Surau Kuning Penuh Nostalgia

SEKIRANYA anda ke Melaka, berjalan-jalan merentas desanya, pemandangan sepanjang jalan itu pasti indah. Sekali-sekala, usah menggunakan lebuh raya yang mempercepatkan perjalanan, sebaliknya gunakan jalan lama supaya dapat merasai suasana kampung yang aman tenteram.

Melalui jalan kampung, anda pasti terfana kerana masih banyak terdapat rumah lama Melaka yang sangat unik reka bentuk pembinaannya.

Selain rumah, masjid juga adalah tarikan utama di Melaka. Bagi pelancong luar, melihat masjid saja mereka akan berhenti mengambil gambar berbanding kita yang biasa dengan pemandangan itu.

Sebab itu melihat sebuah surau berwarna kuning, penglihatan penulis terpaku kepadanya serta-merta, apatah lagi landskapnya sangat indah kerana dikelilingi begitu banyak pokok kelapa yang melambai-lambai, meliuk-lintuk pula.

Tertera nama Surau Arwah Haji Kadi Mahadi bin Naam. Batu 18 1/2, Ayer Limau, Masjid Tanah, Melaka. Warna kuning itulah yang menarik perhatian penulis. Ia kuning terang dan sangat menarik perhatian.

Teringat nostalgia surau di kampung. Terletak di tepi jalan, di bawah pokok kelapa yang melambai dan suasana kampung yang menenangkan sekali. Melihat surau ini membuatkan penulis memberhentikan kereta dan menjenguk sekelilingnya.

Waktu masih pagi jadi surau itu kosong dan sunyi. Melihat bentuknya, ada kolah air di luar, penulis pasti ia sebuah surau yang agak lama.

Jemaah yang masuk ke surau ini boleh segera membasuh kaki atau terus mengambil wuduk.

Berdindingkan kayu, ada tangga batu kecil pula bagi setiap pintu. Unik sekali.

Mungkin ia dibina sebelum merdeka tetapi tidak ada tarikh yang dicatatkan di papan tanda. Catatan yang ada hanya nama orang yang membinanya.

Bertanya pada orang sekeliling, surau ini masih aktif digunakan bagi solat waktu dan juga kelas pengajian agama. Ada yang menyarankan supaya bertanya sendiri kepada waris Haji Mahadi. Penulis diberitahu, rumah lama yang indah di belakang surau itu ialah rumah tempat tinggal Haji Mahadi.

Daripada jirannya juga, penulis diberitahu mengenai Halimah Hassan, 66, cucu Haji Mahadi yang tinggal tidak jauh dari situ. Memang rasa bertuah kerana dapat bertanya mengenai surau itu daripada cucunya sendiri. Kedatangan penulis disambut mesra.

Daripada Halimah penulis mendapat tahu, Haji Mahadi hanya mempunyai seorang anak dan anak itu pula memberikannya tujuh cucu. Halimah adalah salah seorang daripadanya. Enam lagi cucu Haji Mahadi sudah meninggal dunia manakala Halimah ialah cucu yang bongsu.

Menurut Halimah, bentuk dan keadaan surau yang dilihatnya ketika kecil berbanding sekarang tidaklah sama.

“Bentuk surau ini sebenarnya sudah banyak berubah. Dahulu kecil sahaja tetapi kemudian ditambah sehingga ke bentuk sekarang,” katanya.

Orang yang membuat surau untuk digunakan orang lain memang mulia hatinya. Tentu saja insan bernama Haji Mahadi ini menjadi kebanggaan keluarganya.

“Saya sempat juga menemui datuk saya itu sehingga saya mempunyai seorang anak,” cerita Halimah lagi, ibu kepada enam anak ini.

Menurutnya, datuknya dulu adalah kadi, jadi memang popular di kampung terbabit.

“Surau ini dibina ketika hayatnya lagi. Memang saya tidak ingat tarikhnya. Jalan raya di hadapan surau itu dahulunya kecil sahaja, tidak seperti sekarang.

“Di depan surau dahulu ada sawah padi. Sekarang semuanya sudah tiada,” kata Halimah berkongsi kenangan lamanya dengan penulis.

Memang betul, walaupun suasana kampung masih jelas di persekitaran rumah Halimah dan surau datuknya tetapi membayangkan ada sawah dahulunya di situ, pasti pemandangannya lebih indah lagi.

“Kolah di dalam surau juga tidak ada sebelum ini. Sebaliknya, ada perigi yang tidak pernah kering airnya. Perigi itu masih ada tetapi sekarang kami tidak guna perigi lagilah kerana sudah ada air paip,” katanya.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

1,872 views