Sumber Inspirasi Anak Yatim

SETIAP manusia memerlukan sumber inspirasi dan pembimbing. Bukan orang dewasa saja, malah kanak-kanak juga memerlukan seseorang yang dapat memberi sokongan ketika mereka membesar.

Bagi mereka yang mempunyai ahli keluarga, kakak atau abang, ia sedikit sebanyak dapat membantu memberi bimbingan kepada adik yang sedang melalui proses pembesaran.

Bagaimana pula dengan anak yatim yang tidak mempunyai ahli keluarga untuk mendapatkan sokongan fizikal dan mental dalam menghadapi kesukaran serta kepayahan mengharungi hidup serba mencabar ini?

Tentunya kehidupan dirasakan begitu sukar dan sunyi, apatah lagi mencari seseorang untuk meluahkan rasa sedih atau gembira bagi berkongsi kisah sepanjang kehidupan yang dilalui.

Memahami kepentingan dan keperluan insan kurang bernasib baik itu, jenama penjagaan diri, Garnier menjalankan program Sinar Cahayaku bagi memberi peluang kepada wanita prihatin untuk menjadi kakak angkat kepada anak yatim perempuan sebagai pembimbing mereka.

Menurut Penolong Pengurus Produk Garnier, Florence Ong, pihaknya percaya dengan sokongan emosi yang diberikan kakak angkat dapat membawa perubahan pada masa depan anak yatim itu.

“Kebanyakan daripada kita lahir dengan keadaan emosi yang stabil kerana adanya keluarga yang sentiasa prihatin dan menyayangi sepanjang masa, tidak kira ketika kanak-kanak atau remaja.

“Apabila saya meletakkan diri sendiri dalam situasi adik angkat, rasa sedar betapa sukar keadaan yang ditempuhi mereka. Sekiranya dibiarkan berterusan, anak yatim ini mungkin membesar dalam keadaan emosi tidak kukuh dan kurang keyakinan diri.

“Mempunyai seorang kakak angkat sudah tentu boleh membantu kerana mereka sedar adanya seseorang yang boleh berkongsi suka dan duka,” jelasnya yang begitu memahami perasaan anak yatim yang tidak mempunyai sokongan daripada seorang kakak.

Sementara itu, menurut selebriti terkenal, Heliza Helmi yang mengikuti program berkenaan melawat Rumah Amal Siraman Kasih mendapati kanak-kanak berkenaan begitu memerlukan sokongan daripada wanita yang bergelar kakak.

“Kami mendapati sebenarnya mudah untuk menunjukkan rasa prihatin dan sokongan kepada anak yatim perempuan ini dalam masa singkat sewaktu bersama mereka.

“Mereka memang memerlukan kakak angkat untuk berkongsi, menjadi pendengar serta teman tatkala bersedih.

“Selain aspek pelajaran dan agama, mereka juga memerlukan bimbingan lain dalam kehidupan yang dilalui,” katanya ketika meluangkan masa bermesra, bermain dan menjamu selera bersama adik angkatnya.

Pasukan Garnier bersama Heliza menyedari kepentingan kehadiran mereka kepada adik angkat ketika melawat rumah anak yatim terbabit yang menyertai program Sinar Cahayaku.

Program Sinar Cahayaku adalah usaha yang dijalankan Garnier untuk memberi peluang kepada wanita di negara ini memberi bimbingan kepada anak yatim perempuan dengan menjadi kakak angkat dan dalam pada masa sama, menawarkan nasihat serta sokongan sebagai sahabat kepada mereka.

Walaupun ia mengambil masa singkat, pengaruh positif yang diberi kakak angkat kepada anak yatim perempuan itu dapat memberi kesan besar untuk menjadi teladan yang baik.

Bagi yang ingin menyertai program Sinar Cahayaku, boleh mendaftar secara dalam talian di www.facebook.com/GarnierMalaysia.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

741 views