Suntik Bakteria Ke Tubuh Anak Sihat

BAGI pasangan yang bakal menimang cahaya mata pertama atau seterusnya, apakah ikrar yang anda buat untuk masa depan permata hati anda itu? Menyediakan insurans kesihatan dan pendidikan, memilih pusat penjagaan dan pra sekolah terbaik atau membelikan pakaian berjenama dan permainan mahal?

Pernahkah anda terfikir untuk berikrar memberikan anak kesayangan anda semua imunisasi yang diperlukannya? Maksud penulis ialah memperuntukkan sedikit wang untuk vaksin tambahan. Mungkin ada yang bertanya, bukankah kerajaan sudah mengadakan program imunisasi kebangsaan, buat apa hendak berikan vaksin lain pula?

Memang benar, kita mempunyai program imunisasi kebangsaan dan dianggap antara langkah perlindungan terbaik di dunia. Pun begitu, ia masih belum lengkap kerana perlindungan terhadap beberapa penyakit lazim dalam kalangan kanak-kanak belum dimasukkan dalam program berkenaan seperti rangkaian penyakit yang boleh disebabkan oleh bakteria pneumokokal.

Kalau ditanya pada mana-mana ibu bapa, rasanya semua tahu kepentingan vaksin.

Malah kebanyakannya memang mengambil berat terhadap jadual pengambilan vaksin anak kesayangan mereka. Namun begitu, sejak akhir-akhir ini muncul segelintir ibu bapa yang enggan berbuat demikian atas alasan mahu si anak mempunyai perlindungan semula jadi dengan hujah ‘buat apa menyuntik bakteria ke dalam tubuh anak mereka yang sihat’?

Perunding Pediatrik dan Neonatal, Hospital Pakar Damansara Datuk Dr Musa Mohd Nordin berkata, sistem pertahanan badan manusia boleh dibentuk melalui dua cara iaitu imuniti semula jadi dan dengan bantuan vaksin.

Menurutnya memang benar perlindungan yang diperoleh selepas terkena jangkitan itu lebih baik tetapi satu perkara penting yang perlu diketahui ialah jangkitan itu boleh menyebabkan beberapa penyakit teruk yang mungkin membawa kesulitan, kesengsaraan dan paling dikhuatiri ia berakhir dengan kematian.

Bakteria pneumokokal contohnya boleh menyebabkan empat keadaan atau penyakit berbeza – bakteremia (jangkitan bakteria dalam darah), meningitis (jangkitan selaput saraf tunjang atau otak), pneumonia (jangkitan paru-paru) dan otitis media (jangkitan telinga tengah).

Penyakit disenaraikan di atas adalah pecahan penyakit pneumokokal (PnD) yang membimbangkan pakar perubatan kerana ia dikelaskan sebagai pembunuh nombor satu kanak-kanak, terutama pesakit kecil di bawah umur lima tahun. Apa yang lebih membimbangkan ialah ramai ibu bapa tidak menganggap pembunuh senyap dalam kalangan kanak-kanak ini sebagai satu perkara penting.

Imuniti semula jadi bermakna seseorang perlu mendapat jangkitan sesuatu penyakit (sama ada disebabkan bakteria atau virus). Apabila bakteria atau virus memasuki badan dan membiak, badan akan menghasilkan antibodi untuk melawan serangan mikro organisma berkenaan.

Dalam proses ‘perang’ itu, individu yang dijangkiti akan mengalami pelbagai gejala penyakit seperti demam, hilang selera makan, ruam, mata menjadi merah, muntah, cirit-birit, keletihan dan berat badan menurun.

Selepas pengalaman yang memeritkan ini, badan individu berkenaan sudah ada pelindung terhadap jenis bakteria atau virus yang menyerangnya. Jadi apabila dia dijangkiti bakteria atau virus daripada jenis yang sama untuk kali kedua, individu itu tidak akan mengalami sebarang masalah kesihatan.

Namun, berfikirlah secara rasional, buat apalah kita hendak anak yang masih kecil melalui pengalaman menyakitkan itu jika perlindungan yang sama boleh diberikan oleh vaksin. Vaksin adalah kultur bakteria atau virus yang sudah dilemahkan dan tidak boleh membahagi atau membiak dengan sempurna.

Ia akan disuntik ke dalam badan bayi tetapi jangan risau kerana virus atau bakteria yang diberi itu sangat lemah dan tidak akan menyebabkan masalah kesihatan, tetapi ia sudah cukup untuk memberi isyarat kepada badan supaya menghasilkan antibodi sama baik seperti imuniti semula jadi.

Sebaik badan menghasilkan antibodi, secara automatik ia akan menjadi anggota kekal dalam sistem pertahanan badan. Jika terdedah kepada jangkitan, antibodi ini akan segera memerangi virus atau bakteria yang memasuki badan. Bagi sesetengah vaksin, ia memberi perlindungan selama beberapa tahun dan ada juga sepanjang hayat.

Suntikan vaksin perlu diberikan untuk melindungi kanak-kanak daripada mendapat jangkitan kerana 60 peratus kemasukan ke hospital dan 40 peratus kematian berlaku pada kanak-kanak di bawah 10 tahun. Ini perkara menyedihkan kerana ia boleh dicegah dengan vaksinasi.

Selain itu, vaksinasi juga dapat mengurangkan beban pada kanak-kanak dan ibu bapa mereka serta kos rawatan. Secara purata kanak-kanak yang sakit tidak dapat hadir ke sekolah selama lima hingga enam hari dan ibu bapa pula terpaksa mengambil cuti antara tiga hingga empat hari setiap kali anak sakit.

Kajian mendapati ada lebih 90 jenis bakteria pneumokokal, tetapi hanya 10 peratus yang boleh menyebabkan penyakit pneumokokal serius di seluruh dunia.
Malangnya, kumpulan 10 peratus inilah yang menyebabkan kira-kira 155 juta kes baru setiap tahun dan 150 juta kes berlaku di negara membangun. Daripada jumlah ini, sebanyak 15 juta kes dikategorikan sebagai serius yang memaksa kanak-kanak ditahan di hospital dan sedihnya 1.6 juta kes berakhir dengan kematian.

Siapa yang perlu dilindungi?

Menurut Dr Musa, semua kanak-kanak di bawah umur lima tahun berhak mendapat perlindungan vaksin apatah lagi daripada jangkitan bakteria pneumokokal yang menyebabkan kerosakan otak, kehilangan pendengaran dan kematian.

Selain itu, saranan mendapatkan suntikan vaksin pneumokokal ini turut ditujukan kepada kanak-kanak yang dihantar ke pusat jagaan harian, mereka yang lemah daya ketahanan badan dan mengalami penyakit kronik seperti kencing manis dan membabitkan penyakit jantung, paru-paru, buah pinggang dan hati.

Kanak-kanak, terutama yang dihantar ke pusat jagaan harian, terdedah kepada jangkitan pneumokokal dan boleh menjadi ejen pembawa serta penyebar bakteria yang berkesan. Kajian menunjukkan kira-kira 60 peratus kanak-kanak prasekolah menjadi pembawa bakteria pneumokokal dan berpotensi tinggi menyebarkannya kepada rakan sebaya tanpa disedari.

“Pneumokokal ialah punca utama kehilangan keupayaan dan kematian kanak-kanak di bawah lima tahun di seluruh dunia yang boleh dicegah. Penyakit pneumokokal invasif boleh menjadi penyakit paling serius dalam kalangan kanak-kanak kecil.
Paling teruk, ia menyebabkan meningitis (keradangan selaput otak). Akibatnya kanak-kanak yang mendapat meningitis boleh menjadi buta atau pekak, atau meninggal dunia.

“Sedihnya, penyakit pembunuh ini sering dilupakan. Pada 2008, penyakit ini menyebabkan kematian 8.8 juta kanak-kanak di bawah lima tahun. Satu perlima daripadanya meninggal akibat pneumonia. Malangnya hanya satu daripada lima ibu bapa yang dapat mengenal penyakit ini.

“Kita perlu mendidik ibu bapa dan orang ramai mengenai cara melindungi kanak-kanak daripada penyakit ini kerana kesannya amat buruk. Kaedah pencegahan berkesan perlu disediakan untuk kanak-kanak Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada pelancaran laman web untuk meningkatkan kesedaran mengenai penyakit pneumokokal dan penekanan kepentingan vaksin – www.abc4pneumococcal.com, sebagai lanjutan kepada Kempen Sasarkan Liputan Lebih Luas (ABC) yang menyeru ibu bapa memperjuangkan hak kanak-kanak untuk dilindungi daripada penyakit berkenaan melalui pemvaksinan.

Katanya lagi, apabila memberikan vaksin perlindungan kepada kanak-kanak, seisi keluarga malah masyarakat akan merasa manfaatnya. Ini kerana orang dewasa yang tidak pernah mendapat penyakit kanak-kanak ini ketika kecil atau mereka yang tidak sesuai menerima vaksin (disebabkan masalah kesihatan) berisiko tinggi mengalami jangkitan daripada kanak-kanak yang tidak diberikan suntikan vaksin.

Memberikan vaksin kepada kanak-kanak yang sihat secara tidak langsung akan melindungi orang dewasa, golongan tua dan kanak-kanak yang tidak boleh menerima vaksin akibat masalah kesihatan.

Bahkan ia juga akan melindungi kanak-kanak yang tidak boleh menerima suntikan vaksin akibat menghidapi penyakit kronik seperti penyakit jantung, kerosakan buah pinggang dan hati.

Jangkitan

Walaupun bakteria pneumokokal turut menjangkiti orang dewasa, kesannya lebih ketara dan teruk pada kanak-kanak kecil. Sehingga kini, dianggarkan 1.6 juta orang meninggal dunia setiap tahun akibat jangkitan pneumokokal dan daripada jumlah ini, antara 700 hingga satu juta adalah kanak-kanak berumur kurang lima tahun.

Bakteria pneumokokal mudah merebak melalui batuk dan bersin, kemudiannya menjangkiti saluran pernafasan kanak-kanak lain. Dari sini ia akan memasuki salur darah, merebak ke seluruh badan dan menyebabkan pelbagai masalah kesihatan terutama pada kanak-kanak di bawah dua tahun kerana badan mereka belum ada antibodi untuk melawan jangkitan pneumokokal.

Dari hidung, bakteria berpindah ke bahagian badan lain melalui aliran darah dan mula menyebabkan masalah kesihatan. Jangkitan bakteria pneumokokal boleh berlaku pada darah dan menyebabkan keracunan darah (sepsis atau bakteremia), keradangan selaput saraf tunjang atau otak (meningitis), keradangan paru-paru (pneumonia) atau jangkitan telinga tengah (otitis media). Namun penyakit paling banyak direkodkan penyebab kematian kanak-kanak ialah pneumonia.

Bukan semua individu yang ada bakteria ini mengalami gejala penyakit kerana pneumokokal didapati ada pada individu sihat. Kumpulan ini dipanggil pembawa dan mereka mungkin membawa empat jenis (serotip) bakteria berbeza pada satu masa.

Bakteria pneumokokal boleh menyebabkan lima masalah iaitu:

Sinusitis – Kanak-kanak mengalami demam, hidung berair dan batuk.

Otitis media akut – Pesakit mengalami sakit telinga, demam, pendengaran menjadi tidak jelas. Dalam kalangan bayi atau kanak-kanak kecil, tindakan kerap menarik atau menutup telinga boleh menjadi tanda dia mengalami masalah otitis media.

Bakteremia (keracunan darah) – Boleh menyebabkan pesakit demam panas dan mengalami pelbagai simptom lain.

Pneumonia – Pesakit menggigil, kesejukan, batuk, demam dan sesak nafas.

Meningitis – Menyebabkan pesakit demam, sakit kepala yang teruk, mual, muntah, leher menjadi tegang dan fotofobia (cuba mengelak melihat cahaya) dalam kalangan kanak-kanak lebih besar. Bayi dan kanak-kanak kecil pula biasanya mengalami demam dan beberapa gejala tidak khusus tetapi kerap.

“Kurang pengetahuan mengenai bahaya jangkitan pneumokokal menyebabkan kebanyakan ibu bapa hanya membawa anak mendapatkan rawatan apabila penyakit makin teruk dan sedihnya, ada yang tidak dapat diselamatkan. Ini kerana kematian boleh berlaku dalam masa lima hari jika pesakit kanak-kanak tidak mendapat rawatan sewajarnya.

“Pada 2005, seorang ibu membawa anaknya berusia lima bulan yang mengalami demam dan muntah-muntah berjumpa saya. Keadaannya memang kritikal dan selepas 10 jam dimasukkan ke unit rawatan rapi, dia meninggal dunia dalam pangkuan saya! Sedihnya hanya Allah yang tahu. Saya sedih kerana bayi berkenaan meninggal akibat penyakit pneumokokal sedangkan ia boleh dicegah,” katanya.

Buat pilihan bijak

Masalah tidak mendapat imunisasi lengkap kebanyakannya berlaku pada kanak-kanak di negara membangun. Sejarah membuktikan pemberian vaksin mampu mengurangkan kes jangkitan dan kematian kanak-kanak yang berumur kurang lima tahun.

Malah, program imunisasi juga terbukti dapat menghapuskan virus demam cacar sepenuhnya. Sasaran seterusnya ialah untuk menghapuskan virus poliomyelitis yang menyebabkan penyakit polio dalam beberapa tahun akan datang.

Apa yang menjadi polemik ibu bapa ialah kos untuk vaksin pneumokokal. Harga setiap suntikan vaksin pneumokokal ialah RM200 dan seseorang kanak-kanak memerlukan tiga dos suntikan untuk mendapat perlindungan sepenuhnya.
Bagaimanapun, jumlah suntikan atau dos ini berbeza mengikut umur kanak-kanak.

Walaupun harga itu dianggap mahal oleh kebanyakan ibu bapa tetapi jika ibu bapa membuat perancangan rapi dan sanggup mengenepikan keinginan menukar telefon bimbit yang beribu ringgit harganya atau desakan membeli beg tangan berjenama, rasanya ia bukanlah masalah besar.

Malah ia dikira jauh lebih murah jika dibandingkan kos rawatan yang perlu ditanggung sekiranya anak anda dijangkiti bakteria pneumokokal. Kata Dr Musa lagi, kerjasama dan perjuangan ibu bapa dalam menuntut supaya vaksin ini dimasukkan dalam program imunisasi kebangsaan akan membolehkan harganya dikurangkan ke paras berpatutan.

Ini bukan mustahil kerana Persekutuan Vaksinasi dan Imunisasi Global (GAVI) menjual vaksin yang serupa di Afrika dengan harga USD1 (RM3) bagi setiap dos!

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, penyelidik mendapati bakteria
pneumokokal menjadi semakin rintang (mempunyai daya ketahanan tinggi) terhadap antibiotik yang biasa digunakan. Ini membuatkan rawatan menjadi lebih sukar dan pesakit perlu ditahan lebih lama di hospital – yang bermakna kos rawatan semakin tinggi.

Inilah sebabnya apabila ditanya apabila semua orang mendapat perlindungan, bolehkan program imunisasi dihentikan? Dr Musa dengan tegas dan pantas menjawab ‘Tidak’. Ini kerana ia akan memberi perlindungan secara tidak langsung kepada komuniti (termasuk orang dewasa) dan individu yang tidak sesuai diberikan vaksin atas sebab kesihatan atau agama. Malah pemberhentian vaksin akan memberi peluang penyakit ganjil untuk muncul.

Soalan yang kerap ditanya ibu bapa

1. Adakah selamat diberikan vaksin pneumokokus dengan vaksin lain dalam senarai imunisasi?

Ya, selamat dan anda tidak perlu bimbang kerana ia tidak akan mempengaruhi vaksin lain.

2. Bolehkah vaksin ini mendatangkan kesan sampingan kepada kanak-kanak?

Vaksin sama seperti ubat lain, ada kesan sampingan tersendiri tetapi kebanyakan kanak-kanak yang diberikan imunisasi tidak mengalami sebarang masalah. Kesan sampingan yang mungkin dialami anak anda untuk vaksin ini sama seperti vaksin suntikan lain contohnya tanda merah dan bengkak di tempat suntikan atau demam.
Jangan risau, ini bukan masalah serius dan jika ia berlaku, ia tidak berpanjangan.

Kesan sampingan serius jarang berlaku dengan vaksin moden dan risiko daripada vaksinasi adalah jauh lebih rendah daripada tidak diberikan vaksin.

3. Adakah benar perlindungan semula jadi selepas dijangkiti adalah lebih baik daripada suntikan vaksin?

Ya, memang benar perlindungan yang diperoleh selepas terkena jangkitan itu lebih baik tetapi satu perkara penting yang perlu diketahui ialah jangkitan itu boleh menyebabkan beberapa penyakit teruk yang mungkin membawa kesulitan, kesengsaraan dan paling dikhuatiri ia berakhir dengan kematian.

4. Berapa umur yang sesuai mendapatkan vaksin pneumokokus?

Vaksin ini dicadangkan untuk bayi dan kanak-kanak kecil iaitu daripada umur dua bulan hingga lima tahun. Umur anak menentukan bilangan dos suntikan yang diperlukan.

5. Apa keadaan yang tidak membenarkan seseorang kanak-kanak diberikan suntikan vaksin pneumokokus?

Ada segelintir kanak-kanak yang tidak boleh diberikan vaksin iaitu jika mengalami alahan atau masalah perubatan lain dalam keadaan di mana risikonya melebihi kebaikan.

6. Bagaimana ibu bapa boleh mengetahui jika anak mereka mengalami reaksi terhadap vaksin?

Keadaan alahan atau alergi jarang berlaku. Jika ada, reaksi ini berlaku
dalam masa beberapa minit atau jam selepas disuntik. Antara gejalanya ialah pernafasan berbunyi, ruam, rasa lemah, pucat, nadinya pantas, pening dan bengkak pada tekak. Jika ini berlaku, segera bawa anak anda berjumpa doktor.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

1,346 views