Tempahan Mencecah 10,000 Keping Sebulan

Niat yang pada mulanya hanya ingin mengurangkan beban kewangan selepas kelahiran anak kedua Nurin Alisha dengan membeli lampin kain dari luar negara, membawa kepada perniagaan lampin dan tuala wanita organik pada 2009.

Ujar pengusaha Snowdrop, Hanisah Mohd Noor, 24, ketika melangsungkan perkahwinan dia baru berusia 17 tahun dan masih belajar dalam tingkatan lima.

Memperoleh cahaya mata pertama selepas setahun mendirikan rumah tangga sesungguhnya rahmat yang tidak terhingga bagi Hanisah biarpun ketika itu dia masih belajar manakala suami tidak mempunyai pekerjaan yang kukuh.

“Memang sangat terasa waktu itu terutama perlu menyediakan wang yang banyak setiap bulan untuk membeli lampin pakai buang. Namun, saya tiada pilihan melainkan terpaksa membelinya juga,” ujarnya yang menetap di Ipoh, Perak.

Oleh kerana tidak sanggup mengeluarkan kos yang tinggi untuk lampin anak sedangkan akhirnya ia dibuang begitu saja, Hanisah melayari Internet dan menemui lampin kain yang dijual di luar negara. Dia mula memesan lampin kain dari Amerika Syarikat. Walaupun kualitinya agak bagus, kos penghantaran yang agak tinggi menyebabkan dia mula mencari lampin kain tempatan yang lebih murah dan berkualiti.

“Disebabkan ketika itu tidak ramai pengusaha lampin organik jadi saya mendapatkan mana-mana lampin yang dijual menerusi dalam talian. Masalah lain pula timbul apabila selepas penggunaannya untuk anak kedua, timbul ruam pada bahagian punggung,” katanya yang turut menggunakan tuala wanita kain sekadar ingin mencuba.

Oleh kerana keinginan begitu kuat untuk terus menggunakan lampin dan tuala wanita organik, Hanisah cuba menghasilkan sendiri dengan mengambil contoh beberapa tuala wanita kain yang dijual di pasaran.

“Dari situ saya cuba mencari fabrik sesuai dengan mengutamakan keselesaan, paling penting tidak mendatangkan masalah pada kulit. Daripada tidak tahu menjahit, sedikit demi sedikit saya mulai mahir sehingga mampu menghasilkan rekaan yang menarik dan disukai ramai,” katanya.

Bagi mendapatkan tuala wanita berkualiti, untuk setiap rekaan dia menjadi pengguna pertama. Dari situ Hanisah membuat beberapa pengubahsuaian sehingga benar-benar memperoleh tuala wanita yang tiada cacat celanya.

Untuk setiap rekaan, menjadi perkara biasa sekiranya dia perlu membuat perubahan dua atau tiga kali terutama dari segi bentuk dan ukuran yang tepat. Dia juga bukan saja menghasilkan beberapa ukuran bersesuaian dengan keperluan wanita, malah menggunakan fabrik kapas terbaik dari Amerika Syarikat menggabungkannya dengan minky iaitu fabrik berbulu dan sangat lembut.

Untuk lampin kain pula, Hanisah menjadikan anaknya sebagai bahan kajian bagi menguji keberkesanan terutama daripada segi kesihatan dan tiada masalah ruam dan radang.

Bermula hanya untuk penggunaan sendiri lama-kelamaan Hanisah merasakan mengapa tidak sekiranya kebaikan penggunaan tuala wanita organik dapat dihebahkan kepada orang lain. Dengan niat ingin berkongsi dengan semua wanita, Hanisah memaparkannya menerusi blog peribadi menggunakan nama Baby of Rina sebelum ditukar kepada Snowdrop. Tidak sangka sambutan diterima sangat menggalakkan daripada pembelian menerusi orang perseorangan sehinggakan ramai ingin membeli secara borong.

“Mungkin kerana tuala wanita yang saya hasilkan selesa dipakai, tidak bocor dan tidak mendatangkan kesan sampingan menyebabkan ramai pelanggan ingin menjual secara borong. Kebanyakan mereka mengambil dalam jumlah yang banyak sehingga mencecah 100 keping pada satu masa. Memikirkan rezeki ini jarang diperoleh, setiap tempahan saya terima dengan hati terbuka biarpun tahu saya terpaksa berdepan kesukaran kerana perlu menjahit seorang diri,” katanya.

Semangat siapkan tempahan

Kekuatan yang ada dalam diri ditambah semangat yang tidak berbelah-bahagi, Hanisah terus menyiapkan tempahan pelanggan biarpun terpaksa bersengkang mata pada waktu malam. Ada ketika dia langsung tidak tidur malam dan hanya mampu melelapkan mata satu atau dua jam saja sehari walaupun ketika itu sedang sarat mengandung anak kedua. Akibatnya dia tidak sedar air ketuban mulai kering sehingga terpaksa melahirkan anak pada minggu ke-36.

Memikirkan cabaran yang terpaksa dihadapi dengan tempahan yang tidak pernah putus, Hanisah terpaksa menjahit pada hari kedua selepas melahirkan anak semata-mana mahu memenuhi permintaan pelanggan. Dia merasakan keupayaannya semakin kurang sehingga bertekad mengambil tukang jahit bagi meringankan bebanan harian.

“Ketika itu agak sukar mencari tukang jahit berpengalaman lalu saya iklankan menerusi laman Mudah.com dengan harapan lebih cepat mendapat pekerja. Memang sambutan diterima sangat menggalakkan, namun kebanyakan tukang jahit hanya ingin bekerja secara sambilan.

“Walaupun secara sambilan, pendapatan diterima sangat menggalakkan kerana tempahan untuk tuala wanita dan lampin kain saja mencecah 10,000 keping sebulan. Sudah tentu tukang jahit sambilan turut menerima pendapatan lumayan sehingga mampu mencecah RM3,000 hingga RM4,000 sebulan,” ujarnya.

Menyedari masih belum mampu memenuhi permintaan pelanggan hanya dengan seorang tukang jahit, akhirnya Hanisah mengambil tiga pekerja tetap dan empat pekerja sambilan. Dia mulai mempergiatkan penjualan dengan memasarkan menerusi laman sosial Facebook dan Instagram.

Jelas Hanisah, banyak keistimewaan menggunakan tuala wanita organik selain menjaga alam sekitar kerana tidak perlu menggunakan tuala wanita yang memerlukan berpuluh tahun untuk lupus, ia juga begitu menjimatkan kerana wanita tidak perlu membeli setiap bulan. Cukup dengan menyediakan satu set tuala wanita (15 hingga 20 keping) dan mereka boleh memakainya empat hingga lima tahun.

Menjaganya juga sangat mudah ini kerana tuala wanita kain senang dijaga. Hanya rendam kemudian gosok menggunakan sabun bagi memudahkan kesan tanggal. Begitu juga apabila dikeringkan hanya gantung saja di tempat panas atau berangin. Bagi yang ingin menggunakan mesin basuh, mereka perlu menggunakan net pakaian bagi mengelak fabrik cepat rosak.

Hanisah yang menggunakan tuala wanita kain bermula pada 2010 berharap lebih ramai wanita bertukar kepada tuala wanita organik kerana banyak keistimewaannya.

“Sebab itu selain berniaga, saya ingin memberi kesedaran kepada wanita untuk mengubah cara hidup kepada lebih selamat dan sihat. Banyak kebaikan yang diperoleh dengan menukar kepada tuala wanita organik. Memang pada mulanya agak sukar, tetapi lama-kelamaan anda pasti terbiasa untuk memakainya,” katanya.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

1,532 views