Tak Dapat Lelap Mata

“AWAK suka baca novel cinta? “Setahu saya, sesiapa yang suka baca novel cinta ini, sensitif dan jiwang orangnya!”

Itulah antara bait kata-kata yang sering diungkapkan kepada mereka yang gemar atau mempunyai hobi membaca novel genre percintaan.

Tetapi, benarkah kenyataan itu? Adakah sesiapa saja lelaki mahupun wanita yang membaca novel cinta, maka jiwanya sensitif? Ketika ditanya soalan itu kepada seorang pengumpul tegar novel cinta, Norasliza Masarudin, 25, jawapannya mungkin ya dan mungkin juga tidak.

“Jika dibangkitkan soalan itu, pada pendapat saya, ia bergantung kepada diri pembaca. Mereka lebih kenal siapa diri mereka. Namun tidak dinafikan memang ada benarnya kenyataan seperti itu kerana kita semua hanya manusia biasa yang punya perasaan.

“Bagaimanapun, sesetengah orang berpandangan begitu mungkin kerana individu yang gemar membaca novel cinta itu kaum lelaki yang membuatkannya kelihatan sedikit kekok. Maklumlah, tidak ramai golongan Adam di negara ini yang suka baca novel cinta, jadi bila mereka membacanya maka ramai yang beranggapan bukan-bukan,” katanya.

Bagi dirinya pula, dia membaca novel kerana suka membaca. Minatnya terhadap bahan bacaan mula berputik sejak dari kecil yang bertitik tolak dengan membaca buku cerita pendek.

Walaupun hanya untuk sekadar suka-suka, lama-kelamaan disebabkan terpengaruh dengan gambar dan ilustrasi menarik di dalam setiap buku, maka lahirlah kecenderungannya dalam dunia pembacaan ini.

Aktiviti itu semakin galak dilakukan. Manakan tidak pada setiap malam, dia pasti menghabiskan membaca sebuah buku sebelum tidur atau dia tidak dapat melelapkan mata langsung.

“Ketika di sekolah rendah, saya suka meminjam buku di pusat sumber dan kemudian akibat terlalu teruja, saya tidak dapat menumpukan sesi pembelajaran di dalam kelas kerana semasa cikgu mengajar di depan, saya pula membaca buku yang dipinjam itu di belakang.

“Lucu apabila teringat kembali peristiwa seperti itu. Bagaimanapun, kelakuan sedemikian tidak sepatutnya dicontohi pelajar sekarang,” ujarnya sambil tergelak kecil.

Menginjak masuk ke sekolah menengah, pilihan bahan bacaannya semakin berkembang dan novel cinta tersenarai sebagai bacaan kegemarannya. Novel karya Ahadiat Akashah seperti Lagenda Budak Setan, Katerina dan Secangkir Kopi Panas Di Pilot Cafe yang ketika itu sedang hangat di pasaran, dipastikan menjadi miliknya kerana tidak mahu ketinggalan.

Kegilaannya terhadap novel percintaan ini sehingga dia boleh menghabiskan buka berhalaman 300 hingga 500 muka surat dalam masa hanya sehari tetapi semua itu dilakukan selepas dia selesai menyiapkan kerja rumah.

Atas minatnya itu juga dia memilih aliran sastera ketika di tingkatan empat sebagai subjek utama untuk mendalami ilmu penulisan dalam sesebuah karya.

Padanya, membaca itu seolah-olah meletakkan dirinya di dalam novel berkenaan yang bertindak sebagai seorang pemerhati di antara setiap watak yang cuba dikembangkan oleh penulis dan bukannya ‘perasan’ menjadi diri watak utama.

“Dengan berbuat demikian, saya bagaikan sedang memerhati setiap perlakuan dan mendengar setiap perbualan yang diungkapkan oleh watak. Perasaan ingin tahu juga sentiasa menyelubungi diri untuk mengetahui tragedi yang akan berlaku seterusnya.

“Diri saya seperti berada dalam satu dunia misteri yang sukar ditafsirkan dengan kata-kata melainkan merasainya sendiri melalui pembacaan novel itu,” katanya yang mempunyai lebih 200 koleksi novel percintaan.

Setiap novelnya dijaga rapi dengan menyusunnya di almari khas dan dibalut agar lebih tahan lama. Antara penulis kegemarannya adalah Siti Rosmizah, Norhayati Berahim dan Areila Sahimi.

Malah, novel pertamanya berjudul Pesanan Terakhir Seorang Lelaki karya Norhayati Berahim masih lagi disimpan kemas. Akibat tidak mahu membazir, dia juga akan menyewakan novel berkenaan kepada sesiapa yang berminat.

Norasliza tidak kisah membelanjakan sejumlah wangnya pada setiap bulan untuk membeli beberapa novel cinta. Asalkan dia berasa puas dan gembira, itu bukan satu masalah baginya.

Bagi penulis novel yang semakin meningkat naik, Rasiah Abdul Rashid, 29, yang menggunakan nama pena Acik Lana pada karyanya, dia melihat bahan bacaan novel dengan genre percintaan ini masih dan akan terus mempunyai kelompok peminatnya sendiri.

“Sekiranya dilihat di kedai buku, novel percintaan pasti berada di atas rak mereka. Bukan satu tetapi banyak dan ini secara tidak langsung menunjukkan masih terdapat ramai individu yang meminati bahan bacaan seperti ini.

“Selain itu, dengan perkembangan teknologi sekarang, mereka boleh membaca novel secara dalam talian. Ini kerana, ramai penulis baru akan memuat turun bahan mereka bahagian demi bahagian (bab) ke dalam blog persendirian ataupun laman web syarikat penerbitan buku yang dirasakan bersesuaian.

“Kemudian, komen atau pandangan pengikut blog (pembaca) yang ditinggalkan selepas membaca sesuatu karya akan diambil sebagai panduan kepada penulis untuk dimasukkan ke dalam bahagian seterusnya,” katanya yang turut dikenali melalui cara berkenaan.

Menerusi blognya, penggemar novel cinta boleh membaca karyanya. Komen yang diberi pembaca diterima dengan hati terbuka malah itu yang paling disukainya.

Hasil karya pertamanya, Aku Bukan Mistress, keluaran sebuah syarikat penerbitan novel kreatif berbahasa Melayu, Kaki Novel, tidak disangka menjadi antara novel cinta paling laris di pasaran.

“Niat saya hanya untuk mencuba walaupun bidang penulisan novel ini sudah lama saya lakukan terutama ketika sedang menuntut di sekolah menengah.

“Tidak terlintas langsung karya sulung saya boleh berjaya menambat hati pencinta novel cinta,” katanya yang menjadikan bidang penulisan novel ini sebagai saluran pendapatan sampingannya.

Bertugas sebagai Eksekutif Akaun Scomi Group Berhad, dia bakal keluar dengan nukilan terbaru berjudul Maaf Jika Aku Tidak Sempurna, April depan.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

1,385 views