Tampil Rekaan Futuristik

DUNIA fesyen hari ini yang semakin maju memberikan seribu satu ilham kepada pereka untuk tampil lebih berani dengan rekaan meyakinkan. Selain barisan pereka tersohor negara, kebangkitan ramai pereka muda juga memberikan corak dan keindahan dalam industri ini.

Kreativiti memadankan rona warna, gaya serta fabrik melahirkan ciptaan menarik yang memukau mata masyarakat khususnya golongan yang mengikuti peredaran fesyen.

Itulah yang dapat disaksikan pada malam Busana Fesyen Gala ‘Runway 35′ yang membariskan 35 pereka fesyen dan model terkenal, memaparkan koleksi pakaian masing-masing sempena ulang tahun kompleks beli-belah Sungei Wang Plaza ke-35 serta Pertunjukan Fesyen Musim Luruh/Panas 2012.

Warna seperti putih, krim, merah jambu, ungu, biru firus, hijau pucuk pisang, merah magenta, jingga dan hitam memonopoli pertunjukan fesyen kali ini.

Antara pereka yang terbabit adalah Alvin Tay, Ashley Wong (Kapas), Eric Choong, Beatrice looi, Bill Keith, Hideaki Lim, Melinda Looi, Michael Ong, Nurita Harith, Key Ng, Khoon Hooi, Leslie Variante dan Zang Toi.

Pertunjukan fesyen hasil rekaan Melinda Looi misalnya, mempamerkan hasil seni guntingan serta potongan unik pada gaun petangnya yang sesuai dipakai gadis remaja yang gemarkan gaya comel dan funky.

Beliau turut menyelitkan sedikit elemen rekaan avant garde dengan gaya ringkas serta praktikal. Bagaikan melihat rekaan pada masa depan seperti yang sering dipaparkan dalam layar perak Barat, gaun petang rekaan Melinda ini cukup mengagumkan apatah lagi ditambah dengan gaya leher yang tinggi ala zaman Victoria serta kain renda menutupi wajah model.

Menggunakan fabrik mewah seperti renda dan organza, koleksi gaun petang ini kelihatan anggun walaupun pada sesetengah orang ia nampak agak pelik.

Gaun pendek hingga paras lutut ini bertambah menarik apabila ia digunting secara berlapis atau bertingkat bagi mendapatkan kesan kembang pada bahagian bawah gaun. Dua kali pandang, ia persis kelihatan seperti gaun penari balet yang terletak cantik pada tubuh tinggi lampai model.

Rekaan Leslie Variante pula menampilkan sepasang gaun malam yang memenuhi cita rasa feminin dan mereka yang gemarkan kelembutan sensual. Elok membaluti tubuh model, gaun malam rekaannya kelihatan cukup seksi apabila bahagian dada dan pinggulnya sedikit terdedah.

Setiap pergerakan dan isyarat pemakainya memberikan siluet yang pastinya akan memukau mata setiap orang yang memandang.

Siapa yang tidak kenal dengan pereka seorang ini. Nama Hideaki Lim cukup terkenal dengan konsep ilham rekaan siber dan futuristik selain sentiasa membuat kejutan dengan gaya kreatifnya.

Pada malam berkenaan, beliau hanya menggunakan material plastik dalam penghasilan jaket, celana pendek dan kasut but yang disarungkan pada tubuh sasa model. Turut tidak ketinggalan, rekaannya itu disertakan sekali dengan perincian lampu yang berkelip di hujung lengan jaket, celana dan but.

Ashley Wong daripada Kapas pula mempersembahkan rekaan ringkas dan selesa yang boleh digayakan ke semua jenis majlis atau acara. Pemakaian korset, skirt tirus dan seluar ‘legging’ sudah cukup menghasilkan impak yang besar. Padanan warna biru firus, hitam dan putih serta sedikit keemasan melengkapkan lagi gaya yang mempesona.

Sementara itu, Pengurus Kanan Bahagian Promosi dan Perhubungan Awam Sungei Wang Plaza, KK Lim, berkata Busana Fesyen Gala ‘Runway 35′ itu bertujuan mempromosikan pakaian tempatan yang direka oleh pereka fesyen Malaysia dengan harapan ia akan meningkatkan industri fesyen untuk menarik lebih banyak sokongan dan galakan.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

822 views