Tari Baris Redakan Tekanan

Gerak tari yang pantas mengikut alunan muzik menjadi pilihan kebanyakan wanita kini yang inginkan senaman dengan cara berbeza selain melegakan tekanan di tempat kerja mahupun di rumah.

Senada kerancakan muzik irama jazz, latin dan gabungan salsa membentuk tarian dikenali tarian dalam barisan atau tari baris yang jelas bukan saja menyihatkan badan, malah mampu menggembirakan hati.

Tari baris adalah gabungan tarian seperti poco-poco, latin, salsa dan beberapa lagi tarian moden seperti jazz dan hip hop.

Walaupun jika dilihat pada pandangan kasar tarian ini agak berat, tetapi sebenarnya ia tarian paling ringan dan amat sesuai untuk wanita yang mementingkan aktiviti kesihatan tubuh badan secara menyeluruh.

Tari baris dikategorikan sebagai salah satu senaman yang mampu menggerakkan seluruh anggota badan. Keistimewaannya ia ditarikan secara berkumpulan dan semua pergerakan dilakukan dalam barisan mengikut alunan muzik rancak yang dipilih.

Tidak sukar mempelajari langkah tari baris ini kerana ia memberi lebih tumpuan kepada pergerakan atau meliuk lentok badan. Malah, setiap gerak tari memberi kebebasan untuk tubuh badan bergerak dan mengeluarkan peluh.

Tari baris di koordinasi melalui empat penjuru di mana ia ditarik mengikut pergerakan rutin tanpa menyentuh pasangan.

Ada di antara jenis tarian ini yang ditarikan menghadap satu sama lain, dalam bulatan atau barisan yang terdiri daripada beberapa penari.

Setiap langkah atau gabungan tarian ini juga boleh dipelajari atau diikuti dengan mudah hanya melalui Internet dengan melayari laman YouTube atau mengikuti teknik yang diajar di dalam video.

Menurut Jurulatih Kecergasan NRG Fitness di Seksyen 7, Shah Alam, Mazlon Naim, tari baris adalah antara cabang senaman bagi meredakan tekanan badan dan emosi.

Katanya, senaman melalui tarian ini juga mampu mengaktifkan sel otak kiri dan kanan yang dapat membantu seseorang itu berfikir dan bertindak dengan pantas.

“Ia juga membantu mengurangkan risiko nyanyuk yang sering dialami wanita berusia, selain dapat meningkatkan kesihatan dengan cara yang menyeronokkan. Malah, tidak keterlaluan jika ia dianggap sebagai senaman minda kerana sel otak menjadi aktif dengan pergerakan rancak,” ujarnya.

Senaman ini juga sesuai bagi pelbagai lapisan usia kerana ia bukanlah menggunakan peralatan berat atau membabitkan langkah yang susah untuk diingat.

“Saya pasti setiap individu yang mengikuti kelas tari baris ini terhibur dan menjadi lebih aktif dalam menjalani kehidupan seharian mereka.

“Jangan bimbang kerana senaman ini boleh dilakukan di mana saja dan hanya memerlukan muzik sebelum langkah ringkas diatur. Panduan melalui YouTube juga boleh membantu untuk anda melakukan tari baris ini di rumah bersama ahli keluarga,” katanya.

Menurut Mazlon, dia menggabungkan pelbagai jenis tarian antaranya Bollywood, caca, K-pop dan tango bagi mencari kelainan dan kepelbagaian dalam mendapatkan pergerakan yang menarik.

Jika mahu mencuba, bolehlah ikuti pergerakan yang ditunjukkan Mazlon supaya anda boleh menari bersama-sama orang tersayang, rakan atau jiran dalam suasana menyeronokkan.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

1,560 views