Sunway Pyramid Bantu Mangsa Bah Di Thailand
PADA Julai hingga Disember 2011, satu lagi bencana alam banjir mengakibatkan kerugian besar melanda Thailand.
Menurut laporan, lebih 12.8 juta penduduk terjejas manakala Bank Dunia menganggarkan kerugian 1,440 bilion baht (RM144 bilion).
Sehingga pertengahan Disember, beberapa kawasan masih ditenggelami air hingga dua meter, manakala banyak kilang ditutup. Bank Dunia menyifatkan banjir di Thailand adalah bencana keempat paling teruk selepas gempa dan tsunami Jepun 2011, gegaran di Kobe 1995 dan taufan Katrina pada 2005.
Ribuan pekerja diberhentikan apabila lebih 930 kilang di 28 wilayah tidak dapat beroperasi akibat ditenggelami air, manakala Thailand yang menjadi pembekal 30 peratus keperluan beras dunia meramalkan 25 peratus daripada hasil padi yang sepatutnya dituai, tidak dapat diselamatkan.
Banjir besar yang melanda Thailand itu menjejaskan lebih daripada 3.4 juta orang, memaksa lebih daripada 800,000 penduduknya mengosongkan tempat tinggal mereka.
Prihatin dengan bencana dan angka yang dilaporkan itu, pusat beli-belah Sunway Pyramid berusaha menjalankan pelbagai aktiviti bagi mengumpul dana untuk disumbangkan kepada mangsa banjir di Thailand.
Sebanyak RM50,000 dana berjaya dikumpulkan pusat beli-belah berkenaan yang disumbangkan orang ramai, rakan niaga dan pihak pengurusan. Berdasarkan sumbangan terbabit, sejumlah RM37,252.30 dikutip daripada orang ramai serta rakan niaganya dan selebihnya berjumlah RM12,747.70 disumbangkan pihak pengurusan.
Sumbangan berbentuk cek itu disumbangkan kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) diwakili Naib Pengerusi Setiausaha Kebangsaan, Datuk Dr Noordin Ab Razak dan disampaikan Ketua Pegawai Operasi Sunway Pyramid, Kevin Tan bersama Pengarah Pemasarannya, Phang Sau Lian, baru-baru ini.
Ia adalah kerjasama pihaknya bersama PBSM iaitu badan persekutuan antarabangsa yang menjadi sebahagian daripada 185 negara bagi membantu mereka yang memerlukan.
Menurut Tan aktiviti yang dilakukan itu adalah untuk memberi bantuan kepada mangsa banjir di Thailand bagi mengurangkan kesusahan yang dihadapi selepas bencana itu.
“Apabila tragedi ini berlaku, kita tidak boleh hanya duduk diam tanpa lakukan sesuatu. Memandangkan ia adalah sebagai sebahagian daripada negara Asean, menjadi tanggungjawab kita bersama untuk menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan,” katanya.
Kempen yang bermula awal November hingga 31 Disember lalu itu diterajui oleh kumpulan pusat beli-belah itu yang terdiri daripada Sunway Pyramid, Sunway Giza, Karnival Sunway dan Sunway Putra bagi mengumpul dana melalui pelbagai aktiviti.
Menurut Pegawai Komunikasi PBSM, Muhamad Shamsul Ibrahim, mereka memulakan projek bersama pusat beli-belah itu dan menjalin kerjasama dengan persatuan di Thailand.
Jumlah sumbangan yang dikumpul akan dipindahkan kepada persatuan Palang Merah Thailand yang secara langsung menyediakan usaha bantuan kepada mangsa banjir.