Tekad Terus Lakukan Pelbagai Kajian

Bukan mudah untuk berjaya, namun usaha berterusan tanpa putus asa membuatkan wanita gigih ini tampil sebagai saintis wanita seterusnya meraih anugerah berprestij dalam bidang penyelidikan.

Untuk mencapai kejayaan itu, beliau banyak menghabiskan masa mudanya di makmal untuk menjalankan pelbagai kajian bidang bioteknologi dan makanan.

Mengetahui kepentingan bidang terbabit bukan saja untuk dirinya, malah masyarakat, Timbalan Pengarah Program BioPemprosesan dan Pegawai Penyelidik Prinsipal Kanan MARDI, Dr Kamariah Long, 54, tanpa jemu melaksanakan kajian demi kajian sejak 29 tahun lalu.

Malah beliau akui, bukan mudah untuk berada di tahap sekarang kerana perlu mengorbankan banyak masa di makmal. Pengorbanannya itu ternyata berbaloi apabila produk kajiannya memperoleh hak cipta (IP) di dalam dan luar negara.

Malah, beliau diberi kepercayaan oleh pelbagai pihak untuk mengetuai 14 projek penting termasuk penyelidikan prapengkomersialan dan pembangunan MARDI.

Prinsipnya amat mudah kerana selepas memperoleh satu-satu projek, beliau berusaha melakukannya bersungguh-sungguh sehingga berjaya.

“Saya pula seorang yang obses dengan kerja manakala kerja itu pula saya laksanakan dengan berhati-hati dan bersungguh-sungguh kerana mahu hasil yang baik.

“Malah, sekiranya saya tidak dapat menyiapkan sesuatu projek itu dengan segera, saya pula asyik teringat dan sukar hendak makan.

“Sikap yang terlalu suka dengan kerja ini juga menyebabkan saya berfikir 24 jam sehari walaupun berada di rumah bersama keluarga,” kata ibu empat cahaya mata ini.

Pada masa sama, beliau turut diberi kepercayaan menjalankan tujuh projek lain di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan syarikat swasta.

Mendapat pendidikan di dalam dan luar negara, beliau juga akui tidak pernah jemu dengan kerja sebagai saintis apatah lagi bidang itu sudah menjadi minatnya sejak kecil.

Minatnya terhadap bidang sains bercambah ketika berada di sekolah rendah, malah ketika itu beliau sudah menyimpan impian menjadi saintis wanita apabila dewasa.

“Saya bersyukur kerana impian ini tercapai dan bertekad akan terus melakukan pelbagai kajian untuk faedah masyarakat negara ini dan negara luar.

“Walaupun tidak pernah terfikir akan meraih pelbagai pengiktirafan, ia sememangnya satu anugerah untuk menghargai segala usaha yang dicurahkan selama ini,” katanya.

Pelbagai anugerah itu juga antara kenangan terindah dalam hidupnya misalnya pengiktirafan IP di Malaysia, Jepun dan Indonesia dalam projek minyak kelapa dara yang mempunyai nilai tambah.

Tahun lalu, beliau turut dianugerahkan sebagai pakar saintis terhebat oleh Akademi Sains Malaysia.

Walaupun sudah banyak kajian yang dilakukannya, beliau tidak pernah jemu apabila kini gigih menjalankan kajian tempe kacang hijau dan yogurt.

“Hasil perbincangan dengan kakitangan, saya menjalankan kajian di makmal yang kadangkala memakan masa yang agak lama.

“Saya tidak pernah bosan melakukan kajian kerana ia dunia sebenar saya sejak dulu dan mahu lebih ramai anak muda menceburi bidang ini,” katanya yang mendapat doktor falsafah daripada Universiti Westminster London, United Kingdom pada 1997.

Ketika melanjutkan pelajaran di London, beliau terpaksa meninggalkan suami, Mohd Ishak Adni, 57, dan empat anak yang masih kecil selama setahun
demi mencapai impian berkenaan.

Apapun beliau bersyukur kerana suami amat memahami dengan kesibukannya di makmal hingga kadang-kadang kekurangan masa bersama anak-anak.

“Sokongan dan kesabaran suami membantu saya menjaga empat anak yang ketika itu masih kecil memberi sumber kekuatan kepada diri untuk melakukan kajian dan pembangunan di makmal.

“Suatu ketika dulu masa saya amat terhad bersama keluarga dan sering menghabiskan masa menyambung pelajaran dan di makmal, namun ia berbaloi kerana usaha itu memberi hasil lumayan kepada diri dan masyarakat.

“Suami orang penting yang banyak memberi sokongan dari segi mental, fizikal dan tenaga sehingga empat anak kami berjaya,” katanya.

Beliau juga bersyukur dengan kejayaan anaknya apabila anak pertama, Farah Nawa, 29, kini bergelar jurutera, anak kedua pula graduan animasi, anak ketiga belajar dalam bidang farmasi dan anak bongsu belajar di Amerika Syarikat.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

378 views