping mengikut fesyen semasa yang digemari kebanyakan remaja.

Bagi pemilik butik dalam talian Mirzaza Dezain, songket dan batik menjadi warisan turun-temurun yang perlu mendapat sentuhan baru untuk lebih dikenali dalam kalangan generasi muda.

Selain coraknya yang begitu unik, dia juga perlu bijak memilih fabrik yang sesuai dengan cita rasa si pemakai dan cuaca di negara ini.

“Misalnya, kardigan songket, koleksi ini diberi nama Songket Sultan yang biasanya fabrik berkenaan banyak digayakan oleh ratu dan raja sehari.

“Namun, untuk menampilkan kelainan dan selesa digayakan ke mana saja, saya perlu memilih fabrik kain kapas yang mengetengahkan cetakan songket.

“Ia boleh digayakan dengan penampilan santai kerana fabrik digunakan tidak panas. Selain itu, ia sesuai digayakan remaja yang mahu menampilkan gaya yang sedikit berlainan daripada biasa,” katanya.

Dia juga menampilkan rekaan kardigan dengan cetakan batik daripada kain kapas selain palazo yang begitu menarik perhatian.

Ujar gadis yang memiliki diploma dalam bidang fesyen ini, kebanyakan koleksi yang ditampilkan adalah rekaan dan jahitan sendiri bagi menjadikan setiap himpunan tampak eksklusif.

Sebelum membuka perniagaan secara dalam talian, Noor Hamizah gemar menggayakan pakaian sebelum rakannya mula membuat tempahan.

Sejak itu, dia mendapat idea untuk mengetengahkan rekaan sendiri bagi mempelbagaikan pilihan gaya remaja masa kini.

Bermula Oktober 2012, dia mula serius menerima tempahan jahitan mengikut keinginan pelanggan. Malah, dia turut menyertai bazar yang diadakan di universiti bagi memperkenalkan koleksinya kepada pelajar.

Asalnya, dia hanya menjalankan perniagaan berkenaan secara suka-suka dan mahu menambah pengetahuan mengenai bidang rekaan serta fesyen sebelum benar-benar serius.

“Asas menjahit memang ada sejak dulu dan saya gunakan kelebihan yang ada untuk mendalami bidang rekaan fesyen.

“Walaupun saya mula menjalankan perniagaan ketika melanjutkan pengajian di peringkat sarjana muda, ia masih belum terlambat kerana aliran fesyen masa kini terus berkembang pantas.

“Ketika itu, saya menggunakan masa di hujung minggu sebaik mungkin untuk menjahit dan menyiapkan tempahan rekaan bersama ibu yang memang pandai menjahit sejak dulu lagi,” katanya.

Tambahnya, semua koleksi dijahit dan direka sendiri. Selain itu, penggunaan fabrik yang berkualiti dari Indonesia juga diberi keutamaan bagi memastikan si pemakai selesa.

Malah, dia juga mempelbagaikan koleksinya menggunakan fabrik dari Sarawak untuk menghasilkan palazo.

Fabrik batik Sarawak dengan pelbagai pilihan warna menarik bagi menghasilkan palazo itu biasanya hanya disiapkan jika ada tempahan bagi mengekalkan kualiti dan sifat eksklusifnya.

Bagaimanapun, untuk koleksi kardigan, butiknya ada menyediakan pakaian siap dipakai sebagai pilihan menarik kepada pelanggannya.

Untuk perancangan akan datang, dia mahu menampilkan pelbagai koleksi batik pada setiap helaian kardigan, skirt maksi, palazo, seluar berpotongan lurus dan baju-T siap dipakai. Ini memudahkan pemakai memilih koleksi dengan segera tanpa membuat sebarang tempahan awal.

Justeru, dia menyasarkan golongan remaja untuk bergaya dengan rekaan unik yang ditampilkan itu seiring dengan usia mereka.

Bukan hanya remaja, jika pelanggan yang mahu penampilan tampak senada bersama ahli keluarga juga boleh menempah rekaan mengikut cita rasa diinginkan menggunakan fabrik bercorak batik atau songket.

Untuk maklumat lanjut, boleh e-mel ke cikmirza@yahoo.com. Pilihan rekaan berasaskan batik dan songket juga boleh dilihat menerusi Facebook atau Instagram, mirzazadezain.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

1,712 views