Sukan Berhalangan Makin Digemari

Mendaki, memanjat, merangkak dan mendaki semula sebelum berlari melepasi halangan bertayar dalam satu masa mungkin bunyinya menakutkan bagi segelintir individu.

Lebih menggerunkan apabila perlu melakukannya berulang kali dalam tempoh sejam sebelum pusingan dan catatan masa diambil lalu dibandingkan bagi mencari pemenangnya.

Bagi si ‘adrenalin junkie’, aktiviti ini pasti mengujakan apatah ia membabitkan aspek kepantasan dan stamina. Namun bagi yang tidak biasa dengan aktiviti lasak, masih juga berpeluang merasai keseronokannya – sekadar untuk mencuba dan menghabiskan masa bersama teman.

Dikenali sebagai Viper Challenge, aktiviti dalam kategori sukan berhalangan ini mula menarik minat dalam kalangan masyarakat Malaysia yang mahukan kelainan dalam rejim kecergasan mereka.

Menurut Pengarah Latihan Viper Challenge merangkap Pengarah Program Original Bootcamp, Simran Latif, Viper Challenge adalah haluan 20 kilometer di Litar Sepang yang dipenuhi halangan buatan manusia untuk menguji fizikal dan mental peserta ke tahap maksimum.

“Ia satu bentuk sukan yang baru, segar dan menyeronokkan. Peserta bakal mengalami pengalaman unik, di mana tahap kecergasan mereka diuji sepenuhnya.

“Secara kasarnya ia tidak mudah dilakukan malah ramai merasakan sukan berhalangan ini hanya sesuai untuk mereka yang terbabit dalam acara maraton, triatlon dan sebagainya.

“Sebenarnya, siapa pun boleh menyertainya kerana cabaran yang diberikan dalam aktiviti ini akan menguji daya tumpuan, pergerakan, ketahanan serta tahap ketangkasan diri.

“Selain itu, tahap keyakinan diri juga akan dinilai menerusi keinginan dan keupayaan mengatasi setiap halangan,” ujarnya.

Meskipun sukan halangan terbesar Asia ini hanya akan berlangsung pada 17 dan 18 Ogos depan, Simran terlebih dulu memberikan previu menarik ketika Hari Belia 2013 di Putrajaya, bulan lalu.

Dengan skala 1:200 iaitu hanya sepanjang 100 meter yang diadakan di depan bangunan Kastam Diraja Malaysia, golongan remaja berpeluang menyertai Viper Challenge Mini yang turut menguji ketahanan serta kesabaran peserta di bawah terik matahari.

“Halangan paling besar dalam cabaran mini ialah memanjat kerana kedudukan blok jerami setinggi lapan kaki yang menyukarkan peserta individu.

“Jika hadir bersama rakan, halangan ini akan menguji tahap kesabaran dan kerjasama dalam memastikan semua ahli berjaya melepasinya,” kata Simran lagi.
Peserta kemudiannya beralih ke halangan jaring kargo, di mana mereka sekali lagi perlu memanjat jaring itu untuk ke halangan ketiga.

Sejurus turun dari jaring kargo, jaring rendah pula menunggu peserta yang memerlukan mereka merangkak di bawahnya.

Aktiviti memanjat sekali lagi menjadi elemen utama apabila peserta perlu mendaki himpunan tayar yang besar hingga menyukarkan pergerakan kerana keadaannya yang tidak statik.

Ia disusuli larian atas tayar sebelum peserta berlari ke garisan permulaan dan perlu melakukan semua halangan itu berulang kali hingga tamat tempoh sejam.

Peserta yang mencatatkan masa dan jumlah pusingan terbaik kemudiannya dinobatkan juara yang membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000 serta hadiah iringan.

Simran menambah, banyak penyertaan daripada wanita diterima yang majoriti hadir secara berkumpulan.

“Apa yang diadakan pada Hari Belia 2013 ini sekadar previu atau persembahan pertunjukan bagi memberi idea mengenai acara sebenar pada Ogos ini.

“Kemunculan ramai peserta wanita juga membuktikan bahawa sukan berhalangan Viper Challenge ini sesuai untuk semua, asalkan peserta bersedia mencabar ketahanan diri sehingga ke tahap tertinggi,” katanya.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

485 views