Tampil Warna Istimewa
Langkah kaki penuh bertenaga ditambah dengan liuk gerakan badan model yang menggayakannya, menyerlahkan lagi keanggunan setiap rekaan gaun malam.
Irama rancak didendangkan bukan hanya mengiringi model ketika menggayakan koleksi rekaan pereka muda berbakat di atas pentas peragaan saja malah alunan gaun malamnya memukau pandangan penonton.
Alunan gaun malam yang ditonjolkan dengan pelbagai potongan menarik jelas kelihatan menerusi fabrik pilihan bagi membangkitkan semangat dalam bergaya menarik.
Walaupun cahaya lampu sedikit suram dan mendebarkan setiap pereka tatkala rekaan mereka diperagakan, sorakan penonton yang hadir ketika Pertandingan Akhir Rekaan Batik dan Fesyen di Kompleks Kraf Kuala Lumpur memeriahkan lagi suasana.
Sorakan terus bergema apabila pengacara majlis mengumumkan acara peragaan bermula dan pada masa sama, tampil satu persatu rekaan gaun malam daripada 17 pereka muda yang bertemakan Pop Art dan Cubism itu.
Menariknya ada rekaan yang diolah daripada bentuk abstrak untuk menghasilkan gaun malam yang anggun, menyegarkan dunia fesyen hari ini.
Malah penggunaan rona monokrom atau menggabungkan ton warna berlainan dalam satu rekaan seperti biru lembut hingga biru gelap memberi keunikan dalam penampilan gaun labuh.
Mengambil inspirasi seni kontemporari moden, gaun labuh yang dihasilkan daripada graduan Kolej Raffles Kuala Lumpur, Norsharinna Norshaiddan ini membuatkan ramai yang terpukau.
Menurut Norsharinna, 21, dia lebih gemar menggunakan fabrik sifon dan satin agar gaun yang digayakan tampak beralun serta menonjolkan potongan menarik.
“Saya mengambil masa tiga bulan untuk menghasilkan dua rekaan gaun malam ini menggunakan warna yang jarang ditampilkan dalam rekaan batik.
“Biarpun menggunakan potongan ringkas dan rona yang lembut iaitu biru firus, saya menambah teknik lipatan atau kekalkan potongan badan untuk menghasilkan gaun yang lebih anggun.
“Gaun yang saya hasilkan dengan menggunakan kain sepanjang kira-kira 10 meter setiap satu ini sesuai digayakan oleh mereka yang menghargai rekaan ringkas,” kata pemenang tempat pertama pada pertandingan berkenaan.
Pemegang diploma lanjutan rekaan fesyen itu berjaya menewaskan 16 peserta lain dan membawa pulang hadiah berupa cek replika bernilai RM20,000 berserta plak penghargaan.
Tempat kedua dan ketiga masing-masing menerima hadiah berupa cek replika bernilai RM15,000 dan RM7,000 berserta plak penghargaan.
Setiap peserta yang tidak berjaya menerima hadiah saguhati berupa replika cek bernilai RM2,000 dan plak penghargaan yang disampaikan Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Mohd Kamil Mohd Ali.
Sementara itu, pemenang tempat kedua yang menampilkan rekaan berbeza dicetuskan menerusi gandingan tiga pelajar daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.
Langkah berani dengan mengambil tema permainan minda pada rekaan gaun malam yang dihasilkan itu tidak sia-sia apabila berjaya menarik perhatian juri.
Rekaan bertajuk The Crafters itu mengambil inspirasi daripada permainan lego yang memerlukan daya kreativiti dalam menghasilkan binaan kukuh dan menarik.
Struktur lego yang diterapkan pada rekaan batik bercorak yang disusun atur dalam pelbagai saiz dan warna berjaya menampilkan gaun malam yang anggun.
Ia menggabungkan teknik tompokan warna, panel dan hiasan berumbai untuk memberi kelainan pada rekaan. Rona terang digunakan dalam rekaan Farah Hani Shaharuddin, Hana Fatimah Mohd Zulkifli dan Amira Fatiha Abdul Hamid itu menyerlahkan lagi tema pertandingan.
Menjadikan karya tokoh seni Sepanyol, Pablo Picasso sebagai ilham menghasilkan gaun malam yang menawan, pelajar daripada UiTM, Shah Alam, Mohd Hamidi Ahmad Jamili dipilih sebagai pemenang tempat ketiga.
Berani melakukan eksperimen untuk menguji kehebatan daya kreativitinya, pereka ini lebih banyak memberi keutamaan kepada bentuk potongan badan manusia.
Karya yang dihasilkan menerusi figura manusia dipermudahkan dalam bentuk geometri sehingga terhasil dua rekaan gaun malam yang mengagumkan.
Penggunaan warna hangat serta dingin seperti ungu dan oren terang digabung bersama rona hijau lembut disesuaikan untuk memberi daya tarikan berbeza pada penampilan menarik di majlis istimewa.
Gabungan fabrik sifon dan crepe berpotongan ringkas bukan hanya mengikut gaya terkini malah turut menampilkan gaya yang lebih anggun, moden serta berani.