Tenang & Nyaman

Potpuri sering digunakan bagi menjadikan suasana lebih nyaman dan tenang.

Di pasaran terdapat pelbagai jenis haruman yang mampu memberi ketenangan sama ada wangian lavender, mawar atau oren yang semuanya memberikan fungsi berbeza.

Selain diletakkan di ruang tamu rumah, potpuri boleh digantung di dalam kereta kemudian ditambah pewangi apabila haruman semula jadinya sudah mulai hilang.

Menurut pereka hiasan dalaman, Nazruddin Daud, potpuri boleh juga dihasilkan sendiri menggunakan bahan terbuang seperti bunga telur atau gubahan bunga sebagai perkara asas. Apa yang perlu dilakukan adalah mengasingkan bunga atau manik yang terdapat pada bahan terbuang itu untuk dilekatkan pada bahan potpuri.

“Selain praktikal, menghasilkannya sendiri dapat memberi kepuasan kepada individu serta memilih haruman yang mereka inginkan. Ia boleh dihasilkan seperti mangkuk berisi pelbagai bunga dan herba kering. Kemudian campur wangian seperti mawar, lavender, chamomile, daun pudina, batang kayu manis dan rosemary pada bahan potpuri untuk memberi haruman berpanjangan,” katanya.

Selain itu jelas Nazruddin, bagi mereka yang ingin mendapatkan bau segar boleh menambah wangian buah seperti limau kering atau kulit limau namun pastikan semua bahan benar-benar sudah dikeringkan sebelum mencampurkannya. Tempatkan potpuri di meja ruang tamu, sudut ruangan atau tempat strategik seperti digantung di dalam kenderaan.

“Selain memilih mangkuk atau cawan sebagai bekas potpuri, anda juga boleh membuat kantung haruman dengan mengisi bunga kering di dalamnya.

“Kantung ini boleh diletakkan di ruang pengering cucian, laci meja, almari, kotak penyimpan barang atau digantung di ruang tamu rumah. Beberapa jenis bunga seperti lavender, selain mengharumkan ruangan juga berfungsi sebagai pengusir hama,” katanya yang menunjukkan cara ringkas dan mudah menghasilkan potpuri daripada bahan terbuang.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

688 views