Tarikan Rona Terang

RAMAI yang beranggapan mengenakan solekan mata menggunakan pembayang dan maskara rona terang membuatkan wajah mereka menjadi seperti badut lalu menjadi bahan jenaka rakan.

Walhal, jika kena pada cara dan teknik meriasnya, pembayang mata serta maskara rona terang mampu menyerlahkan bahagian mata dan menyebabkan yang lain tidak henti memandang.

Menurut jurusolek antarabangsa Collistar, Patrick Havegheer, gabungan rona berkenaan boleh menyemarakkan suasana riang terutama ketika musim panas misalnya dikenakan ketika pergi bercuti.

“Mainan warna seperti hijau, kuning, biru, jingga dan ungu amat sesuai dijadikan pilihan kerana ia menggambarkan suasana ceria, riang serta kegembiraan di sekitar kita.

“Saya yakin, golongan wanita dan remaja perempuan sekarang mementingkan penampilan diri dan juga fesyen. Justeru, penampilan sedia ada boleh dipertingkatkan dengan solekan menarik menggunakan pembayang mata dan maskara rona terang.

“Namun, ia harus dilakukan dengan betul supaya kombinasi warna yang dipilih tidak pelik hingga mengakibatkan kesan comot, seterusnya mencacatkan keseluruhan penampilan,” katanya.

Havegheer menyarankan, wanita dan remaja perempuan tidak perlu berasa ragu-ragu untuk membeli dan menata rias kelopak mata dengan dua ‘senjata’ berkenaan kerana ia akan membuatkan wajah lebih kelihatan segar dan bergaya.

Bayangkan sambil memakai pakaian santai seperti gaun labuh berwarna-warni, cermin mata hitam bersaiz besar, topi, selipar atau kasut baji di bawah terik panas mentari, anda pasti kelihatan lebih bersinar daripada kebiasaan lantas mencuri perhatian khalayak ramai.

Namun dia menasihati supaya jangan lakukan solekan berkenaan terlalu tebal kerana ia lebih cantik dan manis jika dikenakan pada wajah secara sederhana agar tampak lebih kasual.

Solekan dengan mainan rona pembayang mata dan maskara berwarna terang bukan bermakna harus dilakukan dengan tebal seperti menghadiri majlis keraian mahupun pesta, tetapi sekadar menutup cela wajah menerusi teknik ringan.

Berkongsi kemahirannya sebagai jurusolek profesional, Havegheer yang menggunakan alat solek daripada jenama Collistar menerusi koleksi musim panasnya, Capri, sudi menunjukkan teknik solekan jenis ini dengan cara paling mudah.

Lebih menekankan solekan pada bahagian mata, dia memilih pembayang mata Silk Effect berwarna satin biru firus yang mampu menceriakan wajah. Ia juga hadir dalam warna satin gading dan satin kelabu kegelapan yang semua warna ini sesuai digunakan tanpa mengira warna kulit.

“Kemudian, maskara Infinito High Precision Collistar rona biru digunakan manakala celak Professional Eye Liner terdiri daripada warna hijau berkilat pula dipilih bagi menyerlahkan lagi warna mata.

“Gincu warna semula jadi Toploss Stick Collistar pula dioles pada bibir dan akhiri solekan dengan sapuan Smoothing Filler Make Up Base yang seakan-akan salap berwarna merah jambu muda.

“Ia membantu untuk mengurangkan kesan garis halus dan pori agar sapuan bedak asas dan bedak padat lebih halus serta rata sambil bertindak meresap lebihan minyak pada kulit,” jelasnya.

Untuk menaikkan ton warna kulit atau melakukan teknik bayangan bagi mengecilkan struktur wajah agar kelihatan lebih tirus, Silk Effect Bronzing Powder boleh dicuba.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/04

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

1,772 views