Sumbangan Wanita Makin Dihargai

BERGELAR wanita yang memegang jawatan sebagai isteri dan ibu di rumah manakala ketua di tempat kerja bukanlah suatu perkara remeh yang boleh dipandang sebelah mata saja.

Mereka juga terpaksa berperang dengan bebanan kerja yang banyak, memastikan pengaturan masa dan jadual yang tepat agar dapat memuaskan semua pihak iaitu majikan mahupun ahli keluarga tercinta.

Inilah yang dialami mereka untuk memajukan diri dalam bidang yang diceburi dan digemari. Perkataan seperti usaha gigih, jangan mudah putus asa dan pengorbanan boleh dikatakan ‘makanan harian’ mereka bagi memastikan tidak tersasar daripada landasan sepatutnya.

Umum mengetahui dewasa ini, perkembangan ilmu pengetahuan semakin meningkat dan terus maju dari semasa ke semasa. Perkembangan ilmu ini membawa kepada meluasnya pelbagai bidang tugas dan peranan yang akan dan sudah diceburi oleh setiap lapisan masyarakat tidak mengira status mahupun jantina.

Golongan wanita juga tidak terkecuali menceburkan diri dalam bidang tugas ini. Pembabitan mereka pada hari ini menunjukkan pada dunia bahawa wanita adalah salah satu golongan yang memberikan sumbangan besar kepada perkembangan dan kemajuan sesebuah organisasi, keluarga serta negara.

Pada era globalisasi ini, mereka terus melangkah maju dalam dunia yang dipenuhi dengan persaingan tetapi masih mampu mencapai kejayaan dan kecemerlangan dalam kehidupan serta kerjaya masing-masing.

Peranan wanita sekarang lebih meluas lagi sehingga merangkumi pelbagai aspek kehidupan termasuk sosial, ekonomi dan politik.

Bagaimanapun, laluan untuk berjaya bukannya mudah. Banyak cabaran yang perlu dilalui lebih-lebih lagi di dunia korporat yang majoriti ‘pemainnya’ adalah golongan lelaki.

Antaranya adalah isu kesaksamaan gender dan diskriminasi atau sukar memperoleh hak yang selama ini kurang bijak dimanfaatkan.

Tidak dinafikan fenomena ini masih lagi terjadi di kebanyakan organisasi yang mana perbezaan jantina dijadikan timbang tara antara kelayakan seseorang menjawat jawatan tinggi atau sebaliknya.

Namun tidak di institusi perbankan Standard Chatered Bank Malaysia Berhad (SC) yang mengamalkan kepelbagaian dan penyertaan (Diversity and Inclusion – DI).

Ketua Hal Ehwal Korporatnya selaku juara DNI bagi tempoh dua tahun, Norliza Kamaruddin, berkata di SC, mereka amat menyokong dan mempunyai polisi tersendiri bagi memastikan kaum wanita mahupun lelaki diadili secara sama rata.

“Apabila menyebut mengenai kesaksamaan gender, ia berkaitan dengan peluang sama rata yang boleh dimiliki oleh golongan lelaki dan wanita misalnya dalam bidang kerjaya mereka.

“Apabila disebut dalam konteks pembangunan wanita, kesaksamaan gender membawa maksud menghapuskan apa-apa rintangan yang dikenakan kepada mereka berdasarkan definisi budaya berhubung peranan mereka dalam organisasi ataupun masyarakat.

“Kami percaya, kesaksamaan, kepelbagaian dan penyertaan kedua-dua gender saling berkait rapat dan berhubung rapat apabila perlu bekerjasama untuk melahirkan tenaga kerja yang lebih produktif serta berdaya saing,” katanya.

Menurutnya, konsep DI di SC bertujuan mewujudkan budaya di tempat kerja yang membantu hasrat strategik syarikat dapat disampaikan kepada kakitangan dengan cara membolehkan setiap kakitangan melakukan perubahan dan kumpulan (jabatan) untuk menang.

Ia lebih daripada sekadar dasar, inisiatif dan proses tetapi mengenai bagaimana kakitangan SC melakukan kerja antara satu sama lain dan pihak yang berkepentingan.

Secara ringkasnya, kepelbagaian bermaksud pembabitan semua kakitangan, lelaki mahupun wanita yang contohnya mempunyai cara pemikiran atau personaliti berbeza.

Penyertaan pula membuat setiap pekerja berasa dihargai atas segala jasa yang disumbangkan terhadap syarikat. Ini sekali gus bermakna menyediakan suasana di tempat kerja yang membolehkan mereka memenuhi potensi diri dan meluaskan perspektif untuk lebih bersikap menghargai sumbangan yang boleh dilakukan oleh orang lain.

Selain itu, DI ini juga bertindak sebagai satu langkah yang sewajarnya untuk mencipta dan mengekalkan budaya inklusif serta berprestasi tinggi melalui tingkah laku dan meritokrasi berdasarkan sumbangan serta kerja keras.

Dengan persekitaran sebegini, semua pekerja mempunyai peluang untuk memaksimumkan potensi peribadi mereka melalui prestasi yang didorong berdasarkan prinsip kukuh.

“Kami meletakkan penekanan pada kepelbagaian dan penyertaan. Dengan tenaga kerja seramai 85,000 orang dan terdiri daripada 125 bangsa berlainan, separuh kakitangan SC adalah golongan wanita. Ini bagi memastikan wawasan global yang seimbang untuk membantu kami berkhidmat demi pelanggan.

“Bank ini juga mempunyai lebih daripada 21 peratus perwakilan wanita di peringkat pengurusan kanan manakala 34 peratus di peringkat pengurus. Kami turut menggalakkan wanita eksekutif untuk meningkatkan kemahiran melalui latihan, program pembangunan kendiri dan mobiliti antarabangsa.

“Kami mempunyai dasar sumber manusia yang membenarkan pekerja contohnya melakukan kerja dari rumah, waktu kerja yang fleksibel dan tempoh cuti bersalin yang boleh diselaraskan. Kami juga menyediakan tempat kerja yang mempunyai kemudahan seperti bilik penjagaan, taska dan pusat jagaan harian,” katanya.

Waktu bekerja yang fleksibel diadakan selepas menyedari wanita sering berperang atau bergelut dengan masalah masa. Oleh itu, satu polisi dibangunkan menerusi peraturan waktu kerja yang lebih fleksibel termasuk bagi mereka yang bekerja sambilan dan bekerja dari rumah.

Dengan ini, ia memberikan ruang untuk pekerja melunaskan atau menguruskan hal peribadi serta profesional mereka secara lebih teratur.

Ketua Unit Undang-Undang, Pematuhan dan Pengguna Perbankan SC, Peh Mui Sim, pula berkata usaha dan polisi ini diketuai oleh Ketua Eksekutif Kumpulan Standard Chartered, Peter Sands serta Pengarah Eksekutif Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Asia, Jaspal Bindra.

“Terus terang saya katakan usaha ini perlu mendapat kerjasama semua pihak terutama daripada pihak pengurusan atasan. Jika tidak, perkara ini sukar untuk dijadikan budaya di kalangan kakitangan sesebuah organisasi.

“Memang diakui bukan mudah untuk mengubah mentaliti atau persepsi seseorang dalam sekelip mata atau hanya satu hari. Bagaimanapun, jika usaha budaya layanan sama rata di kalangan lelaki dan wanita ini dilakukan secara berterusan, ia pasti akan menjadi semakin mudah.

“Justeru, tiada lagi wujud perkataan diskriminasi atau penindasan. Ini kerana, polisi atau budaya yang dibentuk menunjukkan kedua-dua jantina perlu bekerja keras untuk mencapai kejayaan.

Tiada jalan mudah untuk berjaya melainkan dengan keazaman serta disiplin diri yang kuat,” katanya.

Pada September tahun lalu juga, ketika menyampaikan ucapan bertajuk ‘Meningkatkan Peluang Ekonomi Untuk Wanita: Melangkah Ke Depan’, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, menyeru majikan termasuk syarikat korporat membuang budaya sempit, perundangan dan tekanan serta bebanan terhadap pekerja wanita yang diiktiraf sebagai sumber penting dalam pembangunan ekonomi negara.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

1,054 views