Tembusi Pasaran Hong Kong

Perniagaan bengkung yang dibinanya sejak 19 tahun lalu pernah menjadi ejekan ahli keluarga dan rakan-rakan apabila mereka berpendapat ia hanya satu angan-angan kosong.

Namun, ejekan itu menjadi semangat pada dirinya untuk memperbaiki keadaan keluarga yang hidup dalam kesusahan.

Pemilik syarikat Yuslaily Yunos Inspire, Yuslaily Yunos, 36, berkata, hasil usaha gigihnya bersama suami tercinta, Muhammad Hairul Afiq Abdullah, 36, membuahkan hasil apabila berjaya mengeluarkan bengkung untuk syarikat besar.

Wanita berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia Vokasional dari Sekolah Menengah Vokasional Kajang, Selangor (jurusan penyejukan dan penyaman udara) itu pada asalnya tidak mempunyai asas perniagaan.

Sebaik tamat pengajian, arwah ibu menyuruhnya mencari pekerjaan di kilang di kawasan Beranang, Selangor kerana berdekatan dengan rumah, tetapi menolak cadangan itu kerana mahu bekerja sendiri.

“Saya mula menyuarakan hasrat untuk membina perniagaan sendiri, tetapi ramai memberi reaksi negatif kerana ketiadaan modal dan tidak mempunyai pengalaman berniaga.

“Namun, saya tetap berkeras apabila mencadangkan mahu membina sebuah kilang membuat kain bengkung untuk dipasarkan di kawasan sekitar.

“Pada awalnya, cadangan itu menjadi bahan ejekan kerana mereka berpendapat produk itu tidak mampu pergi lebih jauh dan tidak dapat memberi pulangan lumayan,” katanya.

Apapun, dia tidak mengalah, malah segalanya memberi semangat untuk wanita ini menghasilkan produk sendiri.

Dalam beberapa tahun, dia dan suami terpaksa melalui kehidupan yang amat getir dan susah kerana tiada pelanggan selain tidak mempunyai kemahiran menjahit.
Dia memulakan perniagaan dari rumah ke rumah untuk memperkenalkan bengkung buatannya yang menggunakan kain belacu sejuk.

Pada awal perniagaan, dia bersama suami terpaksa berulang-alik dari Ampang, Bangi, Nilai serta Beranang untuk bertemu tukang potong dan jahit kain bengkung sebelum dihantar kepada pelanggan.

Setiap hari dia terpaksa melalui perjalanan lebih 100 kilometer untuk menghantar kain kosong bagi dijadikan bengkung.

Walaupun mengharungi kesusahan, dia tidak pernah putus asa apabila terus berusaha berganding bahu dengan suami tercinta untuk menjadikan impiannya satu realiti.

“Saya jadikan cabaran dan dugaan yang dilalui itu sebagai satu pengalaman berguna untuk terus maju dalam perniagaan walaupun ia agak perit untuk dilalui,” katanya.

Kekangan kewangan dan kurang sambutan pada ketika itu menjadi cabaran paling besar apabila terpaksa mempromosikan dari rumah ke rumah.

Dia membuang perasaan malu dan menebalkan muka memperkenalkan bengkung kepada wanita lepas bersalin.

Kemahiran berkomunikasi yang ada pada dirinya itu dijadikan sebagai alat penting untuk membuat promosi.

“Ke mana saja pergi, saya tidak akan lupa membuat promosi kain bengkung kerana percaya apabila pelanggan melihat keyakinan yang ada pada diri, mereka tidak teragak-agak untuk mendapatkan produk kita.

“Dari situ, saya mendapat pelanggan yang lebih ramai dan akhirnya berkembang bukan saja dalam negara, malah luar negara,” katanya.

Kesibukan harian menghantar kain ke rumah tukang jahit di Nilai dan Beranang ketika itu juga membuatkan dia kekurangan masa bersama tiga anak yang masih kecil, Qurratu’ Aini, 15, Qurratu’ Aina, 13, dan Qurratu Aqilah, 8.

“Saya bersyukur apabila ibu mentua mengambil berat dan mengambil alih menjaga ketiga-tiga anak saya hinggalah perniagaan makin berkembang.

Selepas berusaha keras selama beberapa tahun, dia bersyukur apabila bukan saja individu yang membeli bengkung buatannya, malah banyak pemilik produk kecantikan mula mengenalinya dan menempah bengkung daripada syarikatnya.

Pada 2008, dia mula mendaftarkan perniagaan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan membuka kilang sendiri secara kecil-kecilan.

“Ketika itu, saya hanya mempunyai sebuah mesin jahit dan dengan mesin itulah saya membuat bengkung dan kini bersyukur kerana perniagaan makin berkembang.

“Selepas 19 tahun melalui pahit manis dalam perjalanan perniagaan, saya mampu tersenyum apabila mempunyai sebuah kilang di Ampang yang mampu mengeluarkan kira-kira 8,000 kain bengkung sebulan,” katanya yang mempunyai beberapa pekerja berkemahiran di kilangnya.

Ternyata, tiada erti putus asa dalam kamus hidupnya kerana perkara itu akan menjatuhkan perniagaan yang dibina. Walaupun perniagaan mempunyai pasang surut, ia dijadikan satu suntikan semangat untuk terus maju.

Dia pernah berasa teraniaya kerana usahanya membantu orang di sekitar tidak dihargai dan adakalanya ditipu, tetapi perkara itu dianggap sebagai inspirasi untuk mara ke depan.

“Saya tidak fikir dugaan yang datang sebagai satu masalah kerana ia akan menjatuhkan semangat kita sebaliknya, jadikan dugaan sebagai semangat supaya hati lebih kental,” katanya.

Walaupun ramai berpendapat kain bengkung hanya dipakai oleh wanita lepas bersalin, tanggapan itu sebenarnya salah kerana bengkung boleh dipakai wanita atau lelaki.

“Lelaki yang mempunyai masalah perut buncit juga boleh memakai bengkung untuk mengembalikan bentuk badan asal mereka,” katanya.

Kelebihan bengkung buatannya adalah membantu untuk mengembalikan kecantikan dan keyakinan diri wanita lepas bersalin apabila boleh mengempiskan perut yang buncit dan membentuk kontur pinggul supaya lebih cantik.

Kini, dia mampu tersenyum apabila Qurratu’ Bengkung berjaya dipasarkan ke luar negara iaitu Hong Kong dan London oleh kenalannya serta mendapat sambutan menggalakkan.

Dia juga membuka peluang perniagaan kepada semua untuk terbabit dalam perniagaan bengkung mengikut kesesuaian kewangan masing-masing.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

518 views