Tabah Jaga Zuriat Istimewa
Siapa menyangka anak yang dilahirkan cukup sifat dan normal ditakdirkan menjadi insan istimewa selepas ditimpa musibah.
Apa jua berlaku, sebagai insan kerdil, dia menerima segala ketentuan dengan hati terbuka dan menjaga anugerah tidak ternilai itu sebaik mungkin.
Sapiah Odin, 48, berkata, anak keduanya, Norhafizah Mohd Zulkifli, 18, dilahirkan normal dan cukup sifat, tetapi mengalami kecacatan selepas dihempap seorang kanak-kanak ketika berusia dua minggu.
Kejadian itu menguji kesabarannya dan arwah suami, Mohd Zulkifli Hussin, 58, selepas dimaklumkan anak mereka akan membesar sebagai kanak-kanak tidak normal.
Menceritakan detik menyedihkan itu, Sapiah berkata, ketika anaknya berusia dua minggu seorang kanak-kanak yang juga saudaranya datang melawat sebelum kanak-kanak itu dengan tidak sengaja terjatuh atas kepala anaknya hingga melumpuhkan sistem saraf.
Sapiah akui pada awalnya dia tidak dapat menerima kenyataan apatah lagi akibat kecuaian, anak kecilnya menjadi mangsa.
“Sebaik mendengar anak akan membesar sebagai gadis tidak normal, hati saya merintih mengenangkan nasib anak pada masa depan.
“Hati ibu mana tidak sedih mendengar anak yang masih kecil itu perlu menjalani pembedahan bagi memasukkan wayar dari usus ke kepala ketika berusia sebulan.
“Doktor memberitahu anak kekurangan air di kepala dan bagi memastikan dia dapat hidup, kami perlu membenarkan pembedahan segera,” katanya.
Kesan daripada kejadian itu, anaknya membesar sebagai kanak-kanak orang kelainan upaya (OKU) apabila tidak pandai meniarap dan merangkak dalam tempoh sepatutnya.
Ketika berusia setahun, baru anaknya pandai meniarap dan mampu duduk pada usia tiga tahun. Akibatnya, anak kecil itu sering sakit dan terpaksa menerima rawatan di hospital serta klinik setiap minggu.
Norhafizah kini bergantung sepenuhnya kepada wayar untuk hidup dan apabila wayar tercabut, dia sakit dan berisiko maut.
“Ketika berusia 12 tahun, wayar di bahagian leher tercabut dan menyebabkan anak sakit teruk sebelum menjalani pembedahan memasukkan wayar di hospital.
“Anak saya hanya mampu bergerak dengan merangkak sejak kecil dan itu saja yang mampu dilakukannya,” katanya.
Walaupun sudah dewasa, dia langsung tidak pandai menguruskan diri sendiri. Apabila mahu mandi atau memakai baju, segalanya dilakukan Sapiah dan dua anak perempuannya, Norhafizan, 15, dan Norhafizani, 11.
Anak istimewanya itu mudah berubah sikap iaitu kadang-kadang ceria dan adakalanya menangis sepanjang hari.
“Banyak cabaran menjaga anak OKU sebab keadaannya yang tidak menentu. Sebagai ibu yang mempunyai anak istimewa, saya perlu memahami sikapnya dan mengikut saja kemahuannya.
“Banyak bersabar melayan kerenah anak menjadi kunci untuk terus menjadi kuat dan membesarkannya seperti anak-anak yang lain,” katanya.
Nasib Sapiah pula bagai jatuh ditimpa tangga apabila suami tercinta meninggal dunia tujuh tahun lalu akibat demam denggi berdarah.
Ketika itu suaminya koma selama tiga bulan dan dirawat di hospital selain berusaha berubat secara tradisional.
“Suami hanya bergantung hidup dengan oksigen. Selepas tiga bulan apabila tiada perubahan, kami membawanya pulang ke rumah memandangkan anak-anak masih kecil dan saya terpaksa berulang-alik dari rumah di Kampung Cu Badak, Sentul ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) menaiki kenderaan awam.
“Sebaik sampai di rumah suami menghembuskan nafas terakhir meninggalkan saya bersama empat anak yang masih kecil,” katanya.
Memang dirasakan dunia bagaikan gelap seketika namun dengan kudrat yang ada, dia bangkit membesarkan empat anak selain perlu bersabar mengurus keperluan Norhafizah bersendirian.
Pada awalnya, dia tidak yakin untuk mendidik empat anak yang masih bersekolah namun akhirnya mendapat kekuatan apabila melihat anak-anak tabah menghadapi ujian itu.
“Arwah suami tidak meninggalkan harta dan hanya meninggalkan anak-anak untuk saya didik hingga berjaya. Alhamdulillah, anak sulung (Mohd Hafiz, 20) kini menuntut dalam jurusan Diploma Animasi di Universiti Kuala Lumpur dan berjanji akan mengubah nasib kami selepas mendapat pekerjaan kelak.
“Dia anak yang bertanggungjawab, malah membantu saya menyiapkan tempahan karipap jika ada masa lapang,” katanya.
Dengan membuat kuih, wanita tabah itu dapat membesar dan menyekolahkan anak-anak, selain melakukan pekerjaan lain iaitu mengambil upah memasang pelamin.
Sekiranya berkesempatan, dia mengambil upah menjahit manik yang dilakukannya sejak mula berkahwin hingga kini.
“Sebagai ibu tunggal, saya perlu bekerja keras untuk membesarkan anak-anak dan tidak mahu mereka tercicir dalam pelajaran.
“Anak-anak tidak pernah merungut, malah memahami kesusahan yang dialami ibu mereka,” katanya yang bersyukur kerana kakak dan abang ipar sudi membantu apabila membenarkan keluarganya tinggal di rumah mereka secara percuma sementara anak-anak membesar.
Seorang lagi ibu tabah yang membesarkan dua anak OKU, Siti Rogayah Mohd Salleh, 48, berkata, anak ketiga dan bongsu daripada enam beradik disahkan sebagai golongan istimewa kerana lambat dari segi pertuturan dan pergerakan fizikal.
Dua anaknya itu juga tidak boleh membaca dan tidak dapat menerima pelajaran yang diajar guru.
Anak ketiganya, Mohd Hasbullah, 16, dan Mohd Amirullah, 7, disahkan sebagai anak istimewa oleh pihak hospital selepas menerima rawatan ketika berusia dua tahun.
“Hasbullah walaupun sudah berusia 16 tahun, masih tidak boleh membaca dan ditempatkan di kelas khas di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Ehsan, Kepong. Anak bongsu saya juga berada di kelas khas Sekolah Kebangsaan Sri Damansara. Anak saya langsung tidak boleh membaca dan menulis,” katanya.
Perkembangan mereka juga lambat apabila boleh berjalan pada usia dua tahun lebih. Keadaan ini sememangnya merisaukan dirinya dan arwah suami, Mohd Kassim Mohd Yusof, 47, yang meninggal dunia pada 2007 akibat sakit jantung.
Anak ketiganya itu masih tidak boleh membaca dan menulis, tetapi sudah pandai menguruskan diri manakala si bongsu pula tidak pandai menguruskan diri.
“Setiap hari saya perlu menguruskannya kerana dia langsung tidak pandai melakukannya sendiri. Sebulan sekali saya membawa anak bongsu ke hospital untuk memeriksa perkembangannya,” katanya.
Disebabkan masalah itu, Siti Rogayah tidak bekerja dan hanya bergantung hidup dengan wang pencen arwah suaminya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan.