Tampil Berbeza

NAMA Raden Sirait sudah tidak asing lagi di Indonesia. Pereka negara jiran itu dikenali menerusi rekaannya yang menampilkan gaya eksklusif dan sarat dengan idea unik.

Menempa nama selepas menghasilkan rekaan yang digayakan pemenang pertama Ratu Indonesia 2005, Lindi Cistia, ia sekali gus melonjakkan identiti jenamanya yang ditonjolkan melalui koleksi kasual, gaun koktel, gaun malam dan kebaya.

Memasuki pasaran Indonesia sejak 1995, jenama Luire berjaya menarik perhatian dunia fesyen dengan rekaan menarik mengikut trend terkini terutama bagi mereka yang ingin tampil berbeza, glamor dan sofistikated.

Tambah praktikal apabila rekaan yang diketengahkan Luire by Raden Sirait itu juga boleh dipadankan mengikut kebijaksanaan dan gaya kreatif si pemakai bersama koleksi lain untuk tampil anggun.

Sehelai koleksinya dapat digayakan dengan pelbagai cara sama ada untuk ke acara malam atau ke mana saja mengikut cara si pemakai menyuaipadankan dengan aksesori lain.

Memilih kaftan yang direka dengan potongan di bahagian depan, ia boleh dipakai bersama pakaian dalam diperbuat daripada satin halus dan dilengkapkan dengan sedikit tambahan aksesori untuk ke acara malam.

Bagi Muslimah yang mengekalkan gaya sopan, ia boleh dipakai bersama pakaian dalam berlengan panjang untuk mengubahnya menjadi seperti jubah.

Untuk wanita yang ingin bergaya glamor dan tampak kasual, kaftan boleh digayakan bersama legging, kain sarung atau pario agar penampilan bertambah ceria. Rekaan kebayanya juga boleh dipadankan bersama skirt, legging atau kain pario.

Raden yang juga berketurunan Melayu begitu mengagumi latar belakang wanita di negara ini yang hidup berbilang kaum dan sentiasa mengikuti perkembangan fesyen terkini, namun masih mengekalkan gaya sopan.

Baginya, fesyen lebih menitikberatkan keyakinan dan selagi boleh memakai pakaian yang selesa, warna menarik serta percaya pada diri, kecantikan dalaman seorang wanita akan terserlah.

Diperkenalkan di Malaysia, baru-baru ini, Raden berharap dapat memberi keceriaan dan inspirasi kepada pencinta fesyen untuk kekal bergaya walau ke mana saja.

Semua koleksi terkini Luire by Raden Sirait boleh didapati di Parkson Pavilion, KLCC dan Subang Parade.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/07

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

906 views