Tak Lemah Semangat

Pelbagai tanggapan mengenai pemandu teksi wanita. Ada yang ragu-ragu, ada juga yang memuji.

Ada juga yang mengatakan mereka kurang cekap mengendalikan teksi. Tidak kurang yang mengatakan pemandu teksi wanita lebih berisiko tinggi untuk berhadapan dengan jenayah yang boleh berlaku pada bila-bila masa ketika membawa penumpang.

Apa jua kata-kata yang melemahkan semangat, namun sekumpulan wanita ini memilih kerjaya sebagai pemandu teksi kerana berasa ia tetap memberi peluang menambah pendapatan keluarga.

Bagi Amirah Saadullah, 46, dia tidak pernah menyesal bergelar pemandu teksi sejak 10 tahun yang lalu. Walaupun pernah mengalami mimpi ngeri akibat nyaris diperkosa, wanita berhati waja ini meneruskan kerjayanya untuk memperoleh sumber kewangan mencukupi bagi menyara anaknya.

Menceritakan kembali kenangan pahit yang masih terpahat di ingatannya itu, dia kini lebih berhati-hati untuk mengambil penumpang, tidak mengira lelaki mahupun perempuan.

“Peristiwa hitam itu berlaku ketika saya ingin membantu seorang lelaki Arab dengan membawa barangnya yang banyak. Apabila tiba di hotel, dia meminta saya membantunya membawa barangan miliknya kerana ketika itu hujan.

“Hasrat di hati hanya mahu menghantarnya hingga ke pintu hotel, tetapi kasihan pula. Kemudian, saya membantu membawa barangannya hingga ke bilik hotel.

“Tanpa disangka lelaki berkenaan menolak saya ke dalam bilik dan cuba untuk merogol. Namun, saya berasa sangat bersyukur kerana niat jahatnya itu tidak dapat diteruskan disebabkan saya bertindak melawan bersungguh-sungguh,” jelasnya.

Sejak itu, dia nyata lebih berhati-hati. Malah, kelebihan mempelajari ilmu silat di zaman persekolahan sedikit sebanyak membantu dirinya untuk mempertahankan diri ketika berhadapan dengan perkara yang tidak diingini.

Semangatnya menjadi bertambah yakin apabila bekas suaminya juga adalah guru silat. Ini membuatkan dia berasa lebih bersedia untuk bekerja sebagai pemandu teksi dan

pada masa sama, masih mampu menjaga keselamatan dirinya ketika bertugas.
“Pada saya asalkan penumpang berasa gembira ketika saya membawa mereka, itu sudah memadai daripada terlalu memikirkan mengenai bahaya yang akan dihadapi.

“Tidak kurang ada juga penumpang yang berterima kasih kerana bantuan kepada mereka dan melaporkan keprihatinan saya kepada Suruhanjaya Pengangkutan
Awam Darat (SPAD),” katanya tersenyum.

Sepanjang menjadi pemandu teksi, dia masih teringat saat pertama kali mengambil keputusan bekerja di bidang berkenaan.

Bekas suami adalah pemandu teksi dan Amirah mendapati teksi milik suaminya itu lebih lama tersadai di restoran sehingga enam hingga lapan jam lantas dia terfikir untuk mencuba membawa teksi itu bagi mendapatkan pendapatan lebih.

“Pada mulanya, saya nekad memandu teksi walaupun tidak mempunyai Lesen Memandu Perkhidmatan Kenderaan Awam (PSV) selama setahun. Ketika itu anak masih kecil dan memerlukan perbelanjaan yang banyak.

“Walaupun ketika itu saya menjahit baju selepas pulang daripada memandu, saya tidak pernah berasa penat atau susah.

“Biasanya saya memandu teksi seawal jam 6.30 pagi di sekitar Kuala Lumpur dan pada waktu malam pula menjahit baju sehingga jam 1 pagi,” kata ibu kepada lima cahaya mata ini.

Baginya, selagi dia terdaya memandu teksi tiada salahnya untuk meneruskan pekerjaan berkenaan asalkan ia halal dan dapat membantu menaikkan taraf hidup keluarganya.

Jelas wanita yang berasal dari Seremban itu, walaupun pada mulanya dia tidak tahu jalan untuk menghantar penumpang, ia tidak menjadi penghalang, malah dijadikan pengajaran bagi menambah pengetahuannya mengenai selok-belok jalan di sekitar Kuala Lumpur.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

831 views