Tekad Hidup Tanpa Rokok

Macam-macam usaha sudah dilakukan untuk mengurangkan jumlah perokok di negara kita termasuk meletakkan gambar yang mengerikan di kotak rokok, namun masih tidak dapat memberi kesan kerana bagi perokok ia hanyalah gambar hiasan.

Bukan tidak sedar bahawa gambar yang dipamerkan itu adalah satu hakikat dan mungkin sama keadaannya dengan organ dalam badan mereka, tetapi ia tetap tidak dapat menandingi tarikan tembakau dan asap rokok yang mengandungi beribu-ribu bahan kimia berbahaya itu.

Memang, ketagihan merokok ini amat sukar untuk ditangani. Hakikat ini diakui sendiri perokok, bekas penagih dan pakar perubatan yang menyifatkan usaha menangani ketagihan merokok lebih sukar daripada berhenti menagih dadah.

Justeru tidak hairanlah jika peratusan orang yang sudah berhenti tetapi kembali merokok itu amat tinggi. Sebenarnya dalam kalangan perokok, ramai yang menyimpan hasrat untuk berhenti. Atas sebab itu, bermacam usaha dilakukan termasuk mengunyah gula-gula getah, menggunakan kaedah terapi penggantian nikotin serta rokok elektrik (bagi mengatasi ketagihan tabiat).

Mereka sedar, antara garis panduan umum untuk mengelakkan penyakit atau mengekalkan kesihatan yang diberikan mana-mana doktor ialah berhenti merokok. Ini kerana merokok boleh menjadi agen perangsang kepada pelbagai masalah kesihatan dan penyakit kronik.

Bersempena sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia pada 31 Mei ini, tanamkan tekad untuk membebaskan diri anda daripada belenggu rokok. Untuk berhenti merokok bukan mudah, anda memang amat memerlukan sokongan terutama daripada keluarga, sahabat baik, rakan sekerja dan doktor.

Setiap hari anda berhadapan dengan cabaran besar yang boleh merangsang keinginan merokok dan keadaan ini dipanggil perangsang atau pencetus. Anda mungkin terdorong untuk merokok jika:

Cuba kenali perkara yang boleh merangsang anda kembali kepada rokok. Cuba lakukan beberapa langkah di bawah untuk membantu anda berada di landasan yang betul iaitu hidup tanpa rokok.

Senaraikan semua faktor yang boleh merangsang keinginan untuk merokok dan tulis pelan bagaimana anda dapat mengelakkan atau menanganinya.

Sentiasa fokus dan tanamkan tekad yang kuat untuk bebas daripada rokok. Jangan cuba capai sasaran lain ketika anda dalam usaha berhenti merokok. Ia akan mengganggu tumpuan.

Beri ganjaran kepada diri sendiri atas kejayaan setiap langkah meskipun ia usaha yang kecil. Ganjaran ini mungkin boleh diberikan atas kejayaan anda tidak merokok dalam satu hari atau satu minggu.

Selalu dapatkan sokongan daripada orang terdekat. Selain keluarga, kawan-kawan dan doktor, anda juga boleh mendapatkan bantuan daripada kumpulan sokongan yang biasanya terdiri daripada bekas perokok dan ahli keluarga mereka. Mungkin ada kaedah mereka yang anda boleh tiru.

Apabila terfikir pasal rokok, segera alihkan perhatian anda kepada perkara lain.

Jadilah individu yang kreatif, supaya masa anda tidak terluang dan banyak memikirkan soal rokok.

Jangan cuba-cuba merokok semula walaupun satu sedutan. Ini kerana daripada satu sedutan boleh menjadi satu batang dan akhirnya membatalkan semua usaha sebelum ini.

Selain itu, ada banyak sebab anda perlu berhenti merokok. Bulan Rejab ini masa terbaik untuk melatih diri berpuasa sunat dan pada masa sama mengurangkan kekerapan merokok. Semoga pada Ramadan nanti anda benar-benar dapat meninggalkan tabiat merokok dan bukannya berbuka dengan sebatang rokok.

Manfaat daripada berhenti merokok ini tidak terhad kepada diri anda seorang, bahkan kesan positifnya turut dirasai seisi keluarga secara tidak langsung. Di bawah disenaraikan beberapa fakta yang diharap dapat mengukuhkan semangat untuk anda berhenti merokok.

Alzheimer – Merokok menyebabkan fungsi otak merosot lima kali lebih cepat terutama bagi perokok berumur. Berdasarkan kajian ke atas 9,200 perokok lelaki dan wanita berumur 65 tahun ke atas yang disiarkan dalam jurnal Neurologi, didapati fungsi otak perokok merosot lebih cepat walaupun mereka tidak mempunyai sejarah keluarga mengalami masalah dementia (nyanyuk).

Bagaimana ini boleh berlaku? Merokok memberi kesan kerosakan berpanjangan terhadap salur darah, menyebabkan darah boleh membeku yang meningkatkan risiko serangan strok dan kemerosotan daya ingatan.

COPD dan kanser paru-paru – Satu-satunya punca kepada dua penyakit kronik ini ialah rokok. Risiko penyakit ini boleh dikurangkan dengan berhenti merokok seawal mungkin. Perokok tegar yang merokok sejak muda akan mengalami kerosakan paru-paru yang lebih teruk dan sedihnya kerosakan ini tidak boleh dipulihkan. Ada banyak kes pesakit terpaksa bergantung kepada bekalan gas oksigen untuk bernafas yang perlu dibayar dengan harga mahal sedangkan kita sememangnya dikelilingi oksigen percuma!

Kanser mulut – Banyak kajian menunjukkan antara punca utama kanser mulut ialah merokok selain tabiat makan sirih. Risiko kanser mulut akan hilang jika anda berhenti merokok dan semua masalah lain seperti ulser juga akan sembuh.

Lupus – Sistemik Lupus Eritematosus atau lupus adalah penyakit auto imun di mana sistem imun tersilap tafsir dan menganggap badan sendiri sebagai bahan asing yang perlu dihapuskan. Ini adalah penyakit auto imun yang kronik dan boleh mengakibatkan keradangan, kesakitan dan kerosakan tisu badan.

Penyelidik Universiti Harvard mendapati perokok mempunyai risiko yang agak tinggi untuk mendapat lupus. Ini bukanlah penemuan yang menghairankan kerana asap rokok mengandungi lebih 4,000 jenis racun yang boleh menukar mana-mana fungsi badan termasuk sistem imun. Bagaimanapun risiko ini boleh dihilangkan dengan berhenti merokok.

Sindrom bayi mati mengejut (SIDS) – Kajian yang dijalankan penyelidik Eropah ke atas 2,400 bayi mendapati daripada 745 kes SIDS, kurang daripada separuh (50 peratus) kematian disebabkan bayi tidur meniarap atau mengiring. Hampir 16 peratus kematian dikaitkan tidur bersama ibu terutama yang merokok dan risikonya dikatakan 17 kali ganda lebih tinggi.

Risiko mati pucuk – Pasti ada perokok yang mendakwa walaupun kuat merokok, mereka tetap ramai anak. Itu bagi perokok yang bertuah dan anda perlu bersyukur dikurniakan cahaya mata. Kurniaan itu seharusnya dipelihara sebaiknya dengan tidak mendedahkan anak-anak anda kepada racun asap rokok.

Prestasi di bilik tidur memang penting bagi lelaki dan untuk mengekalkannya, anda perlu berhenti merokok. Soal selidik ke atas hampir 5,000 lelaki di China mendapati mereka yang merokok lebih sekotak sehari mempunyai kecenderungan sebanyak 60 peratus mengalami masalah mati pucuk berbanding bukan perokok.

Mati pucuk bukan sekadar masalah di bilik tidur saja. Ia sebenarnya menjadi petanda paling penting kepada pelbagai masalah kesihatan lain dan merokok akan menyebabkan tahap kesihatan anda bertambah buruk.

Hilang penglihatan – terutama perokok berumur. Perokok mempunyai risiko empat kali lebih tinggi untuk menjadi buta disebabkan kemerosotan makular akibat penuaan. Lebih 25 peratus kes kemerosotan makular yang boleh membawa kepada kebutaan berkaitan dengan tabiat merokok. Berhenti merokok boleh merendahkan risiko ini dan memanjangkan hayat penglihatan anda.

Artritis reumatoid – Individu yang mempunyai genetik lemah akan lebih mudah mendapat artritis reumatoid jika mereka merokok. Kajian penyelidik Sweden mendapati risikonya ialah 16 kali lebih tinggi berbanding individu tidak merokok.

Berdengkur – Masalah yang memalukan ini biasanya lebih buruk dalam kalangan perokok. Bahkan pasangan anda yang tidak merokok juga akan mendapat kesannya. Lebih 24 peratus perokok tidur berdengkur berbanding 20 peratus kumpulan yang sudah berhenti merokok dan hanya 14 peratus bagi golongan tidak pernah merokok.

Perokok sekunder (orang yang tidak merokok tetapi terdedah kepada asap rokok) juga mendapat tempiasnya. Kajian mendapati 20 peratus individu yang menghidu asap rokok di rumah berdengkur.

Kanser payudara – Wanita yang mula merokok sebelum berumur 20 tahun atau sekurang-kurangnya lima tahun sebelum mereka hamil dan merokok bagi tempoh yang lama mempunyai risiko yang jauh lebih tinggi untuk mendapat kanser payudara.

Kadar kelaziman kanser payudara dalam kalangan perokok dan perokok sekunder ialah 30 peratus dan ini adalah jumlah yang membimbangkan kerana jumlah perokok wanita kian bertambah setiap tahun. Kanser payudara pula antara penyakit yang belum ada cara untuk mencegahnya.

Memang kebanyakan pesakit kanser payudara di negara kita tidak merokok, tetapi pernahkah anda terfikir mungkin asap daripada rokok anda yang menjadi antara faktor pembantu kepada penyakit mereka? Jadi sempena Hari Tanpa Tembakau Sedunia ini marilah kita sama-sama bekerja sama menjaga kesihatan diri sendiri dan semua orang di sekeliling kita dengan menyediakan persekitaran bebas asap rokok.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

1,139 views