Suheila Tak Jemu Tambah Ilmu

Awal 2011, Suheila Ismail memulakan perniagaan menerima tempahan membuat kek selepas melahirkan anak ketiganya.

Suri rumah berusia 28 tahun itu merasakan dia perlu melakukan kerja dari rumah yang mampu mendatangkan pendapatan tambahan.

Ketika itu, populariti pavlova semakin dikenali dan rasanya disukai ramai. Suheila sendiri mengakui gemar menikmati pavlova dan cuba membuatnya sendiri dengan belajar menerusi Internet.

Selepas puas hati dengan pavlova yang diadunnya, dia cuba menghasilkan kek red velvet pula. Dari situlah dia mendapat idea untuk menawarkan khidmat membuat pavlova dan kek red velvet selepas mahir menghasilkan rasa kek yang enak.

Keyakinan untuk menjalankan perniagaan secara dalam talian semakin bertambah selepas dia memuat naik gambar kek hari lahir untuk anak sulungnya yang dibuat sendiri di Facebook. Apa yang menggembirakannya, dia mendapat maklum balas mengejutkan daripada pembaca.

Akhirnya, Suheila nekad untuk mendalami lagi selok-belok pembuatan kek fondan dengan mengekalkan keenakan kek asas seperti kek mentega, coklat dan red velvet.

“Saya mula belajar cara membuat pelbagai jenis kek dan mendapatkan resipi di Internet yang kebanyakannya menerusi laman YouTube.

“Pada saya kek fondan ini ada keunikan dan tarikan tersendiri berbanding kek biasa. Ia membuatkan hati terdetik untuk cuba belajar membuat kek fondan dengan lebih mendalam.

“Usaha tanpa jemu membuahkan hasil kerana kebanyakan kek fondan yang dipelajari dan dibuat sendiri kian mendapat maklum balas positif daripada pelanggan,” katanya.

Kebanyakan pelanggan memuji keenakan kek dan kecantikan hiasan yang berjaya dihasilkan menyebabkan kek ciptaan Suheila mempunyai daya tarikan tersendiri.

Sebut apa saja karakter kartun mahupun model kenderaan, pasti dia dapat menghias kek fondan dengan kemas dan kreatif, apatah lagi dengan bantuan suami, Jeffny Ehsan dan empat pekerjanya.

Lebih bermakna apabila dia juga mendapat sokongan serta bantuan daripada ibu dan bapa mentua yang turut bekerjasama memastikan setiap tempahan dapat disiapkan dan sampai ke tangan pelanggan pada tarikh dijanjikan.

Walaupun tidak ramai yang menggemari rasa manis kek fondan, Suheila ada cara sendiri bagi mengurangkan kemanisannya dengan menambah tepung jagung pada acuan bagi memenuhi cita rasa sebilangan pelanggannya itu.

Kebanyakan idea datang daripada pelanggan yang mahu kek dihias dengan karakter diminati bagi melahirkan rasa teruja insan tersayang ketika menatap pemberian penuh makna itu pada majlis istimewa.

Menariknya, dulu Suheila hanya menggunakan mesin pengadun dan ketuhar gelombang mikro kecil sebelum berjaya mengumpul modal besar hasil titik peluhnya sejak 2011.

Dalam sehari dia mampu menghasilkan empat hingga lima tempahan kek fondan, bergantung kepada bentuk hiasan yang diminta pelanggan.

Ada kalanya dalam tempoh seminggu dia mampu menyiapkan lebih 20 kek fondan dengan bantuan alatan lengkap dimilikinya selepas mengeluarkan modal sebanyak RM20,000.

Waktu paling sibuk adalah pada hujung minggu kerana ketika ini mereka bagai tidak menang tangan menerima tempahan.

Suheila menyarankan pelanggan supaya membuat tempahan awal di sweettoothville@gmail.com sekurang-kurangnya satu atau dua minggu lebih awal bagi hiasan mudah dan sebulan untuk menyiapkan kek fondan yang rumit.

Bagi memudahkan pelanggan melihat sendiri hasil kek fondan yang disiapkan Suheila bersama suami dan pekerjanya, boleh layari facebook.com/sweettoothville.

Berhenti kerja bantu isteri

Perniagaan bermula secara dalam talian yang diusahakan Suheila berjaya menarik minat Jeffny. Dia mengakui, pada mulanya agak kurang yakin dengan perniagaan kek fondan yang dibangunkan isterinya itu.

“Awalnya, saya menganggap bahawa perniagaan ini tidak menguntungkan. Saya sering tertanya-tanya dan meragui apakah akan ada pelanggan yang mahu membeli kek setiap hari.

“Namun selepas melihat sendiri isteri menjalankan perniagaannya, akhirnya ia membuka mata saya bahawa kami mampu mendapatkan pelanggan. Bukan seorang pelanggan sehari tetapi lebih daripada itu.

“Lantas saya nekad untuk berhenti kerja dan membantu isteri menyiapkan tempahan kek fondan yang kini semakin mendapat permintaan ramai,” katanya.

Tambahnya, dia membantu isterinya membuat hiasan yang sukar dilakukan dan lebih teknikal seperti model kereta dengan lampu menyala atau berpusing. Semua ini dipelajari sendiri menerusi Internet sebelum diubah suai mengikut cita rasa pelanggan.

Ayah kepada tiga orang anak ini percaya kerja keras dan usaha berterusan akan menampakkan kejayaan apabila kek yang disiapkan tampak kemas dan menarik.

Untuk mendapatkan hasil yang kemas, tangannya pernah tercedera akibat tersepit pada mesin penggelek. Namun itu semua tidak sedikit pun menjejaskan semangatnya, malah lebih berkobar-kobar untuk terus berusaha dengan lebih serius bagi mengembangkan perniagaan yang diusahakan bersama isteri tersayang.

INFO

Panduan menyimpan kek fondan

1. Kek fondan tidak digalakkan untuk disimpan di dalam peti sejuk selagi ia belum dimakan. Jika disimpan di dalam peti sejuk, kek fondan akan berpeluh apabila dikeluarkan menyebabkan ia tidak lagi tampak menarik.

Ia perlu disimpan dalam suhu bilik dengan pengudaraan yang baik. Jika memasang penyaman udara, tetapkan suhunya pada 20 darjah Celsius. Cara penyimpanan yang betul boleh membantu kek fondan tahan lebih lama iaitu antara empat hingga lima hari.

2.Jika sudah dimakan atau dipotong, baki kek fondan boleh disimpan di dalam peti sejuk yang boleh bertahan sehingga seminggu.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

624 views