Tempahan Kek Mencurah-curah

Mula menghasilkan kek perkahwinan sejak berusia 13 tahun ketika membantu ibu mengambil tempahan kek dari rakan taulan, secara tidak langsung memupuk minat Siti Zaleha Mohammad Joha, 38 tahun, dalam bidang kulinari.

Malah, minat menghasilkan kek terus bercambah dalam dirinya sehingga dia mengambil keputusan berhenti kerja sebagai pereka grafik dan menumpukan sepenuh perhatian untuk membangunkan perniagaan kek dan katering, I Can Bake Magic.

Lebih menarik, nama perniagaan juga diambil daripada contengan ibunya pada salah satu buku masakan ketika di sekolah menengah dulu dan hampir setiap hari membantu ibu menyiapkan tempahan.

Menurut Siti Zaleha atau lebih dikenali sebagai Sid, selama 25 tahun terbabit dalam dunia masakan secara tidak langsung membuatkan bidang berkenaan sebati dengan jiwanya sehingga dia tidak menoleh ke belakang lagi selepas 10 tahun bekerja makan gaji.

Katanya, dia mula serius mengambil tempahan pada 2008 iaitu sebaik melangsungkan perkahwinan. Bahkan dia tidak sangka percubaan pertama meletakkan gambar di laman web mengundang tempahan yang mencurah-curah sehingga hari ini.

“Biarpun sudah beroperasi sejak enam tahun lalu, saya masih menjadikan rumah sebagai bakeri kerana sukakan konsep pelanggan datang ke rumah. Bagi saya ia lebih mesra apatah lagi saya suka menjamu pelanggan dan berbual-bual dengan mereka sementara kita melakukan urusan tempahan atau pengambilan kek.

“Setakat ini saya sudah menghasilkan beratus-ratus rekaan kek kerana saya berpendapat setiap pelanggan berhak mendapat rekaan kek yang tersendiri biarpun mungkin mereka mahukan watak kartun Ben 10 untuk anak, saya akan pastikan setiap kek dengan tema Ben 10 akan berbeza antara satu sama lain,” katanya.

Sid yang gemar menghasilkan kek berbentuk tiga dimensi mengakui dia sememangnya seorang yang mahukan cabaran dalam menghasilkan reka bentuk berbeza. Dia gembira dan lebih bersemangat apabila rekaan itu menjadi dan mendapat maklum balas yang baik daripada pelanggan.

Ketika kecil, minatnya untuk menghasilkan kek yang cantik dan menarik mula dipupuk apabila ibunya kerap memberinya galakan dalam menghias setiap kek yang sudah dibakar.

Hanya menggunakan laman Facebook, Instagram dan web sebagai pelantar untuk mengambil tempahan daripada pelanggan, Sid berpuas hati apabila setiap bulan dia menerima sekurang-kurangnya 20 tempahan.

“Ada pelanggan yang membuat tempahan awal biarpun hari istimewa mereka hanya pada hujung tahun dan ia sedikit sebanyak memberi semangat kepada saya untuk menghasilkan yang terbaik untuk setiap pelanggan.

“Malah, saya juga bercadang mengadakan kelas inovasi kek bagi berkongsi ilmu dan memberi peluang kepada siapa saja mempelajari cara membuat kek yang sedap dan cantik dengan menggunakan bahan biasa,” katanya yang turut memaparkan kek dihasilkannya di laman Facebook Sid Haleza dan I Can Bake Magic di Instagram.

Mendapat sokongan padu suami tercinta, Asmuni Otar, 42, Sid berkata, dia bertuah kerana mempunyai ramai pelanggan tetap yang tidak jemu memberi sokongan dan menaruh kepercayaan kepadanya.

Setiap kek yang dihasilkan bukan setakat hasil perbincangan dengan pelanggan, malah Sid akan menyuntik sentuhan tersendiri bagi ‘menghidupkan’ persembahan kek seperti penggunaan mainan bergerak atau hiasan yang berbeza daripada pembuat kek yang lain.

Katanya, hampir setiap bulan dia sanggup terbang ke negara jiran semata-mata untuk membeli hiasan kek terkini dan menawarkan lebih banyak pilihan demi memuaskan hati pelanggan.

Biarkan kadang-kala ada rakan yang mengatakan ia tidak perlu atau tidak penting, namun keinginan menggembirakan pelanggan dengan sentuhan unik tersendiri membuatkan dia terus mencari idea terbaru.

“Saya akan menghias kek sebaik mungkin dengan menggunakan kreativiti serta pemerhatian sekeliling sehingga ada pelanggan yang memaklumkan anaknya menangis tidak mahu memotong kek berbentuk watak kartun kegemarannya.

“Bukan mudah menghasilkan rekaan yang hidup dan mampu membuatkan pelanggan tertarik sehingga setiap kali mendapat tempahan saya pasti akan membuat lakaran serta mencari contoh di Internet,” katanya.

Lebih membanggakan, anaknya, Mohd Asri Mikhael Asmuni, 6, turut menunjukkan minat di dapur biarpun masih kecil. Setiap kali Sid ke dapur menyiapkan tempahan, Mohd Asri akan turut sama mencanai tepung menggunakan alat penggelek mini.

Mengharapkan anak mengikut jejaknya, Sid berharap supaya perniagaan yang mula diusahakan itu dapat diwarisi anak cucu, memandangkan bidang masakan mampu memberikan pendapatan lumayan kepada mereka yang rajin.

Baginya, biar apapun cara mencari rezeki, ia perlu diiringi dengan keikhlasan supaya dapat memberikan hasil terbaik kepada pelanggan, sekali gus menjana pendapatan berterusan.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

1,480 views