Sukan Bina Minda Cerdas

AKTIF dalam sukan sememangnya amat digalakkan berikutan ia mampu memberi keseimbangan pada rohani dan jasmani diri. Biarpun kesedaran mengenai pentingnya bersukan untuk kesihatan mula meningkat di kalangan golongan dewasa, sebaliknya pula berlaku pada kanak-kanak.

Majoriti generasi muda ketika ini tidak lagi dilihat memenuhi padang atau kawasan permainan pada waktu petang atau musim cuti sekolah kerana lebih suka menghabiskan masa menonton televisyen atau beralih ke permainan komputer.

Antara salah satu sebab adalah kekangan daripada ibu dan bapa yang lebih suka anak-anak mereka mengehadkan aktiviti di luar rumah.

Malah ada ibu bapa, terutama di bandar, yang langsung tidak membenarkan anak-anak mereka membabitkan diri dalam apa jua sukan di sekolah kerana bimbang kanak-kanak itu lalai dalam pelajaran.

Bagaimanapun, pembangunan dan penerapan perwatakan positif yang bermula di akar umbi sebenarnya boleh dipupuk menerusi aktiviti sukan.

Menurut Perunding Sukan Milo, Datuk Dina Rizal, nilai murni seperti semangat kesukanan, azam untuk berjaya dan saling hormat-menghormati di kalangan ahli pasukan berbilang kaum dapat menyumbang kepada pembentukan personaliti positif dalam diri kanak-kanak di samping menggalakkan masyarakat mengamalkan hidup lebih sihat.

Aktiviti sihat seperti Kem Sukan Milo yang berlangsung di pelbagai lokasi seluruh Malaysia sejak tahun lalu disifatkan sebagai salah satu platform bagi menanam nilai murni itu di kalangan kanak-kanak.

Bertemakan Play More Learn More (PMLM), kem sehari ini tidak hanya memberi peluang untuk kanak-kanak bergiat aktif dalam sukan, tetapi memberi penekanan kepada gaya hidup sihat, sikap kerjasama dalam pasukan dan membina keyakinan diri menerusi pergaulan sesama rakan sebaya.

“Aktiviti bersukan seperti ini sebenarnya mampu membentuk disiplin dalam diri kanak-kanak lalu mereka akan membesar dalam suasana positif serta berjiwa kental.

“Bersukan juga sebenarnya mampu membina minda yang lebih cerdas menerusi fizikal yang cergas dan sihat. Sememangnya sukan dan pelajaran mampu seiring.

“Bagi kami, setiap kanak-kanak berhak menjalani zaman kecilnya dengan aktiviti bermain dan bersukan seperti ini. Kanak-kanak yang gemar bersukan juga mempunyai tahap komunikasi sosial yang baik berbanding kanak-kanak yang berhadapan komputer setiap hari.

“Malah mereka juga sihat disebabkan pergerakan fizikal yang menyebabkan pengeluaran peluh, sekali gus membantu kecergasan tubuh.

“Bukan itu saja, sukan adalah alat paling berkesan untuk penyatuan bangsa tanpa mengira agama serta warna kulit. Sukan mempunyai kuasa yang sangat hebat mengumpulkan semua manusia dengan satu matlamat iaitu kemenangan.

“Malah, penggalakan penyertaan dalam sukan sama ada dalam pertandingan atau secara spontan memberi peluang kepada semua lapisan masyarakat beriadah, mempelajari kemahiran yang boleh digunakan dalam kehidupan harian serta memupuk semangat interaksi sosial yang baik,” katanya.

Dalam edisi ke-11 dan terakhir penganjurannya bagi 2011 di Taman Kajang Raya, Kajang serta Taman Medan, Petaling Jaya, baru-baru ini, hampir 300 kanak-kanak memeriahkan tiga acara sukan – bola sepak, bola jaring dan bola keranjang yang disertai kanak-kanak Melayu, Cina juga India.

Tambah Dina, tiga acara itu dipilih atas dasar populariti di kalangan penduduk setempat serta Milo hanya memilih sukan yang boleh dimainkan secara berkumpulan dan bukannya individu.

Selain penyertaan kanak-kanak dalam tiga acara itu, kem sukan ini tidak ketinggalan memberi peluang kepada ibu bapa untuk beriadah dan mempelajari skil serta memupuk semangat interaksi sosial dalam komuniti mereka.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

1,321 views